Oleh Rosnani Ripin
14 Februari 2023, 12:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Bengkel Penulisan Skrip Drama TV Siri 1 yang berlangsung pada 11 Februari 2023, bertempat di Dewan Kuliah 3, Institut Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejuruwatan) Kubang Kerian, Cawangan Kota Bharu, Kelantan, merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT).

“Juallah idea sebanyak mungkin”, petikan kata-kata hikmat tersebut berulang kali diucapkan Puan Rohani Deraman, pemenang anugerah Skrip Drama TV 2022, kepada lebih kurang 50 orang peserta bengkel tersebut. Beliau yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan merupakan seorang penulis novel prolifik yang aktif menghasilkan karya dalam pelbagai genre, dan telah menerima banyak anugerah penulisan.

Ungkapan tersebut merupakan unsur positif agar penulis lain aktif berkarya. Selain itu, beliau juga telah memberi galakan kepada peserta bengkel agar tidak berasa takut dan kecewa untuk berkarya sekiranya karya yang dihasilkan gagal diterima penerbit drama.

Perkongsian ilmu dan pengalamannya sebagai penulis Skrip Drama TV banyak menyuntik semangat peserta yang lebih jelas dan berkeyakinan untuk terus berkarya. Beliau yang juga pernah dianugerahi Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan pada tahun 2015 juga menekankan bahawa tugas menghasilkan proposal amat penting sebelum menghantar karya kepada penerbit.

Bengkel penulisan tersebut dimulakan dengan sesi pengenalan dan asas kepada penulisan skrip drama televisyen. Pada sesi kedua pula peserta diberikan pendedahan berkenaan aktiviti amali penyediaan kertas cadangan (proposal). Peserta dibimbing untuk menyediakan dan menyiapkan kertas cadangan skrip drama TV dengan panduan dan idea dalam proses persembahan idea (pitching) kepada syarikat produksi dan penerbit rancangan.

Selainnya, peserta juga dinasihatkan supaya memiliki ketahanan mental dan fizikal sewaktu berhadapan dengan panel penilai ketika menjalani proses pitching. Beliau turut memberi penekanan bahawa penulis perlu mempunyai justifikasi yang kukuh dan tepat terhadap setiap karya agar menepati kehendak penerbit.

Peserta Bengkel Penulisan Skrip Drama TV.

Menurutnya lagi, karya daripada novel atau skrip drama radio boleh diadaptasi kepada skrip drama TV melalui proses modifikasi nama watak, perwatakan, latar masa, latar tempat, dan seumpamanya lagi agar menepati kehendak penerbit. Tambah beliau lagi, seseorang penulis memerlukan ketekunan dalam menyiapkan sesebuah skrip drama serta perlu lebih teliti bagi memenuhi kehendak penonton sasaran, dan menepati garis panduan pihak penerbit.

Bengkel tersebut diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta yang mewakili persatuan-persatuan penulis seperti Grup Teater Asyik Terengganu (GTA), Perkumpulan Teater Terengganu (KUMPUTER), Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (PESISIR), Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Persatuan Penyair Malaysia Cawangan Kelantan (PENYAIR). Sijil penyertaan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.