13 Februari 2023, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Sejak tahun 1987, Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif kepada khalayak umum yang berminat meningkatkan kemahiran dalam bidang penulisan cerpen, puisi dan rencana. Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) diwujudkan di Kelantan, maka bengkel ini telah diberikan nafas baharu oleh DBP pada tahun 2000.

Menurut Ketua 1 GEMA, Encik Zainal Abidin Muhammad, ketika memberikan kata-kata aluan dalam majlis perasmian program tersebut, sebelumnya program tersebut telah diadakan secara berkampung selama tiga hari dua malam dan secara bersemuka pada hujung minggu sahaja, tetapi kini telah dianjurkan secara dalam talian.

Antara peserta yang terlibat dalam bengkel tersebut.

Seramai lebih 140 orang peserta bengkel dari Kelantan, Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu bakal dibimbing oleh lapan orang penceramah bengkel yang terdiri daripada penulis hebat seperti Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr. Shamsudin Othman dan Cikgu Zizee Setapa untuk penulisan puisi, Nik Mohd Iznan Nik Yaakob (Nimoiz T.Y.), Dr. Maskiah Hj. Masrom dan Abdul Hadi Yusoff bagi penulisan cerpen, dan Dr. Abdullah Yusoff dan Ku Seman Ku Husain untuk genre rencana.

Dr. Norhayati Ab. Rahman sedang membimbing peserta bengkel.

Selain daripada itu, para peserta juga bakal dibimbing secara intensif oleh beberapa orang pembimbing pada sesi bengkel penulisan cerpen, puisi dan rencana bagi menghasilkan buku antologi yang bakal diterbitkan oleh GEMA seperti tahun-tahun sebelumnya. Pada masa yang sama, karya-karya peserta layak menyertai Sayembara Penulisan Kreatif dan Deskriptif Negeri Kelantan 2023, dan Sayembara Penulisan Puisi bertemakan Sains dan Teknologi 2023 anjuran DBP Wilayah Timur (DBPWT) dan GEMA.

Dr. Abdullah Yusoff sedang membimbing peserta bengkel dalam aspek penulisan rencana.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail yang mewakili Puan Norjanah Yusof, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, telah menzahirkan sokongan daripada pihak DBP kepada penganjuran program tahunan ini kerana saban tahun berjaya melahirkan penulis pelapis yang berbakat dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif serta berjaya meraih hadiah dan anugerah penulisan. Di samping itu, DBPWT juga telah merancang beberapa lagi program pada tahun ini bagi meningkatkan pendedahan dan pelestarian sastera di negeri Kelantan dan Terengganu.

Memulakan sesi bengkel, para peserta telah diberikan pendedahan penulisan puisi oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dan rencana oleh Dr. Abdullah Yusoff yang memberikan pengenalan asas kepada kedua-dua genre penulisan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.