Oleh Tan Bok Hooi
17 Mei 2023, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tan Bok Hooi menyambung kisah pengalamannya dengan proses penulisan sebuah kumpulan cerpen yang unik dan penuh kisah suka dan duka.

Di sekolah dan universiti, kami dilindungi oleh teori yang kadang-kadang membelakangkan nilai praktikal. Dunia persekolahan begitu bertimbang rasa. Apabila kami membuat kesilapan, peluang diberikan sekali lagi tanpa banyak soal.

Alam pekerjaan begitu berlainan sekali daripada dunia persekolahan. Segala hal yang dipelajari di bangku sekolah dan universiti tidak dapat menggambarkan sejelas mungkin apa-apa yang sedang menunggu di ambang pekerjaan. Di sekolah dan universiti, semua diterangkan seboleh-bolehnya dengan menggunakan papan hitam dan nota ringkas, tetapi perbincangan kurang diadakan secara terperinci. Kefahaman pelajar cuma diuji semasa peperiksaan bertulis serta ujian minggu atau bulanan. Tidak diberikan sebarang pedoman tentang betapa mencabarnya dunia perniagaan.

Di sekolah dan universiti, kami dilindungi oleh teori yang kadang-kadang membelakangkan nilai praktikal. Dunia persekolahan begitu bertimbang rasa. Apabila kami membuat kesilapan, peluang diberikan sekali lagi tanpa banyak soal. Sekiranya kami tidak faham, guru menjadi rujukan kami. Sekiranya kami jatuh tersungkur, tentu ada guru atau kawan-kawan yang bersedia memapah kami untuk kembali bangun bertarung di medan persekolahan.

Bilik darjah dan dewan kuliah merupakan tempat berselindung yang paling selamat. Sekiranya cengkaman ketakutan terhadap realiti menjelma, tempat berteduh sentiasa wujud berhampiran. Kami tidak perlu banyak risau tentang masa depan kerana tiada sebarang kelas di sekolah yang cuba menggambarkan secara terperinci tentang kefahaman asas yang kami perlu kuasai untuk mengecap kejayaan di alam pekerjaan. Segala yang dipelajari lebih bertumpu kepada teori. Sesi praktikal cuma berlaku dalam bilik makmal sains.

Peperiksaan menanti kami setiap penggal atau semester. Menelaah untuk mencapai kecemerlangan. Menghafal tanpa banyak berfikir sekiranya tidak faham. Perbincangan kurang sekali diangkat. Itulah pendekatan am yang digunakan semasa berdepan dengan peperiksaan. Paling penting ialah gred yang dicapai sudah cukup dikira cemerlang atau boleh dijadikan senjata untuk memohon biasiswa atau bantuan kewangan. Akan tetapi, tanggapan umum kebiasaannya cuma terfokus pada pencapaian akademik. Kayu ukuran ini membentuk minda pelajar bahawa hal yang paling penting ialah gred yang dicapai. Perwatakan serta nilai murni yang perlu disemai dan dibajai tidak menjadi perhatian khusus, dan dibelakangi oleh kecenderungan mengagung-agungkan kecemerlangan akademik.

Maka timbul persoalan di benak hati untuk melakarkan kehidupan di alam pekerjaan. Dunia remaja pula sentiasa menekankan perspektif terhadap orang tua dan cabaran yang perlu ditangani, disebabkan oleh pandangan yang jauh berbeza akibat jurang generasi yang amat luas sekali. Hal ini menyebabkan ketegangan emosi kerap berlaku di rumah.

Saya mula mengumpul kumpulan cerpen menurut kisah hidup saya, bagaikan cebisan perjalanan hidup sejak zaman kanak-kanak sehingga menempuh alam pekerjaan. Zaman kanak-kanak merupakan dunia yang teristimewa. Tidak perlu risau tentang apa-apa. Tak usah berkongsi duka pada waktu malam. Hanya menikmati saat terkini dan tidak dibelenggu oleh persoalan masa depan. Apabila matahari muncul di kaki langit, rakan sebaya sudah rajin bangun untuk meneroka alam. Riuh-rendah seluruh kampung dengan gelagat kami yang tidak pernah kenal lelah. Setiap pelosok kampung akan kami serbu dengan berani sekali, di mana-mana pun jua. Hati sentiasa gembira. Senyuman terukir tanpa dipaksa. Dada ternyata lapang sekali. Kotak fikiran sentiasa dihujani kemeriahan dan kesyukuran yang berlimpah-limpah. Sememangnya, zaman kanak-kanak amat indah sekali.

Saya kurang membaca sewaktu zaman kanak-kanak. Saya lebih gemar melukis. Segala hal yang dilukis mewakili ciptaan daya imaginasi saya yang bertemakan kebebasan. Maka, segala perkara yang dilukis berlatarbelakangkan keinginan untuk terus bebas. Sangkar burung tidak kelihatan langsung. Hal ini mencerminkan kehidupan bebas saya yang tidak mahu dikekang dan dikongkong. Pernah sekali kami menyertai pertandingan melukis secara berkumpulan. Ia mewajibkan kami menonjolkan bakat kami di padang rumput luas bersama kumpulan lain. Akan tetapi, awan mendung cepat menjelma dan hujan lebat menyambut kedatangan waktu petang. Kami terlalu asyik melukis sehingga tidak sedar tentang perubahan cuaca. Hasil lukisan kami basah kuyup. Kami bagaikan pelajar yang leka bermain di anak sungai sehingga lupa pulang ke rumah.

Oleh itu, projek baharu ini yang diutarakan bersama oleh Yeoh Herr-Ling akan memuatkan lakaran unik untuk setiap cerita yang diketengahkan. Saya menyediakan beberapa contoh dan menghantar semua lakaran tersebut untuk dikomen oleh kawan-kawan. Berdasarkan maklum balas yang sememangnya konsisten, maka saya mengambil keputusan menggunakan lakaran berbentuk abstrak. Interpretasinya bergantung pada sudut pandangan setiap insan. Lebih lama lakaran itu ditenung, lebih banyak kebarangkalian tentang apakah sebenarnya mesej yang hendak disampaikan.

Saya juga ingin memperkenalkan nilai-nilai murni yang saya anggap baik untuk membina perwatakan yang lebih seimbang apabila kita menjelajahi alam dewasa. Sekiranya dibimbing dengan betul (serta nilai-nilai murni itu disemai dan dibaja dengan penuh kasih sayang), maka pembangunan mental kanak-kanak dijangka akan lebih berjaya. Nilai-nilai murni yang disebutkan itu termasuk hormat-menghormati antara kita dengan ibu bapa serta orang tua. Hanya pada zaman kanak-kanak saja kita boleh cuba membentuk cara pemikiran mereka dengan lebih produktif dan efektif.

Kecenderungan saya untuk bermain guli, gasing dan badminton bermakna saya kurang menaruh perhatian terhadap pelajaran di sekolah. Saya cuma suka melukis sahaja tetapi tidak suka membaca buku apabila menjejakkan kaki di alam persekolahan buat pertama kalinya. Maka saya sendiri terkejut apabila peperiksaan penggal memperlihatkan keputusan yang memberangsangkan. Apabila saya memberitahu bapa saya tentang berita baik semasa berdiri di pagar pintu, dia terus bertanya beberapa rakan sedarjah saya yang tinggal sekampung. Mereka kebetulan berjalan kaki bersama saya pulang ke rumah. Mereka menjadi saksi penting pada saat yang menggembirakan itu.

Akan tetapi, manuskrip itu tidak pernah diterbitkan. Sudah sekian lama manuskrip itu berselindung di balik buku-buku yang bertaburan di rak buku.

Keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) lebih memeranjatkan saya. Walaupun saya tahu yang saya amat bersedia untuk menghadapi peperiksaan itu, tetapi saya tidak ingin meramalkan keputusannya. Saya kerap meluangkan masa di persekitaran sungai berdekatan rumah saya untuk menenangkan fikiran daripada meluangkan masa berjam-jam mengulang kaji di rumah. Suasana di pantai atau sungai memberikan ketenangan yang sukar dicari. Dalam kehidupan yang penuh dengan keriuhan dunia akibat sikap manusia yang beraneka ragam, ketenangan minda menjadi keperluan yang tidak harus dipertikaikan. Ia membolehkan kita berfikir dengan rasional apabila ingin membuat sebarang keputusan yang logik dan objektif.

Keputusan peperiksaan yang di luar jangkaan meletakkan saya dalam kategori pelajar yang mendapat pencapaian terbaik di Malaysia. Satu penghormatan yang sukar dipercayai. Keputusan itu juga meletakkan nama Sekolah Menengah Assumption di persada sekolah tempatan. Berasaskan keputusan itu, saya bertekad untuk bersaing dengan kumpulan pelajar yang terbaik dari daerah lain. Oleh itu, saya meneruskan alam persekolahan saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah lebih sukar, tetapi keputusan saya cukup disegani. Saya berasa puas walaupun ia tidak sebaik keputusan SRP. Keputusan SPM saya mungkin memberikan peluang saya untuk belajar di luar negara. Akan tetapi, saya bertekad untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat selanjutnya di dalam negara, walaupun kebanyakan rakan sebaya sudah membuat permohonan untuk belajar di luar negara. Fikiran saya tidak begitu terbuka dan saya fikir masih dikongkong oleh pengetahuan cetek tentang budaya dan kepentingan belajar di luar negara. Saya tidak pernah terlintas untuk menyelami prospek itu walaupun keputusan peperiksaan saya kemungkinan besar boleh menjadi tiket untuk memajukan diri dengan bersaing dengan orang asing. Pendedahan pada dunia luar dan peluang untuk tinggal berdikari di benua asing sambil menyesuaikan diri dalam kalangan pelajar baharu sepatutnya menjadi daya tarikan yang cukup kuat. Akan tetapi, saya tidak berganjak dan berpegang kuat pada objektif asal, tanpa menghiraukan suasana dinamik yang timbul dan peluang yang ada.

Saya masih tidak cukup matang. Fikiran saya dikongkong oleh tanggapan dunia yang mungkin sudah ditelan zaman. Hati saya berkecamuk dan tidak tentu apabila idea baharu ini cuba menembusi benteng pemikiran saya yang serba kolot.

Apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia datang menyambut saya, ia memusnahkan segala idaman yang dibawa sekian lama. Keputusan sememangnya di luar dugaan walaupun persediaan saya tidak cukup mantap. Sebelum garis penamat, saya tersungkur tanpa dijangka. Saya terbabas pada saat genting. Keinginan saya ranap sama sekali.

Saya amat marah dengan diri sendiri. Saya juga agak kesal dengan begitu banyak orang rasanya. Saya tertanya-tanya, mengapakah hal ini berlaku pada tahap yang paling penting? Kecamuk yang dirasai membakar fikiran saya. Kepahitan menyerbu diri, bertubi-tubi meminta penjelasan. Kekuatan mental terluntur oleh perasaan serba salah yang giat mencengkam. Tidak wujud sebarang nada inspirasi untuk mengisi kekosongan yang telah hinggap dalam sanubari saya.

Akan tetapi, saya tidak boleh berpeluk tubuh sahaja. Saya perlu meluahkan perasaan yang terpendam. Saya harus mencari ikhtiar untuk melupakan kesengsaraan yang telah menimpa. Saya tidak mahu bergelumang dalam kemelut yang memporak-perandakan kehidupan saya. Perasaan negatif ini pasti berakhir. Cuma, apakah yang hendak lakukan untuk mencapai matlamat ini?

Maka, saya meminjam komputer mendiang Pak Cik Goh Kit Chai yang sudi membiarkan saya menggunakan komputer selama mungkin untuk projek terbaharu saya. Sepupu saya, Tan Bok Lim, menghulurkan bantuan untuk membawa saya ke tempat tersebut. Ketika matahari muncul di kaki bukit sehingga menjunam di balik barisan bangunan yang tersergam indah, saya berdepan dengan skrin komputer untuk mengolah dan memperkembangkan plot yang bermain dalam kotak fikiran saya. Saya menulis dan terus menulis tanpa henti. Alam kreativiti yang diterokai mencerminkan usaha saya untuk melarikan diri daripada alam nyata yang telah banyak menggores hati. Api kemarahan disalurkan kepada penulisan saya. Bahang ketidakadilan yang dirasai dibiarkan bertaburan dalam isi kandungan manuskrip itu. Kutukan saya terhadap pentas dunia disemai dan disuburkan dengan penulisan yang menampakkan kemarahan yang meluap-luap. Lebih kurang empat minggu kemudian, lahirlah manuskrip pertama saya yang dibanjiri dengan dendam kesumat. Dendam terhadap ketidakadilan. Dendam yang terus membakar diri. Dendam yang masih belum malap.

Akan tetapi, manuskrip itu tidak pernah diterbitkan. Sudah sekian lama manuskrip itu berselindung di balik buku-buku yang bertaburan di rak buku. Pernah beberapa kali manuskrip itu dihantar untuk penilaian tetapi tidak diterima langsung. Mungkin cara penulisannya akan membakar hati pembacanya. Mungkin komplotnya seperti mencari gaduh di pentas dunia. Mungkin terlalu dahsyat kebencian protagonis terhadap alam nyata sehingga tiada lagi wujud tempat berteduh.

Lebih kurang tiga dekad selepas itu, saya kecundang semasa begitu hampir mencapai mercu kejayaan dalam bidang pekerjaan. Idaman yang hendak menjangkau langit membiru berkecai tanpa sebarang amaran. Kotak fikiran kembali dibakar oleh api kemarahan. Isu ketidakadilan kembali bermaharajalela di lubuk hati. Dendam terhadap alam nyata timbul lagi.

Lalu, saya mencurahkan tenaga untuk hasil karya yang baharu. Berlainan dengan perasaan marah yang boleh dirasai apabila manuskrip pertama ditulis, kali ini pendekatan itu lebih praktikal. Tulisannya merupakan coretan hidup dan jalan kehidupan yang dilalui. Nilai-nilai moral yang murni terserlah pada setiap cerita yang diketengahkan. Ceritanya menggambarkan kehidupan protagonis sejak bangku sekolah sehingga mencecah alam pekerjaan. Ceritanya dipenuhi dengan elemen kasih sayang dan bukan kepanasan untuk berdendam. Hal ini dilakukan untuk cuba melenyapkan api kemarahan yang mendadak. Pendekatan ini digunakan sebagai cara untuk menangani kepedihan emosi yang sentiasa cuba membingungkan diri saya.

Lebih tiga bulan kemudian, A Man and His Wallet & Other Stories selesai ditulis. Inilah buku bahasa Inggeris saya yang pertama berasaskan konsep dwibahasa yang saya dukung selama ini. Buku itu seterusnya terpilih dalam senarai “50 Best Malaysian Titles for International Rights for 2016/2017” yang dibawa ke Frankfurt Book Festival 2016.

Buku itu juga digunakan semasa bengkel buku yang dianjurkan di beberapa sekolah murid-murid sekolah rendah. Golongan inilah yang perlu diberikan pedoman dan galakan sepenuhnya kerana pemikiran mereka masih lagi boleh dibentuk berlandaskan falsafah kehidupan yang unggul dan praktikal. Murid-murid itu diminta untuk membaca beberapa bab tertentu. Selepas itu, beberapa kumpulan murid diberikan kesempatan untuk membincangkan nilai-nilai murni yang diketengahkan. Mereka akan berlumba-lumba melahirkan pandangan terhadap persoalan yang ditimbulkan. Jelas, bengkel sedemikian sememangnya wajar diteruskan di sekolah-sekolah kerana pembentukan pemikiran sememangnya perlu bermula sejak kecil lagi.

Dalam satu bengkel di sekolah swasta, pernah seorang pelajar bertanya dengan segan sama ada saya Tan Twan Eng, penulis novel yang terkenal dengan buku The Gift of Rain dan The Garden of Evening Mists. Saya terpegun seketika. Saya tersenyum, lalu membalas dengan nada tenang bahawa saya bukan individu yang dia harapkan, tetapi saya berharap dia akan membaca buku terbaharu saya. Mungkin kerana saya berkaca mata, berasal dari Pulau Pinang dan mempunyai nama keluarga yang sama. Itu sahaja kesamaan kami buat masa kini.

Sudikah kamu bertemu dengan A Man and his Wallet & Other Stories?

Kredit Foto: Tan Bok Hooi

_________________________

Tan Bok Hooi beranggapan bahawa zaman kanak-kanak ialah masa yang terpenting untuk membina perwatakan yang penuh dengan nilai-nilai murni. Sebelum menempuh dunia dewasa, kanak-kanak masih berfikiran terbuka dan boleh dibimbing dengan berkesan. A Man and his Wallet & Other Stories merupakan salah satu usaha berani ke arah merealisasikan objektif tersebut. Jawatan pertamanya ialah Guru Matematik dan Fizik. Walaupun lama berkecimpung dalam bidang perniagaan, kegembiraan yang dirasai tidak pernah luntur apabila diberi peluang mengajar. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.