Oleh Karmila Azmi
16 Januari 2023, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karmila Azmi meneliti suka duka perkembangan baharu penganjuran hadiah sastera peringkat negeri.

Bukan untuk menafikan barisan pemenang yang diumumkan, namun persoalan yang timbul mungkinkah syarat penyertaan terlalu ketat lalu menyebabkan sebahagian penulis kelahiran Kedah yang berada di luar negeri itu tidak berminat untuk turut serta?

Sejauh mana penganjuran hadiah sastera peringkat negeri memberi pengiktirafan kepada karya berkualiti? Adakah penganjurannya hanya medan meraikan penulis tidak menonjol pada peringkat kebangsaan?

Persoalan ini menarik untuk dibincangkan kerana tahun lalu, beberapa penganjuran hadiah sastera peringkat negeri bergelut dengan kontroversi. Pada bulan Mac tahun lalu, Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI 2022) menjadi tumpuan hangat.

Hal ini susulan kemenangan beberapa penulis yang dilihat seolah-olah tangkap muat. Misalnya, bagaimanakah seorang penulis yang berusia 73 tahun boleh dianugerahkan sebagai Sasterawan Harapan? Kemudian, pengarang terkenal, Fahd Razy secara terbuka menerusi media sosialnya bertarikh 9 Mac 2022 menyebut mengenai bagaimana penyertaan beliau ditolak oleh sekretariat HASDI dengan seribu satu alasan.

Sedangkan Fahd Razy seperti yang dikenali ialah pengarang besar yang sudah memenangi puluhan sayembara peringkat kebangsaan, menjadi juri sayembara juga novelnya Pascasejarah sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Baru-baru ini, sekitar bulan Disember tahun yang lalu, Kedah juga menganjurkan Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA 2022). Meskipun tiada kontroversi yang mengekori penganjuran itu, tetapi khalayak sastera bertanya di manakah para pengarang Kedah yang handal bertarung dalam ranah sastera kebangsaan? Yang namanya selalu memenangi sayembara, diperkatakan oleh khalayak dan punya ramai pembaca?

Poster panggilan penyertaan ASDA 2022 yang dikatakan mengelirukan apabila menulis “Terbuka kepada semua AHLI ASASI dan penulis yang menetap di Kedah”.

Bukan untuk menafikan barisan pemenang yang diumumkan, namun persoalan yang timbul mungkinkah syarat penyertaan terlalu ketat lalu menyebabkan sebahagian penulis kelahiran Kedah yang berada di luar negeri itu tidak berminat untuk turut serta?

Kedah diketahui mempunyai barisan pengarang yang hebat. Setakat ini, Kedah mempunyai tiga orang Sasterawan Negara, iaitu Datuk Abdullah Hussain (Allahyarham), Dato’ Dr. Shahnon Ahmad (Allahyarham) dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Barisan pengarangnya juga bukan calang-calang. Kedah melahirkan Zainal Rashid Ahmad, Muhammad Lutfi Ishak, Puzi Hadi, Wan Nor Azriq, Ridzuan Harun, dan puluhan nama lain.

Namun begitu, nama-nama yang disebutkan di atas merupakan mereka yang prolifik, segar dalam pengkaryaan, memenangi hadiah sastera peringkat kebangsaan, tetapi gagal menempatkan diri dalam ASDA. Mungkin alasannya disebabkan mereka tidak menghantar pencalonan. Mungkin sahaja.

Apatah lagi memang terdapat sebahagian pengarang yang “tidak rajin” untuk mengisi borang dan menghantar pencalonan. Mereka sebaliknya lebih selesa “diburu” oleh penganjur untuk menghantar penyertaan.

Namun dari segi lain, hal ini sebenarnya memberikan warna kepada sastera itu sendiri. Kemenangan penulis muda misalnya dan penulis baharu memberi harapan, bahawa sastera akan terus berkembang dengan kemunculan orang baharu. Tidaklah nanti timbul cemuhan “balik-balik muka itu juga yang menang”.

Hal ini diperkemas lagi dengan konsistennya beberapa buah negeri menganjurkan hadiah sastera. Sabah, Sarawak dan Perak begitu juga Johor misalnya, mengalu-alukan penyertaan semua pengarang kelahiran negeri masing-masing untuk sama-sama diraikan sebagai penulis negeri.

Sabah dan Sarawak belum mempunyai Sasterawan Negara tetapi Perak sudah memiliki dua Sasterawan Negara, iaitu Dato’ Baharudin Zainal (Baha Zain) dan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh yang lahir di Taiping.

Namun begitu, ketiga-tiga negeri ini mempunyai barisan pengarang mampan yang hebat dan mereka bukan hanya diraikan pada peringkat kebangsaan tetapi juga di negeri kelahiran sendiri.

Dalam sastera, merit kemenangan peringkat kebangsaan sangat besar berbanding penganjuran peringkat negeri. Namun begitu, kesediaan kerajaan negeri dan usaha gigih persatuan penulis pada peringkat negeri mengadakan hadiah sastera seharusnya dialu-alukan. Hal ini merupakan pengiktirafan besar kepada anak negeri selain sebagai isyarat mereka “disayangi” dan dihargai sebagai anak negeri, meskipun mungkin sudah berhijrah dan menetap di negeri lain.

Malah hal ini juga usaha terbaik dari kerajaan negeri untuk sama-sama merancakkan perkembangan sastera kebangsaan.

Namun begitu, kita tidak juga menolak ada sesetengah pengarang hanya mampu bertarung di gelanggang negerinya sahaja. Berpuluh tahun bergelar penulis, bukan bermakna setiap kali berkarya, hasilnya hebat. Tanpa mahu memperbaiki diri, kualiti karya akan tersekat di takuk itu saja. Justeru, mereka gagal menyerlah pada peringkat kebangsaan. Mereka seharusnya sedar untuk cepat bangun dan memperbaiki diri. Peringkat negeri ialah kolam kecil yang jika tidak berjaga-jaga mampu melemaskan.

Pertarungan sebenar ialah peringkat kebangsaan atau jika mampu pada suatu masa nanti, rentasi juga peringkat antarabangsa.

Kredit Foto: Viktor Talashuk/Unsplash

_________________________

Karmila Azmi penulis bebas dan penyelidik sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!