Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSambil berbual kosong dengan seorang pengamal media Radio IKIMfm semasa menunggu waktu berbuka puasa di Sky Mega Hall, Menara Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu, Raja Yusoff Ariffin turut bertanya apakah stesen radio tersebut turut menerbitkan drama radio? Jawapannya, ya.
Fauziah sendiri melihat masyarakat hari ini lebih banyak meluangkan masanya dengan radio berbanding televisyen atau mengunjungi pawagam.
Memang drama radio hanya dapat dinikmati dengan cara mendengarnya. Jika drama radio turut mengutarakan soal nilai kemanusiaan, keindahan seni bahasa, dialog, lakonan suara, dan unsur drama (meskipun hanya dipersembahkan menerusi pengucapan pelakon, selain kesan bunyi yang berkaitan), drama radio tetap boleh dianggap sebagai karya sastera (sebagaimana drama televisyen dan teater/drama pentas).
Namun begitu, benarkah drama radio semakin terpinggir?
Pelakon dan aktivis veteran teater tanah air, Datuk Hajah Fauziah Nawi pernah menyatakan kesedihan dan rasa terkilan kerana mendapati drama radio semakin sendu serta dilupakan.
Menurut beliau yang mesra disapa “Ibu”, ada yang bertanya relevan lagikah drama radio yang menjadi hiburan halwa telinga bukan sahaja masyarakat Melayu, tetapi pelbagai bangsa pada era 1970-an, dengan kisah kemasyarakatan yang dibawa secara santai, tetapi penuh dengan mesej pengajaran.
Kata Fauziah, 73, drama radio masih relevan dan akan terus mempertahankannya. Beliau juga sangat marah apabila ada yang mahu melihatnya pupus lantaran perkembangan pesat teknologi.
Hal tersebut kerana, jelasnya, beliau ditanya adakah drama radio tidak serancak dahulu. Baginya, persoalan tersebut membuktikan drama radio masih diminati dan dirindui.
Menurut Fauziah, biasanya, hanya mereka yang berpengalaman dan berbakat sahaja yang terlibat dalam penerbitan drama radio.
Sebenarnya, radio masih menjadi alat penyiaran media yang ampuh di negara ini. Siaran radio RTM menerusi media sosial misalnya, dilaporkan pernah melakar rekod baharu apabila meraih 34 juta pendengar, iaitu peningkatan ketara berbanding 14 juta pendengar dalam tempoh kira-kira setahun lalu.
Sementara itu, rangkaian radio swasta MEDIA Prima Audio (MPA), iaitu Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Fly FM, dan 8 FM dilaporkan pernah menerima peningkatan purata pendengar mingguan sebanyak 5.36 juta pendengar mingguan di Semenanjung Malaysia.
Fauziah sendiri melihat masyarakat hari ini lebih banyak meluangkan masanya dengan radio berbanding televisyen atau mengunjungi pawagam.
Sebagai contoh, ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya atau pengangkutan awam, siaran radio menjadi pilihan. Tambahan pula, radio kini boleh didengar di media sosial, khususnya telefon bimbit dengan aplikasinya yang tersendiri.
Keadaan tersebut, katanya, menjadi peluang terbaik untuk sama-sama merancakkan kembali fenomena drama radio. Walau bagaimanapun, tambah beliau, syarikat radio kelihatan seperti tidak berminat, sedangkan potensi drama radio sangat besar.
Drama radio hanya berkumandang secara bermusim, dan lazimnya ketika menjelang bulan kemerdekaan, Hari Malaysia, sempena mengingati tokoh tertentu, mahupun Bulan Bahasa Kebangsaan. Perjuangan itu pun juga sekadar diteruskan oleh stesen radio RTM sahaja.
Oleh itu, Fauziah mahu drama radio dirancakkan kembali sekurang-kurangnya dua kali seminggu, dan turut menasihati pendatang baharu industri seni agar tidak meremehkan nilai drama radio kerana ruang itu sebenarnya pintu rezeki untuk mereka.
“Keberkesanan drama radio dalam menterjemahkan emosi melalui suara, membuatkan kita menjadi rebutan syarikat iklan. Ada iklan kami tersiar di televisyen, tetapi hanya suara sahaja digunakan, sementara aksi dilakonkan oleh orang lain,” jelasnya.
Namun demikian, tambah Fauziah, bayarannya tetap lumayan kerana dibayar berdasarkan berapa saat suara digunakan.
“Oleh sebab itu, ada yang kelihatan tidak aktif di televisyen seperti Datin Marlia Musa, isteri Dato’ (Dr.) Haji M. Nasir, tetapi syarikat iklan masih mencari kerana bakat suaranya. Sebab itu saya kata, drama radio pembuka pintu rezeki,” ujarnya.
Sekurang-kurangnya, usaha yang dilakukan oleh Radio IKIMfm boleh merawat kedukaan Fauziah.
Oleh sebab masih bersiaran, pastilah drama radio IKIMfm (siaran radio kelolaan Institut Kefahaman Islam Malaysia) mendapat sambutan hangat. Tidak mungkin drama radio masih wujud dan diteruskan jika tiada pendengar.
Malah, menurut wakil media Radio IKIMfm, yang turut berpengalaman menerbitkan beberapa buah daripada drama radio, ramai pendengar tertunggu-tunggu siarannya.
Bilakah drama Radio IKIMfm ke udara? Dengan durasi kira-kira 15 minit, drama tersebut biasanya disiarkan pada setiap hari bekerja, pukul 4.10 petang, sewaktu pendengar pulang ke rumah. Mereka mendengar sambil memandu dalam kesesakan jalan raya. Siaran ulangannya pula pada pukul 11.10 malam.
Tidak hanya untuk pendengar yang menaiki kenderaan sendiri, pendengar yang menggunakan pengangkutan awam pun boleh mengikutinya menerusi telefon bimbit.
Pastinya menepati konsep Radio IKIMfm, drama radio tersebut sudah terkenal dengan pengisian kerohanian, pengajaran dan nilai murni yang disampaikan melalui penceritaan menarik.
Kandungannya menekankan nilai-nilai murni dan muhasabah diri, terutamanya dalam bulan Ramadan.
Antara ciri utama drama Radio KIMfm adalah yang berkaitan dengan tema, iaitu berteraskan pengajaran Islam, kekeluargaan, kesabaran, dan ujian hidup yang menyentuh jiwa.
Pelakon yang menjayakannya terdiri daripada selebriti popular tanah air seperti Beto Kusyairy dan Vanida Imran, yang mungkin dipilih kerana memiliki daya penarik dan aura tersendiri bagi para pendengar.
Setakat ini, antara drama radio yang telah diudarakan termasuklah yang khas bersempena dengan Ramadan, seperti Demi Kasih (2025) dan Haruman Ramadan (2026).
Untuk maklumat terkini, anda boleh mendengar terus di Radio IKIMfm, atau layari media sosial rasmi mereka.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).