9 Januari 2023, 15:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2010 (SEA Write Award), Zaen Kasturi; Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Perak, Onn Abdullah, penyanyi kumpulan Kopratasa, Sani Sudin, dan mantan penyiar radio RTM popular, Zazmie Zain merupakan antara yang tampil di pentas “Sepetang Santai Seni Kuala Lumpur (Campbell-PENYAIR) 2023/Siri 1” di Lobi Hotel The Grand Campbell, Jalan Dang Wangi pada 7 Januari lalu.

Acara anjuran PENYAIR dan The Grand Campbell Hotel yang pertama untuk tahun 2023 ini dimulakan dengan persembahan gurindam berjudul “Perpaduan” oleh penulis veteran, Pena Permai.

Pena Permai bergurindam membuka acara.

Turut membuat persembahan dalam program tersebut ialah Sasterawan Negara (SN) ke-15, Rahman Shaari. Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), mendeklamasikan sajak sendiri berjudul “Sengsara”. Zaen Kasturi pula tampil dengan sajak karya beliau, “Sajak kepada Pencuri Kasutku” yang berunsur kemanusiaan nostalgik, yang menurutnya berdasarkan kejadian sebenar yang pernah dialami beberapa dekad lalu.

SN Rahman Shaari sedang mendeklamasikan sajak bertajuk “Sengsara”.

Onn pula mendeklamasikan sajak sendiri bertajuk “Tanah Leluhur Pusaka” yang terdapat dalam antologi puisi terbaharu, Mengukir Nama di Atas Peta. Sani Sudin yang mengasaskan dan menganggotai kumpulan muzik Kopratasa bersama-sama dengan Usop dan Siso, turut bernostalgia mendendangkan lagu puisi berjudul “Rinduku”, yang dipetik daripada album pertama, Keringat dalam Pasrah (1987) sambil memetik ukulele.

Zaen Kasturi mendeklamasikan sajak bertajuk “Sajak kepada Pencuri Kasutku”.

Selain itu, Zazmi pula menampilkan bakat menyanyi selepas bersara beberapa tahun lalu. Dengan bantuan minus one, beliau memikat hadirin dengan mendendangkan lagu puisi bertajuk “Menambat Rakit” (daripada sajak bertajuk serupa, karya SN ke-4, A. Samad Said, dan melodi ciptaan penyanyi asal lagu ini, Ahmad Ramli). Turut beraksi termasuklah deklamator Norazimah Abu Bakar daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia/GAPENA, seniman Ladin Nuawi, serta penyair Man Bakrie, Usman Gumanti Ibrahim, Razali Mohd. Yussof, Hamizun Syah, dan Julia Ikin. Usman yang bertindak sebagai pengacara turut mendeklamasikan sajak karyanya sendiri yang amat digemarinya, iaitu “Aku Hanya Ingin Menjadi Penyair”.

Usman Gumanti Ibrahim.
Zazmi Zain yang bersuara merdu.
Ladin Nuawi dengan sajak lucu dan sinis beliau.
Sani Sudin turut menghiburkan hadirin.

Selanjutnya, Norazimah dan Hamizun memilih sajak karya Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (yang turut hadir), iaitu masing-masing “Rumah Kami yang Indah” (juga daripada antologi puisi Mengukir Nama di Atas Peta), dan “Masih Tersisa”. Maslinah Yusof yang sememangnya sering tampil di pentas-pentas puisi menyanyikan sebuah lagu puisi dengan iringan minus one. Beliau memilih sajak karya Siti Zaleha M. Hashim bertajuk “Sesetia Malam Pada Siang” (dendangan asal Kopratasa daripada album Sesetia Malam (1997). Selain Usman, Razali, Man, Ladin, Maslinah, dan Che Su Deraman, wakil PENYAIR lain yang turut mendeklamasikan sajak ialah Dr. Haji Mashudi Bahari dengan sajak bertajuk “Detik Jalan ke Destinasi”.

Acara anjuran PENYAIR dan The Grand Campbell Hotel yang pertama untuk tahun 2023 ini dimulakan dengan persembahan gurindam berjudul “Perpaduan” oleh penulis veteran, Pena Permai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.