22 Mac 2023, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kekuatan dan kehebatan perdagangan orang Melayu terutamanya pada zaman lampau (abad ke-15) terbukti apabila hal tersebut dicatatkan dalam “lontara” Bugis. Lontara dalam bahasa Bugis bermaksud naskhah atau manuskrip lama.

Prof. Dr. Muhlis Hadrawi M.Hum, Ketua Department, Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Hasanuddin, Makassar, Indonesia menyatakan perkara tersebut dalam pembentangannya yang bertajuk “Maklumat Kehadiran Orang Melaka dan Johor di Sulawesi Selatan: Sumber Naskhah Bugis” pada 21 Mac lepas.

Kajian beliau tersebut berpandukan kepada tiga sumber lontara, iaitu Anttoriolong MS A (Lontara Sawitto-Suppa’ – Koleksi ANTRIM Roll 14/17), Anttiriolong MS B (Lontara Taneete – Koleksi ANRIM Roll 50/10) dan Anttoriolong MS C (Silsilah Wé Tépulingé dan La Bangenge).

“Melaka pada abad ke-15 telah menjadi pusat perdagangan utama dan terkenal di Nusantara dan sekitarnya. Sudah dicatatkan dalam lontara Bugis bahawa pedagang Melayu dari Melaka dan Johor memang sudah datang ke wilayah Sulawesi Selatan.”

Kampung Pancana, di Kabupaten Barru, Sulawesi Selatan (Sumber: Hadrawi, 2012).

“Lontara menunjukkan adanya hubungan antara negeri-negeri di Sulawesi Selatan dengan negeri bahagian barat Nusantara, terutama Semenanjung Tanah Melayu. Hubungan itu sudah nyata pada abad ke-18, namun beberapa abad sebelumnya, diperkirakan sudah terjalin hubungan tersebut pada abad ke-15.”

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa naskhah Bugis-Makassar berbeza dengan gaya penceritaan Melayu dan Jawa. Naskhahnya lebih objektif dan memiliki mutu yang tinggi.

Beliau juga menjelaskan bahawa kedatangan orang Melayu Melaka berbeza dengan kedatangan orang Melayu Johor. Orang Melayu Melaka datang ke sana atas urusan perdagangan, manakala kedatangan orang Melayu Johor pula ada kaitannya dengan kehadiran Puteri Johor dan lahirnya Kampung Pancana di Tanete-Barru. Dalam teks lontara dicatatkan:

“Datanglah seorang perempuan dari Johor yang mengatakan kalau ia bersama rombongannya melarikan itu diri daripada negerinya (Johor). Sang Puteri dan rombongannya diperkenakan bertempat tinggal di atas tanah yang berlokasi di sebelah sungai Tanete. Adapun perahunya yang mereka gunakan kemudian diangkat naik ke daratan, di mana mereka bertempat tinggal sebagai kampung halaman yang baharu. Itulah sebabnya hingga kampung yang mereka tempati tersebut dipanggil pancana, oleh sebab perahu yang mereka tumpangi itu adalah bernama panca.”

Diskusi Manuskrip Melayu Siri 1 bagi tahun 2023 yang diadakan secara dalam talian ini merupakan hasil kerjasama antara DBP melalui Bahagian Penyelidikan Sastera DBP dengan Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPNAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.