13 April 2023, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Sempena bulan Ramadan tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu melalui radio Terengganu FM telah bekerjasama menyiarkan sebuah drama khas bertajuk Bila berkocak Air di Kolam, karya S.M Noor, iaitu Sasterawan Negeri Terengganu.

Pengarah Penyiaran Terengganu, Encik Sabri Mansor menjelaskan penerbitan drama ini merupakan inisiatif DBPWT. Kejayaan penerbitan drama ini membuka ruang kerjasama dalam merangka pelbagai lagi program pada masa akan datang.

Sasterawan Negeri Terengganu, S.M Noor menulis skrip Drama Khas Ramadan yang sedang rancak didengari melalui Terengganu FM.

Jelas beliau, radio Terengganu FM berhasrat untuk menerbitkan beberapa drama radio pada masa akan datang seperti drama radio hari raya, kemerdekaan, Hari RTM dan sempena Maulidur Rasul.

Penerbit rancangan khas ini, iaitu Puan Rosliza Ghani atau mesra disapa Kak Teh mengatakan bahawa;

Drama radio Ramadan dengan kerjasama pihak DBPWT ini begitu mengujakan saya kerana program begini kembali disiarkan semula setelah beberapa tahun terhenti atas pelbagai faktor.

Drama khas ini dapat membuka peluang penulisan dalam bidang skrip drama radio kepada penulis di Terengganu serta mampu menaikkan dan mencungkil bakat para pelakon.

Poster rasmi Drama Khas Ramadan terbitan Terengganu FM dengan kerjasama DBPWT.

Drama khas ini disiarkan pada pukul 3:45 petang pada setiap hari Selasa dan Rabu sepanjang bulan Ramadan bermula pada 28 Mac dan berakhir pada 19 April. Drama ini juga boleh didengari melalui laman web rtmklik.rtm.gov.my.

Drama sebanyak lapan episod ini dimantapkan lagi dengan barisan pelakon yang hebat dan berbakat dari Terengganu, iaitu Sidi Isa, Nik Atiekah, Hazlan Mohamed, Amran Awang, Mahani Endut, dan Azizah Ali. Secara ringkasnya, drama ini berkisarkan konflik antara dua buah keluarga membabitkan perihal hak milik tanah pusaka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.