3 April 2023, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nor Muhamad melihat selayang pandang tentang kepentingan kajian kritikan terhadap karya sastera selain menyinggung buku-buku penting kajian sastera yang pernah dihasilkan.

Mengkritik sesebuah karya memerlukan daya fikir yang kritis kerana prosesnya memerlukan etika, cermat dan adil, bukan dengan cara semberono atau dalam erti kata menghukum dan mengadili sesuatu tanpa hujah yang telus.

Kajian dan hasil penerbitan bahan sastera masih kekal relevan untuk diteruskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan keutamaan ini menjadi fungsi DBP dalam memartabatkan bahasa, sastera dan penerbitan. Walaupun wujud pandangan bahawa kerja penyelidikan dan terbitnya buku ilmiah, khususnya dalam bidang sastera bukanlah memenuhi minat semasa dan tidaklah bersifat komersial, namun hal ini tidaklah bermakna hasil kajian dan penerbitannya tidak mendapat perhatian daripada para pembaca.

Setiap kajian yang berteraskan sejarah sastera, teori dan kritikan, teks dan karya, sastera bandingan, dan lain-lain sememangnya mempunyai matlamat dan tujuan tertentu. Salah satu daripadanya ialah pengekalan disiplin ilmu sastera tanah air dan khazanah pemikiran bangsa. Lihatlah bagaimana karya sastera yang dikatakan masterpiece atau mahakarya masih lagi diperkatakan hingga kini; begitu juga sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu moden atau tradisional; transkripsi manuskrip Jawi ke dalam tulisan rumi yang memunculkan penemuan baharu tentang ilmu kepustakaan Melayu; serta teori dan kritikan dalam meneroka dan membawa satu gagasan unggul pemikir sastera.

Kerancakan DBP dalam melaksanakan bengkel dan seminar khususnya berkaitan sastera sentiasa diberikan keutamaan. Antaranya dalam bidang teori dan kritikan, yang dimulakan pada tahun 1990 sehinggalah awal tahun 2000 seperti Seminar Antarabangsa Teori Sastera (1996), Kolokium “Mempersoalkan Pascakolonialisme” (1998), Seminar Teori Sastera Islam: Kaedah dan Penerapannya (2000), Bengkel Penerapan Teori Sastera dalam Kajian Teks (2001), Bengkel Teori Pengkaedahan Melayu (2002), dan Seminar Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II (2005).

Seterusnya, pada tahun 2019, DBP melalui Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) telah mengadakan Wacana Teori dan Kritikan Sastera. Hasil kajian ini akhirnya diterbitkan pada tahun 2022, dengan mengumpulkan 10 orang penulis yang terdiri daripada pengkaji atau peneliti sastera serta mempunyai perspektif berbeza dalam mentakrifkan keluasan makna sastera.

Antara penulis dan pengkaji naskhah Teori dan Kritikan Sastera: Penilaian dan Wacana (DBP, 2022) termasuklah Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh (Membina Sebuah Teori Sastera Melayu: Nota-nota Pengalaman); Dr. Abdul Rahman Hanapiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana (Teori dan Kritikan: Penilaian dan Wacana Dinamika dalam Sastera Melayu); Prof. Dr. A. Halim Ali (Estetika dalam Kesusasteraan Melayu dan Islam), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Teori-teori Barat dan Pengaplikasiannya Terhadap Karya Sastera Melayu), Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin (Pendakwah Sastera: Pentingnya Karya Sastera Berunsurkan Islam dalam Pembinaan Sahsiah); Hafizah Iszahanid (Novel Sastera Abad Ke-21 Mencapai Nilai Didaktik atau Mengejar Komersial: Tumpuan kepada Karya Popular); Dr. Kaithiri Arumugam (Buku Kanak-kanak: Suatu Analisis Unsur Estetika), Dr. Roslina Abu Bakar (Komunikasi Perspektif Islam dalam Syair Alif Ba Ta), Dr. Ida Roziana Abdullah (Perwatakan Wanita Melayu Muslimah dalam Novel Ombak Rindu Karya Fauziah Ashari Berdasarkan Konsep Feminisme Talbiah) dan Hamzah Hamdani (Pembinaan Teori Sastera Tempatan: Menelusuri Pemikiran Melayu-Islam).

Buku Teori dan Kritikan Sastera: Penilaian dan Wacana padat dengan isi-isi penting termasuklah memperkatakan tentang sejarah perkembangan teori sastera di Malaysia, jenis teori Barat dan teori tempatan, dinamik teori sastera Melayu, serta bentuk kritikan yang membolehkan buku ini menjadi rujukan para penulis dan penyelidik.

Oleh hal demikian, buku ini secara tidak langsung memberi kefahaman kepada peneliti awal bidang sastera, pemula bidang kritikan dan penulis karya sastera khususnya. Keperluan untuk penulis lebih faham tentang dunia teori sastera dan kritikan mendedahkan kepada mereka bahawa betapa pentingnya sesebuah gagasan dalam karya sehingga memberi impak terhadap pemikiran masyarakat pembaca.

Setiap penulis akan melalui fasa kematangan dalam penulisannya, dan jarang sekali penulis itu mampu menulis dengan lebih baik jika tiada panduan dan rujukan, apatah lagi karya yang terhasil tiada satu pun yang menjadi bahan kritikan oleh para peneliti. Mungkin kritikan itu secara bertulis (esei kritikan) atau penyampaian lisan melalui forum, perbincangan dan seminar. Barangkali juga penulis lebih selesa karyanya terperuk, dan ‘berpuas hati’ apabila karyanya tidak dibicarakan atau hanya sekadar dibaca tanpa diberikan ulasan.

Mengkritik sesebuah karya memerlukan daya fikir yang kritis kerana prosesnya memerlukan etika, cermat dan adil, bukan dengan cara semberono atau dalam erti kata menghukum dan mengadili sesuatu tanpa hujah yang telus. Mana Sikana melalui kajiannya (2022:63), menjelaskan, “Sesiapa sahaja boleh menjadi penteori. Beberapa syarat dan rukun yang perlu dipenuhi. Biasanya penteori terdiri daripada ilmuwan sastera. Penterori itu juga telah bergelumang dengan dunia sastera dalam hayat yang lama, menguasainya secara holistik, komprehensif dan kosisten. Sejarahnya dimulai dengan mempelajari teori sastera, mempraktikkannya dan terkenal sebagai pengkritik sehingga mencapai taraf sebagai pemikir dan penguasa sastera.”

Oleh yang demikian, menjadi pengkritik karya sastera bukanlah kerja mudah, dan golongan ini telah berada dalam kategori dan kelas yang tersendiri, malahan lebih tinggi tahap pemikirannya berbanding pengarang asal karya.

Hamzah Hamdani dalam buku tersebut pula menyentuh tentang konsep sastera yang lebih luas jangkauannya, iaitu kegiatan intelek yang memerlukan pentafsiran yang tepat sehingga mampu membantu pembaca untuk lebih memahami dan menikmati karya sastera. Oleh hal yang demikian, dengan konsep yang luas seperti inilah menunjukkan betapa pentingnya tugas peneliti dan pengkritik dalam memberi pemaknaan tentang estetika, tafsiran perlambangan dan menterjemahkan pemikiran pengarang ke dalam bentuk yang lebih mudah dan ringkas.

Demikian juga huraian daripada Hafizah Iszahanid, yang memperkatakan tentang perkembangan kesusasteraan tempatan, pengkategorian karya sastera serius dan karya popular, hubungan nilai didaktik dan nilai komersial dengan kesusasteraan, serta beberapa persoalan tentang sejauh mana karya sastera itu mampu dihubungkan dengan nilai komersial. Adakah hanya memasukkan unsur cinta dan pengakhiran yang bahagia sahaja mampu dikatakan telah mencapai nilai komersial dan popular?

Kajian yang dibawa melalui buku ini juga telah menyentuh tentang teori tempatan agar mudah difahami oleh para peneliti dan pembaca. Misalnya, Mana Sikana mengemukakan tentang teori Taabudiyyah, Prof. Dr. A. Halim pula tentang teori Estetika Bersepadu, manakala SN Muhammad Haji Salleh pula berkaitan dengan teori Puitika Sastera Melayu. Kesannya, teori sastera janaan tempatan bukan semata-mata untuk menilai hasil karya sastera Melayu bahkan dapat dijadikan nilai universal sekiranya dapat diuar-uarkan ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, antara buku lain yang pernah diterbitkan dalam bidang teori dan kritikan termasuklah Esei dan Kritikan dalam Novel Remaja (DBP, 2022); Teori Dan Kritikan Sastera (DBP, 2014); Dari Barat Ke Timur: Teori dan Kritikan Sastera (DBP, 2013), Sastera Melayu Islam: Konsep Teori dan Aplikasi (DBP, 2021), Mengkaji Teori Sastera: Suatu Pengenalan (DDP, 2004), Penelitian Sastera: Metodologi dan Penerapan Teori (DBP, 1995), Teori dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional (DBP, 1993), Teori dan Pemikiran Sastera Islam di Malaysia (DBP, 1991); Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan (DBP, 1988); dan Sosiologi Sastera Persoalan Teori dan Metode (DBP, 1986).

Bagi membina kekuatan sastera kebangsaan satu daripadanya memerlukan kajian yang berterusan dalam bidang teori dan kritikan sastera, selain daripada mendokumentasikan sejarah perkembangan sastera tanah air mengikut dekad tertentu. Begitu juga dengan kajian tentang perbandingan karya sastera tempatan dan luar negara.

Kewujudan pelbagai teori sastera memperlihatkan tahap usaha dan upaya yang telah diperjuangkan oleh para sarjana dan pengkaji dalam mewarnai wajah kesusasteraan. Selain itu, kepentingan kritikan dalam dunia sastera pula sebagai “kayu ukur” dalam menilai tahap kemajuan dan kekuatan tulisan dan karya yang dihasilkan oleh pengarang. Bagaimanakah kita mengatakan “hebat” dan unggul untuk sesuatu karya jika karya tersebut tidak pernah dibincangkan dan diteliti oleh para pembaca selaku pengkritik?.

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan flora. Buku beliau yang baru terbit ialah Kaki Gunung: Travelog ke Puncak Ardi. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian, majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.