6 Januari 2023, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nur Hidayah Ismail melihat cabaran yang terpaksa dihadapi oleh mereka yang meminati sastera ataupun terlibat dengannya secara tidak langsung.

Antara cabarannya ialah peluang pekerjaan yang terhad bagi pelajar pengajian kesusasteraan. Hal ini dapat dilihat apabila peluang pekerjaan bagi golongan tersebut kebiasaannya terhad kepada guru, novelis dan juga pensyarah.

Kesusasteraan Melayu merupakan bidang yang mempunyai keunikan dan kelebihannya yang tersendiri. Kesusasteraan Melayu juga sinonim dengan keindahan dan ketenangan. Penulisan karya sastera merujuk kepada ciptaan seni yang menggunakan bahasa bersifat kreatif dan bukan sahaja terhad kepada penulisan semata-mata, tetapi juga dalam bentuk lisan yang dilafazkan dalam pertuturan dan percakapan.

Perkembangan zaman yang semakin maju telah memberi impak besar dalam bidang kesusasteraan Melayu. Kesan yang jelas dilihat ialah kurangnya permintaan dan penggunaan sastera dalam kalangan masyarakat. Perubahan zaman ini menjadi cabaran utama dalam perkembangan sastera. Terdapat juga beberapa cabaran lain ekoran daripada hal tersebut.

Antara cabarannya ialah peluang pekerjaan yang terhad bagi pelajar pengajian kesusasteraan. Hal ini dapat dilihat apabila peluang pekerjaan bagi golongan tersebut kebiasaannya terhad kepada guru, novelis dan juga pensyarah. Kesannya, subjek yang dipelajari telah mengalami perubahan dengan penerapan beberapa kemahiran seperti kemahiran pemikiran analitik. Hal ini kerana agar pelajar pengajian kesusasteraan Melayu dapat memenuhi kehendak pasaran kerja di peringkat tempatan mahupun global. Hasilnya, kemahiran yang telah diterapkan tersebut boleh melayakkan mereka memohon pekerjaan seperti pengacara dan eksekutif pemasaran.

Namun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang mempersoalkan kerelevanan mengambil pelajar pengajian kesusasteraan Melayu untuk bekerja. Golongan tersebut melihat kesusasteraan sebagai sesuatu yang bersifat abstrak, tidak seperti bidang lain seperti ekonomi dan sains yang nampak lebih nyata. Makanya, kebolehpasaran graduan pengajian kesusasteraan Melayu semakin menurun.

Cabaran lain adalah berkenaan subjek sastera yang tidak lagi menjadi keutamaan dalam pemilihan kursus ke universiti. Kebanyakan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) lebih tertarik untuk mengikuti bidang sains ke peringkat diploma dan ijazah. Bagi mereka, pengkhususan dalam bidang sains lebih mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja dan lebih berminat dengan kursus yang bersifat penggunaan dan pengalaman sebenar.

Selain itu, kurangnya minat membaca karya sastera dalam kalangan masyarakat juga merupakan cabaran dalam perkembangan dunia kesusasteraan Melayu. Hal ini berlaku disebabkan daripada pelbagai punca, antaranya ialah bahasa yang digunakan dalam karya sastera yang berkemungkinan sukar difahami oleh masyarakat dan penggunaan elemen tertentu yang menyebabkan segelintir masyarakat tidak memahami isi kandungan karya dan akan berasa bosan.

Karya sastera memerlukan penekunan dalam pembacaan dan mesej yang ingin disampaikan juga mempunyai maksud tersirat, berbeza dengan bahan bacaan lain yang lebih ringkas dan mudah difahami.

Cabaran seterusnya ialah kurangnya media cetak yang memaparkan bahan berunsurkan sastera. Hal ini berlaku disebabkan daripada pelbagai punca, antaranya ialah kurangnya permintaan untuk karya sastera. Masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan isu semasa, kandungan dalam blog, dan melayari media sosial seperti Facebook.

Media cetak seperti akhbar harian sepatutnya menyediakan satu ruang khusus untuk memaparkan karya sastera seperti cerpen dan puisi. Perkara ini dapat dilihat dalam Berita Minggu dan Mingguan Malaysia yang menyediakan slot yang khas bagi karya sastera. Pihak pengurusan akhbar perlu memainkan peranan dengan mempergiatkan lagi usaha mempromosi karya sastera pada masyarakat supaya mereka dapat membaca dan hal ini  mampu meningkatkan daya pemikiran. Oleh itu, jelas terbukti kekurangan bahan cetak sastera menjadi cabaran dalam perkembangan dunia kesusteraan Melayu.

Subjek kesusasteraan Melayu yang kurang ditawarkan di sekolah juga merupakan cabaran dalam perkembangan dunia kesusasteraan Melayu. Setiap tahun menunjukkan penurunan yang amat ketara. Perkara ini terbukti apabila bilangan sekolah yang menawarkan subjek sastera makin berkurang. Malah terdapat beberapa sekolah yang telah menghapuskan subjek sastera kerana tidak mendapat sambutan.

Terdapat segelintir pelajar yang menganggap kesusasteraan Melayu itu sebagai klasik dan tidak ada kepentingan untuk mempelajarinya. Pelajar merasakan bahawa teks sastera tidak mempunyai fungsi. Mereka beranggapan bahawa kesusasteraan Melayu ini sukar dipelajari kerana menggunakan laras bahasa yang tinggi, terlalu puitis serta berbunga -bunga dan memerlukan pembacaan yang berulang-ulang untuk memahami  sesuatu ayat tersebut.

Terdapat juga stereotaip yang menganggap pelajar kesusasteraan Melayu ini merupakan pelajar yang lemah dari sudut akademik. Sebahagian sekolah menetapkan aliran sastera diambil oleh para pelajar daripada kelas belakang. Kesannya, pelajar bimbang untuk memilih aliran sastera kerana tidak mahu dilabelkan sebagai murid yang lemah. Oleh itu, mereka lebih memilih untuk menyambung pelajaran dalam aliran sains. Tanggapan sebegini terhadap kesusasteraan Melayu itu sendiri telah menyebabkan subjek kesusasteraan Melayu kurang diminati dan akibatnya sekolah memilih untuk tidak menawarkan mata pelajaran ini.

Teknologi serta pengaruh budaya barat juga merupakan satu cabaran untuk dihadapi. Namun begitu, cabaran sebegini dapat diatasi dengan langkah yang berkesan apabila adanya kerjasama dari pelbagai pihak. Pihak swasta dengan kerjasama pihak kerajaan dapat memainkan peranan dengan mengadakan beberapa bentuk pertandingan kepada masyarakat. Pertandingan yang boleh dianjurkan adalah seperti mendeklamasikan sajak, penulisan kreatif  malah pertandingan esei. Selain itu, agensi  kerajaan wajar menerbitkan  karya sastera dengan lebih banyak.  Pihak kerajaan juga harus berkolaborasi dengan beberapa penerbit dan penulis bagi menghasilkan karya yang berkualiti.

Usaha sebegini harus digerakkan demi  mempertahan dan memperkembangkan dunia kesusasteraan Melayu. Demi menjayakannya, kesungguhan pelbagai pihak  dituntut memastikan karya sastera terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Semua pihak harus bersedia dengan segala cabaran dan kemungkinan yang bakal melanda dunia kesusasteraan Melayu.

_________________________

Nur Hidayah Ismail merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.