Oleh Rasoul Manan
23 Februari 2023, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Novel yang bertemakan sejarah, terutamanya hal berkaitan maritim jarang diperkatakan. Oleh itu, sesi keempat dan kelima Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Arena Wati anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang dilakukan secara dalam talian telah membicarakan hal tersebut.

Sesi pembentangan dimulakan oleh Kirana Kejora, pengarang dari Indonesia yang membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Warisan Literasi Maritim Datuk Arena Wati”.  Menurutnya pada awal pembentangan, jarang sekali novelis menulis bertemakan maritim kerana hal begini kurang popular, sukar dan tiada peminat. Namun, sebagai orang Nusantara, tema sebegini harus dijadikan dokumentasi dalam karya. Jelasnya lagi,

Karya beliau seperti Sukma Angin, Rindu Aroma Padi Bunting, dan Pada Sayap Burung Helang, termasuklah himpunan cerpen yang dinamakan Ombak Samudera telah menyebabkan saya bersemangat untuk menghasilkan novel berdasarkan tema yang sebegini.

Selanjutnya, beliau mengupas dengan terperinci kekayaan makna dalam buku Ombak Samudera seperti misteri dan rahsia laut. Selain itu, pembaca juga akan melihat perjuangan diri yang utuh, renungan jiwa yang mendalam serta kehidupan yang penuh cabaran dan rintangan.

Karya Kirana Kejora diinspirasi daripada novel Arena Wati.

Seterusnya, Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin iaitu pensyarah di Insitut Penyelidikan Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Pemetaan Ilham Dalam Karya Pilihan Arena Wati”.

Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin sedang membicarakan tentang karya Arena Wati.

Menurutnya dalam kajian tersebut, peta amat penting untuk Arena Wati dalam menulis novel. Sewaktu Arena Wati menulis novel, beliau akan memetakan idea-ideanya terlebih dahulu kerana hal ini membantunya memastikan karya yang sedang ditulis tersebut mengikut apa yang dihasratkannya.

Jelas beliau lagi dalam kajiannya, iham atau idea merupakan kurnian Tuhan kepada pengarang. Berdasarkan ilham yang bernas, berwibawa, jernih serta bijaksana yang dimiliki oleh pengarang, karya tersebut akhirnya akan mengajukan kebaikan, kebenaran dan keindahan.

Novel Sakura Mengorak Kelopak.

Tingkatan ilham bagi beliau dipecahkan kepada tiga peringkat, iaitu ilham kembara, ilham sejarah dan ilham seni warisan. Dalam konteks ilham kembara, kebanyakan watak dalam novel Arena Wati mengembara untuk meningkatkan kualiti hidup, serta menambah ilmu dan pengalaman. Antara novel yang diperkatakan dalam kajiannya itu ialah Sakura Mengorak Kelopak dan Kuntum Tulip Biru.

Novel Kuntum Tulip Biru.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.