11 Januari 2023, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kaithiri Arumugam mendokumentasikan sejarah dan perkembangan sastera kanak-kanak yang jarang-jarang dilihat dan dibicarakan dalam dunia sastera.

Pada awal perkembangan, kesusasteraan kanak-kanak dalam kalangan masyarakat Melayu bermula dengan tradisi sastera lisan. Sastera lisan atau sastera rakyat, walaupun ditujukan khusus untuk santapan anggota masyarakat yang dewasa, turut juga diminati oleh kanak-kanak.

Kesusasteraan kanak-kanak berperanan mewujudkan dunia kanak-kanak yang menyeronokkan. Melalui kesusasteraan ini, kanak-kanak akan lebih berminat untuk membaca bahan sastera yang kreatif dan imaginatif sesuai dengan usia mereka. Mohd Sidin Ahmad Ishak (2005) menakrifkan kesusasteraan kanak-kanak sebagai karya yang tidak mengetepikan kanak-kanak meliputi karya daripada buku bergambar sehingga novel yang boleh dinikmati sama ada secara bersendirian atau bersama-sama dengan orang dewasa.

Menurut Molina S. Nijhar (1984), kesusasteraan kanak-kanak merangkumi semua jenis penulisan kreatif dan imaginatif yang dikhususkan untuk bacaan, hiburan dan penilaian kanak-kanak. Kesusasteraan kanak-kanak bertujuan untuk menambah pengalaman dan pengetahuan, membina serta mengembangkan penghayatan estetik melalui bahasa dan lukisan, serta menghibur, melalui pembacaan atau penceritaan karya-karya sastera yang memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif dan afektif (Izzah Abdul Aziz, 2001). Pendek kata, kesusasteraan kanak-kanak merangkumi semua karya sastera berbentuk fiksyen dan bukan fiksyen yang ditulis khusus untuk bacaan kanak-kanak yang memberi gambaran kehidupan dan fikiran manusia untuk menambahkan pengalaman kanak-kanak.

Pada awal perkembangan, kesusasteraan kanak-kanak dalam kalangan masyarakat Melayu bermula dengan tradisi sastera lisan. Sastera lisan atau sastera rakyat, walaupun ditujukan khusus untuk santapan anggota masyarakat yang dewasa, turut juga diminati oleh kanak-kanak (Hadijah Rahmat, 2006). Hikayat Penerang Hati (1896) merupakan cerita kanak-kanak terawal yang pernah diterbitkan. Hikayat tersebut merupakan karya terjemahan daripada cerita-cerita dongeng Aesop yang popular di negara-negara barat (Arba’ie Sujud, 2009).

Sekiranya diteliti, karya kesusasteraan kanak-kanak bukan sahaja dinikmati oleh kanak-kanak, malah turut diminati oleh orang dewasa. Penulis seperti Charles Perrault, Grimm Bersaudara, Hans Christian Anderson dan Joseph Jacobs terkenal dengan cerita seperti Cinderella, Red Riding Hood, Snow White, Rapunzel dan Jack and the Beanstalk. Dalam masyarakat Melayu tradisional pula, cerita rakyat yang popular adalah seperti Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai, Pak Belalang dan Lebai Malang, mendapat perhatian kanak-kanak dan orang dewasa.

Pada awal tahun 70-an, Enid Blyton merupakan penulis buku kanak-kanak. Karyanya terkenal di luar negara dan juga di Malaysia. Pada tahun 1974, karya Enid Blyton paling banyak diterjemahkan, iaitu sebanyak 149 terjemahan di 15 buah negara. Di Malaysia, karya-karya Enid Blyton diterjemahkan oleh Penerbitan Fargoes Sdn. Bhd., dan Syarikat S. Abdul Majeed. Aktiviti penterjemahan karya sastera ini jelas menunjukkan bahawa karya sastera kanak-kanak mendapat permintaan ramai kerana dibaca dan digemari oleh golongan dewasa walaupun kebanyakan latar utama dalam karya sastera kanak-kanak berpusatkan alam kanak-kanak.

Kesusasteraan kanak-kanak dikatakan bermula pada abad ke-17 kerana didapati ada kanak-kanak menggunakan buku walaupun pada ketika itu belum ada usaha khusus untuk menerbitkan buku bagi kegunaan kanak-kanak. Di Barat, semua karya/cerita sebelum tahun 1700 dianggap sebagai teks untuk golongan kanak-kanak dan remaja, misalnya sastera rakyat seperti cerita binatang, kisah mitos, kisah legenda dan cerita fantasi.

Di Malaysia, kesusasteraan kanak-kanak berkembang dalam tiga tahap yang umum iaitu, Tahap Permulaan: Penerbitan Misi Kristian, Tahap Pertumbuhan: Peranan Pejabat Karang-Mengarang, dan Tahap Selepas Merdeka: Pertumbuhan Penerbit Baru. Tahap permulaan kesusasteraan kanak-kanak berkembang di Tanah Melayu, iaitu apabila pengembang agama Kristian dari England dan Amerika bertapak di Negeri-negeri Selat untuk menyebarkan agama Kristian serta bergiat aktif dalam hal-hal pendidikan untuk kanak-kanak tempatan. Oleh itu, terdapat keperluan untuk menyediakan bahan bacaan kanak-kanak dalam bahasa Melayu secara khusus bagi tujuan memperkenalkan kemahiran menulis dan membaca.

Pada tahap permulaan itu, buku-buku yang diterbitkan adalah untuk golongan muda termasuklah buku kanak-kanak seperti Menolong Segala Anak (1818) yang ditulis oleh Claus Henrich Thomsen. Selain itu, Buku Pelajaran Bahasa Melayu (No.1) dan Buku Pelajaran Bahasa Melayu (No.2) telah diterbitkan pada tahun 1838, dan tahun 1847 oleh Mission Press. Seterusnya, buku Bacaan Kanak-kanak (1840), Budak Hampir Tenggelam (1844), Teka-teki Tebang (1855), dan Jalan Kepandaian (1876) diterbitkan bagi tujuan mengajar kanak-kanak membaca dan menulis. Pada masa yang sama, buku-buku cerita keagamaan banyak diterbitkan untuk membolehkan kanak-kanak menikmati dan menghayati cerita yang dapat memberikan pengajaran. Antara judulnya ialah Harry Belajar (1846), Henry (1840), Kisah-kisah Kitab Injil (1844) dan Ceritera Indah (1860).

Pada akhir abad ke-19 pula, buku cerita yang mengandungi kisah hikayat seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Indera Mengindera, Hikayat Isma Yatim dan Hikayat Seri Rama dijadikan sebagai bacaan awal bagi murid-murid sekolah. Menurut Mohd. Sidin Ahmad Ishak (2005), beberapa buku seperti Gemala Hikmat (1906),  Kiliran Budi (1906), Cerita Jenaka (1908), Hikayat Pelanduk (1925) dan Kisah Pelayaran Abdullah (1928) diterbitkan untuk murid-murid sekolah pada awal abad ke-20.

Tahap kedua memperlihatkan pertumbuhan Pejabat Karang-Mengarang (PKM) pada tahun 1924. PKM ditubuhkan bertujuan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin buku-buku untuk kegunaan sekolah Melayu, dan bahan bacaan untuk masyarakat Melayu secara amnya. Menurut Hadijah Rahmat (2006), sumbangan PKM terhadap perkembangan kesusasteraan kanak-kanak pada tahap itu dapat dilihat daripada dua siri penerbitannya, iaitu “The Malay School Series” yang menerbitkan buku teks dan “The Malay Home Library Series” yang menyediakan buku bacaan sastera ringan untuk kanak-kanak sekolah dan juga orang dewasa. Pada tahap kedua ini, PKM juga telah memperkenalkan cerita pengembaraan dan penyiasatan dari dunia Barat seperti Hikayat Taman Ajaib (1929), Chendera Lela (1931), Sang Kuching Berkasut dan Lain-lain Cherita (1932), Panglima Hercules (1933), Cherita-Cherita Grimm (1936) dan Hikayat Taman Peri (1937), manakala dari Timur Tengah diterbitkan cerita dongeng seperti Cherita Ali Baba (1934), Cherita Alhambra (1937) dan Cherita Ala’ud-din (1931).

Selain itu, PKM juga telah menerbitkan cerita-cerita binatang, misalnya cerita Sang Maharaja Singa (1929). Bagi merancakkan lagi penghasilan karya sastera kanak-kanak, PKM juga telah bertanggungjawab menganjurkan tiga peraduan mengarang pada tahun 1951, 1953 dan 1956. Karya yang memenangi peraduan tersebut adalah seperti novel detektif Chinchin Rahsia (1953), Bahagia Sa-sudah Derita (1958), Ahad (1959) dan cerita pendek Aku Di-Sabuah Pulau Dan Lain-Lain Cherita (1957). Selain itu, terdapat juga buku dongeng tradisional dan klasik tempatan diterbitkan pada tahap ini iaitu Batu Belah Batu Bertangkup (1937), Singapura Di-Langgar Todak (1950), Siri Cerita untuk Kanak-Kanak (1956), Hikayat Pancha Tanderan (1965) dan Hikayat Sang Kanchil (1953). Hasilnya, PKM dianggap telah memperluas usaha orang perseorangan dalam usaha memajukan kesusasteraan kanak-kanak (Hadijah Rahmat, 2006).

Tahap ketiga muncul menerusi pertumbuhan penerbit baharu selepas kemerdekaan. Pada tahun 1956, Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru ditubuhkan telah meniupkan semangat kepada dunia penerbitan dan pengkaryaan buku kanak-kanak (Mohd. Sidin Ahmad Ishak, 2005). Pada tahap ini, muncul penerbit tempatan dan penerbit antarabangsa yang mula beroperasi di negara ini yang turut membantu dalam perkembangan kesusasteraan kanak-kanak.

Penerbit antarabangsa yang memulakan penerbitan buku berbahasa Melayu adalah seperti Oxford University Press, Federal Publication, Longman, Heinemann Educational Books, MacMillan Publishing dan Eastern University. Pada masa yang sama, terdapat juga penerbit tempatan yang muncul seperti Sinaran Bros, Pustaka Dian, Pustaka Aman, Pustaka Antara, Pustaka Melayu Baru, Penisular Publications dan Pustaka Pendidikan.

Kemunculan syarikat penerbitan menyebabkan wujudnya kesedaran dan minat masyarakat terhadap kesusasteraan kanak-kanak selepas kemerdekaan hingga tahun 1970-an. Hasilnya, penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka serta penganjuran Seminar Kebangsaan Mengenai Sastera Kanak-kanak telah memberikan nafas baharu kepada usaha penerbitan bahan bacaan kanak-kanak dalam bahasa Melayu.

Dalam kajian Mohd Sidin Ahmad Ishak (2005), didapati bahawa pada tahun 2000, jumlah pendaftaran keseluruhan bagi kategori buku kanak-kanak ternyata telah meningkat sebanyak 1312 judul atau 30% berbanding tahun sebelumnya iaitu dari 3131 judul pada tahun 1999 kepada 4443 judul pada tahun 2000. Senario ini menunjukkan bahawa kemunculan syarikat penerbitan buku telah membantu perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia. Pada tahun 2000, terdapat sebanyak 180 buah syarikat penerbitan buku terlibat dalam aktiviti penerbitan judul baru buku kanak-kanak (Mohd. Sidin Ahmad Ishak, 2005). Pada tahun tersebut, beberapa buah syarikat penerbit berusaha menghasilkan lebih banyak buku kanak-kanak seperti Penerbit Koh Wai & Young Publication (M) Sdn. Bhd., Penerbit Fargoes Sdn. Bhd. dan Aneka Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Pada masa yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka bukan sahaja aktif dalam penerbitan buku kanak-kanak, malah menjadi nadi utama dalam mengarah dan menyemarakkan lagi suasana dan kegiatan kesusasteraan kanak-kanak tempatan (Hadijah Rahmat, 2006). Penganjuran beberapa siri seminar turut memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia. Festival Sastera Kanak-Kanak 2014 yang diadakan di Amphitheatre, Menara Kuala Lumpur, misalnya merupakan inisiatif memperjuangkan sastera kanak-kanak dalam pelbagai genre di peringkat nasional.

Perkembangan kesusasteraan kanak-kanak semakin berkembang dan selepas tahun 1970-an, kesusasteraan kanak-kanak mula menampakkan satu perkembangan yang positif. Hal ini demikian kerana, telah muncul banyak buku cerita khusus untuk bacaan kanak-kanak yang diterbitkan oleh pelbagai pihak penerbit.

 

Rujukan

Arba’ie Sujud. (2009). Menjelajah dimensi sastera kanak-kanak dan remaja di Malaysia: Suatu penelitian. Seminar sehari kesusasteraan kanak-kanak dan remaja.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Hadijah Rahmat. (2006). Peranan dan perkembangan sastera kanak-kanak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Izzah Abdul Aziz. (2001). Buku bergambar: langkah pertama ke alam fantasi dan realiti. Dibentangkan di Seminar Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (hlm.1-13). Kuala Lumpur.

Mohd. Sidin Ahmad Ishak. (2005). Perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Molina. (1984). Apakah sastera kanak-kanak-khasnya buku bergambar. Dalam Othman Puteh & Abdul Ahmad, Sekitar sastera kanak-kanak dan remaja (hlm.1-15). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Rusell,D.(2005). Literature for children: A short introduction. United State of America: Pearson.

_________________________

Dr. Kaithiri Arumugam merupakan seorang guru dan Munsyi Dewan (Sastera).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.