24 Mac 2023, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karya satira yang dahulunya muncul dalam penulisan kini berkembang dalam pelbagai karya seni. Aimi Nazira Mohamad Niros meneliti dari kaca mata undang-undang tentang garisan halus karya satira menghadapi persoalan moral dan hak bersuara.

Penghasilan karya satira menerusi filem, penulisan, grafik, dan sebagainya, merupakan salah satu wadah atau saluran untuk mempraktikkan hak kebebasan bersuara dan berekspresi.

Satira dapat didefinisikan sebagai sebuah karya sastera yang bertujuan untuk menyindir atau mempersendakan orang atau suatu hal. Seiring dengan peredaran zaman, satira telah pun wujud dalam bentuk yang melampaui penulisan, seperti karikatur, grafik, filem, meme, dan sebagainya.

Di Malaysia, karya satira telah wujud sejak tahun 1930-an dan berkembang pesat sehingga ke hari ini. Setakat ini, karya satira tempatan sarat dengan perlian, sindiran dan jenaka yang mampu sampai ke jiwa masyarakat, meskipun unsur jenakanya sederhana sahaja. Tidak hairanlah mengapa filem Melayu lama arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, masih kekal relevan sehingga ke hari ini. Ciptaan karya satira sarat dengan elemen lucu dan mencuit, namun cukup dahsyat menampar, bukan sahaja keadaan realiti eranya, bahkan masih menggema pada zaman sekarang.

Selain itu, wujud juga novel satira Kawin-kawin oleh Azizi Haji Abdullah yang sarat dengan kritikan sosial terhadap masyarakat Melayu kontemporari. Azizi menyentuh isu lelaki yang diberikan kelebihan dari segi kuasa dan kawalan perjanjian undang-undang dalam kontrak mutaah, manakala perempuan pula hanya menjadi objek keseronokan seksual buat para lelaki.

Seterusnya, telefilem arahan Mamat Khalid, iaitu 16 Puasa yang mengkritik hebat ahli-ahli politik yang penuh dengan korupsi dan tindak-tanduk yang tidak bermoral. Begitu juga grafik satira yang dihasilkan oleh Fahmi Reza yang berunsurkan kritikan hebat terhadap sosial dan politik di Malaysia. Bagi para pengkarya, penghasilan karya satira menerusi filem, penulisan, grafik, dan sebagainya, merupakan salah satu wadah atau saluran untuk mempraktikkan hak kebebasan bersuara dan berekspresi, seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, persoalan yang acap kali timbul ialah, sejauh manakah hak kebebasan bersuara ini dijamin di bawah undang-undang dan prinsip moral?

Menurut Lord Devlin, kayu ukur moraliti sesebuah masyarakat bergantung pada cara seseorang yang munasabah atau berakal waras memandang sesuatu dan menganggapnya bermoral atau tidak bermoral. Kendatipun begitu, pendapat Devlin ini ditentang hebat oleh Profesor H.L.A. Hart. Beliau menganggap bahawa sekiranya seseorang itu tidak bermoral dalam sesuatu perkara, pendek kata, beliau juga dianggap tidak bermoral dalam aspek-aspek lain dalam kehidupannya.

Bertentangan dengan pendapat Hart, Jawatankuasa Wolfenden pula mencadangkan suatu kedudukan yang mengangkat kebebasan bagi setiap individu dalam undang-undang jenayah. Mereka menyatakan, dalam situasi apabila seorang individu tidak mempraktikkan moraliti atau menjadi moral, tidak bermakna dia tidak bermoral sebagai seorang manusia, dengan mengambil kira kewujudan faktor-faktor dieksploitasi; tidak matang, cacat mental atau miskin. Daripada pendapat Jawatankuasa Wolfenden ini mengenai kebarangkalian kewujudan faktor-faktor tersebut dalam hidup seseorang, maka adanya keterdesakan situasi dalam masyarakat yang dieksploitasi, yang menyebabkan mereka bertindak dengan tidak moral dalam keadaan tertentu. Jawatankuasa percaya dengan konsep akhlak yang dikongsi bersama, yang mana keruntuhan akhlak masyarakat adalah akibat daripada keruntuhan akhlak segelintir anggota masyarakat.

Pada pendapat penulis, terdapat ahli undang-undang yang tidak bersetuju dengan pandangan Hart timbul kerana persoalan ini: Adakah tindakan dan niat awal yang baik oleh ahli seni untuk membenarkan masyarakat berfikir sejenak mengenai keadaan sosial dan politik yang berlaku di sekeliling mereka juga dianggap sebagai tidak bermoral? Bukankah hal ini sekali gus menyebabkan ahli seni itu juga tidak mengamalkan konsep moral dalam aspek-aspek lain dalam kehidupan mereka? Lebih-lebih lagi, pada hemat penulis, karya satira yang dilakukan oleh salah seorang satira terkenal di Malaysia sekarang, iaitu Fahmi Reza, apabila beliau menghasilkan grafik satira untuk mengulas gejala rasuah yang berlaku dalam kalangan ahli politik khususnya, tidak boleh dikatakan sebagai salah satu punca berlakunya keruntuhan moral masyarakat, kerana dengan menghasilkan karya satira, ia merupakan salah satu cara untuk mengamalkan kebebasan bersuara dan membenarkan proses semak dan imbang di negara kita. Adakah niat awalnya untuk menyampaikan mesej tersebut kepada orang ramai menyumbang kepada masyarakat yang tidak bermoral?

Apa-apa pun, hal ini kembali pada prinsip terawal yang ditetapkan oleh Devlin. Dengan menerapkannya, selagi karya sindiran itu dianggap sebagai bermoral dan mempunyai mesej yang baik untuk disampaikan kepada umum, maka ia harus dibenarkan oleh undang-undang. Walaupun begitu, dalam keadaan tertentu apabila karya satira mengandungi grafik atau perkataan kontroversial yang menyentuh inti pati Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan, “apa-apa perkara, hak, status, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditubuhkan atau dilindungi. mengikut peruntukan Bahagian III, artikel 152, 153 atau 181”, maka karya satira itu perlulah diharamkan.

Kesimpulannya, penulis tidak menafikan hak kebebasan bersuara atau berekspresi bagi seseorang individu dalam menghasilkan karya satira, namun, proses kreatifnya perlulah bergerak seiring dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan tidak melanggar prinsip moral yang ditetapkan oleh Devlin. Penulis juga berpendapat bahawa karya satira merupakan salah satu seni yang patut diangkat nilainya dan dipertahankan kerana hasil karyanya merupakan perlambangan agungnya seni Melayu dalam usaha menyelitkan teguran dan kritikan secara halus dan lembut.

Kredit Foto: Egor Myznik/Unsplash

_________________________

Aimi Nazira Mohamad Niros sedang menyambung pengajiannya di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau berasal dari Sarawak. Aimi juga sedang giat menjalankan kajian tesis berkisarkan hak kebebasan bersuara melalui karya satira.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.