17 Januari 2023, 06:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri memberi reaksi balas terhadap tulisan Karmila Azmi tentang penganjuran Anugerah Sastera Kedah.

Pencalonan ASDA tidak berlaku secara automatik dan penulis atau wakil mereka mestilah membuat pencalonan, sama seperti orang lain.

Sebelum saya mengomel lebih jauh, ada beberapa fakta yang perlu diketahui oleh pembaca tentang penganjuran Anugerah Sastera Kedah (ASDA) yang pertama kali diadakan setelah hampir lima dekad penubuhan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). ASASI merupakan persatuan di bawah Gabungan Persatuan Penulisan Nasional Malaysia atau GAPENA.

Pertama: Syarat penyertaan ASDA terbuka kepada semua “anak kelahiran Kedah” dan pemastautin negeri Kedah. Kedua: Panel hakim ASDA terdiri daripada ilmuwan dan sasterawan yang tidak asing lagi di ranah sastera tanah air. Ketua hakim ASDA tahun lepas ialah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Panel yang lain ialah Dr. Hanafi Ibrahim, Dr. Kamariah Kamaruddin, Tuan Haji Hamzah Hamdani, serta tuan rumah Ketua 1 ASASI, Tuan Haji Abu Hassan Morad. Tidak ada hakim “bidan terjun” dan tentulah para pemenang bukan dalam kategori “tangkap muat”.

Jadi terjawablah sudah serkap jarang “mungkinkah” penulis bahawa syarat penyertaan terlalu ketat. Kenapa penulis kelahiran Kedah yang tinggal di luar tidak ikut serta. Kenapa pula tidak ikut serta. Bukankah pemenang Kumpulan Puisi Terbaik, Dr. Syafiq Said tidak tinggal di Kedah? Begitu juga pemenang Kumpulan Cerpen Terbaik, Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan juga bukan tinggal di negeri Kedah. Begitu juga dengan pemenang Cerpen Terbaik (Eceran), Dr. Ummu Hani Abu Hassan juga tidak tinggal di Kedah.

Kenapa Zainal Rashid Ahmad, Muhammad Lutfi Ishak, Puzi Hadi, Wan Nor Azriq, Ridzuan Harun, dan puluhan nama lain yang tidak ikut serta, bukan atas sebab syarat penyertaan yang ketat tetapi atas sebab-sebab lain yang saya tidak mahu serkap jarangkan.

Pencalonan ASDA tidak berlaku secara automatik dan penulis atau wakil mereka mestilah membuat pencalonan, sama seperti orang lain. Jika Sasterawan Negara Zurinah Hassan boleh mencalonkan dirinya sendiri, kenapa pula penulis lain tidak boleh?

Seperti juga Hadiah Sastera Sabah, ASDA juga ada dimenangi oleh nama-nama baharu yang belum dikenali oleh ramai orang. Jika Aloy Indra Jokina boleh menang anugerah, kenapa pula Syafiq Said tidak boleh menang? Begitu juga penganugerahan Anugerah Sasterawan Negeri Sabah kepada Hasyuda Abadi yang prolifik baru-baru ini, kenapa pula Osman Ayob yang juga prolifik menulis puluhan novel dan kumpulan cerpen tidak boleh menang Anugerah Sasterawan Negeri Kedah?

Sudah tentulah muka-muka baharu dalam ranah sastera negeri belum cukup dikenali kerana belum memenangi anugerah kebangsaan. Tentu sekali mereka akan lebih yakin untuk ke peringkat kebangsaan setelah mendapat pengiktirafan di negeri sendiri. Namun begitu, dalam senarai pemenang, ada ramai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, seperti Zainol Idris, Ria Asmira, Amelia Hashim, dan beberapa nama lain. Jadi, pemenang ASDA bukanlah hanya jaguh kampung, tetapi ada sebilangan yang sudah teruji di persada kebangsaan.

Tertulis di nota kaki makalah bahawa pemakalah ialah penulis bebas dan “penyelidik” sastera, tetapi jelas sebelum menulis tentang ASDA 2022, beliau gagal “menyelidik” terlebih dahulu. Beliau gagal menyelidik tentang syarat penyertaan dan juga senarai pemenang yang ramai tidak tinggal di negeri Kedah.

Apabila mengandaikan anugerah sastera negeri lain dan ASDA yang julung-julung kali diadakan berada dalam “kelemahan”, sama ada dengan andaian yang tidak tepat atau tidak adil buat penganjur, barisan hakim dan juga pemenang; bak kata pepatah utara, “Kalau tak pandai, jangan buat pandai-pandai”. Carilah dulu syarat-syarat pencalonan dan kaji dulu senarai pemenang sebelum menggoreng sesuka hati. Apa yang berlaku dalam anugerah sastera di negeri lain tidak semestinya berlaku di negeri kami.

Kredit Foto: Robert Zunikoff/Unsplash

_________________________

Ibnu Din Assingkiri penulis dan pembimbing penulisan kreatif yang berasal dari Kedah tetapi bermastautin di Pulau Pinang. Beliau juga ialah salah seorang pemenang ASDA 2022. Tulisan ini ialah pandangan peribadi beliau semata-mata.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!