30 Januari 2023, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Bersempena dengan Bazar Buku Kedah 2023, telah berlangsungnya Majlis Pelancaran Kumpulan Skrip Drama Pentas Sepatu karya Joe K.A.S. Buku ini merupakan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang terbaharu berada di pasaran. Majlis ini telah diadakan di Star Parade (Pacific) Alor Setar, Kedah, pada sabtu lepas.

YBrs. Encik Mohamad Fahmi Che Mit iaitu Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah telah merasmikan majlis pelancaran ini. Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Nurul Julia Alani Henry; Encik Zainal Abidin Mohd Zain, bekas editor Buletin Jendela Utara. Selain itu, Puan Asmawiza Hussin selaku Pengurus Pusat Seni dan Budaya Universiti Utara Malaysia (UUM; Encik Zamrie Abdul Razak, Pengurus Besar Menara Alor Setar dan Puan Farhana Othman dari Jabatan Pertubuhan Persatuan Malaysia Negeri Kedah turut sama memeriahkan majlis pelancaran ini.

Ketika merasmikan majlis ini, Encik Mohamad Fahmi Che Mit berkata penulisan kreatif adalah suatu bentuk kebebasan untuk setiap insan yang menulis. Penulisnya bebas menggambarkan buah fikir, gejolak perasaan dan daya kreativiti yang tersendiri. Tambahan lagi, apabila menggarap  sesuatu dengan bahasa yang indah, penyusunan ayat yang menarik sudah tentu menghasilkan sesuatu karya yang unik dan hebat.

Encik Fahmi Che Mat, Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah, sedang berucap dan seterusnya melancarkan buku ini.

Penulisan kreatif merupakan perkara yang sentiasa berkembang dari semasa ke semasa dan sesuai dengan perubahan pemikiran manusia, teknologi dan gaya kreativiti manusia. Apa pun perubahan yang berlaku dalam bidang penulisan kreatif, sama ada dari segi teori  dan amali hanya golongan penulis yang cekal, beriltizam dan serius sahaja yang akan kekal dalam penglibatan mereka sebagai penulis.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Joe K.A.S atas usaha dan kejayaan beliau menghasilkan naskhah Buku Kumpulan Drama Pentas yang berjudul Sepatu. Ucapan tahniah juga turut diselitkan kepada penerbit buku ini, iaitu DBP, khususnya DBP Wilayah Utara di atas kerjasama dan bantuan bagi merealisasikan penerbitan buku yang amat bermakna itu.

Joe K.A.S atau nama sebenarnya Mohd Zulkamal Ismail merupakan seorang penulis skrip teater dan drama. Beliau juga merupakan seorang pengarah teater kanak-kanak yang aktif di Negeri Kedah.

Joe K.A.S menerima cenderamata daripada Puan Julia Henry, pengarah DBP Wilayah Utara ketika majlis pelancaran tempoh hari.

Bazar Buku Kedah 2023 yang bermula pada 26 Januari hingga 30 Januari 2023 anjuran Persatuan Penyelidikan dan Pembudayaan Sejarah Negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis (PESKAP) telah disertai oleh beberapa penerbit buku terkemuka tanah air termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka dan UUM Press selain melibatkan pedagang buku tempatan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.