13 Mei 2023, 14:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) merancakkan program kesusasteraan melalui siaran drama radio daerah bertajuk Abe Pa Kereta Sewa yang disiarkan di saluran radio KELANTANfm.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail, program ini merupakan kesinambungan kerjasama antara DBPWT dengan KELANTANfm.

“Beberapa program telah dilaksanakan sebelum ini dan mendapat sambutan hangat pendengar. Misalnya, Rampai Budaya: Kayanya Bahasa Kita, Peribahasa Pagi, Ceria Bahasa, dan Drama Khas Ramadan bertajuk Titian Mubarak.

“DBPWT amat berterima kasih kepada pihak Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan yang sentiasa menyokong usaha DBPWT mengetengahkan bahasa dan sastera melalui siaran radio,” ujarnya.

Drama radio Abe Pa Kereta Sewa disiarkan pada pukul 5.30 petang pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Mac dan April 2023.

Drama bersiri berbentuk santai dan komedi selama 15 minit ini memaparkan pelbagai isu kemasyarakatan melalui watak pemandu teksi bernama Abe Pa, isterinya, Mek Nab, dan watak penumpang kereta sewanya yang bertukar ganti.

Antara isu yang disampaikan termasuklah kritikan terhadap sikap masyarakat di jalan raya, kenaikan harga barangan, sumber rezeki halal, penghayatan berpuasa, dan sambutan Syawal.

Skrip drama radio ini dihasilkan oleh beberapa penulis kelahiran Kelantan, seperti Hashim Latif, Nazri Awang, Mohd Sanusi Mat Yaakob, Mukhtar Mustafa, Abdul Hadi Yusoff, Ramli Abdul Halim, dan Wilai ah Jok.

Barisan pelakon yang menjayakan drama ini terdiri daripada Ramlee Ab Salam (Abe Pa), Nor Asalamiah Mahmod, Mastura Yaya, Yujie Mazlina, Zurila Aziz, Nik Zainab Nik Abd. Kadir, Zura Shamsir, Aris Kapilla, Hafizi Rakabe, Nik Fatihah, dan beberapa nama lain.

Untuk catatan, DBPWT dan KELANTANfm telah berkerjasama untuk mengadakan Taklimat Penulisan Skrip Drama Radio dan Rancangan Radio di Jabatan Penyiaran Kelantan pada awal tahun ini sebagai persediaan penghasilan drama radio ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.