30 Disember 2022, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Projek sulung antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan forum Motivational Strips menjadi kenyataan setelah sayembara mencipta dan mendeklamasikan puisi diadakan. Penyertaan untuk sayembara ini diuar-uarkan dalam laman sesawang DBP dan Motivational Strips (MS) pada 1 Ogos 2022 dan tirai sayembara ini dilabuhkan secara rasmi pada 30 September 2022, waktu tempatan.

Dua kategori yang dipertandingkan tersebut menjadi pilihan pihak penganjur kerana  kategori tersebut menuntut daya kreativiti yang berbeza dalam kalangan peserta. Seni mencipta puisi untuk bacaan khalayak dalam media cetak dan media elektronik serta seni mendeklamasikannya dalam bentuk rakaman menitikberatkan dua kemahiran berlainan.

Sayembara puisi sedunia ini agak berbeza daripada sayembara yang lazim dilaksanakan kerana memberi keutamaan kepada para pelajar, remaja, penulis dewasa dan warga emas yang menjadi anggota forum Motivational Strips. Ahli Motivational Strips yang berusia 12 tahun dan ke atas kecuali warganegara Malaysia boleh menyertai pertandingan tersebut.

Pengecualian penyair Malaysia daripada penyertaan tersebut bertujuan untuk menggalakkan penyair antarabangsa membaca, memahami, menghayati keindahan warisan seni kebangsaan dan seterusnya menzahirkannya secara kreatif dan inovatif dalam nukilan dan penyampaian puisi. Malaysia memiliki keunikan tersendiri yang menjadi daya tarikan para pelancong ke negara ini. Kelebihan ini wajar dimanfaatkan oleh penyair dunia dalam seni mencipta dan mendeklamasikan puisi. Oleh itu, tema pertandingan ditetapkan sebagai warisan kebangsaan, seni dan budaya masyarakat Malaysia oleh pihak penganjur.

Memandangkan ahli forum Motivational Strips terdiri daripada penyair dari 170 negara, maka peserta pertandingan dibenarkan mengirimkan nukilan dan lontaran suara mereka dalam bahasa kebangsaan negara mereka dengan syarat ada terjemahan dalam kedua-dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Dengan menetapkan kiriman puisi dalam bahasa Melayu sebagai kriteria wajib, peserta pertandingan telah berusaha mencari penterjemah dari Malaysia untuk menterjemahkan puisi mereka.

Selanjutnya, sayembara ini juga telah memperkukuh jalinan persahabatan antara penulis Malaysia dengan penulis antarabangsa dalam aspek penterjemahan. Antara peserta yang menyertai pertandingan ini berasal dari negara Oman, India, Amerika Syarikat, Nepal, Mauritius, Turki dan Bosnia Herzegovina. Latar pendidikan, kerjaya dan usia mereka berbeza daripada kategori remaja hinggalah kepada warga emas yang mencecah usia 80 tahun.

Antara kriteria pemenang termasuklah kesegaran baharu dalam penciptaan dan penyampaian puisi yang meninggalkan gaya konvensional dan menjurus ke arah futuristik dan eksperimental selaras dengan perubahan zaman dan cita rasa generasi kontemporari.

Gelaran johan bagi kategori mencipta puisi diraih oleh Pankajam Kottarath dari Kerala, India, manakala tempat kedua menjadi milik Anoucheka Sweety Gangabissoon dari Mauritius dan pemenang tempat ketiga disandang oleh Barbara Ehrentreu dari Amerika Syarikat. Kategori sagu hati pula dimenangi oleh pelajar Devika Balakrishnan dan Ayaana Sharique Shaikh dari sekolah Al-Gubra, Oman.

Bagi kategori mendeklamasikan puisi, empat daripada lima hadiah yang ditawarkan digondol oleh pelajar Al-Gubra, Oman dengan tempat pertama dimenangi oleh Gouri Reghu, tempat kedua oleh Ayaana Sharique Shaikh dan tempat ketiga oleh Daksh Gulecha. Hadiah sagu hati pula dimenangi oleh pelajar Oman bernama Seethalekshmi Kishore dan pelajar Sannidhi S. Kulkarni dari Sekolah Pusat Soundarya, Bengaluru, India.

Sayembara ini menjadi pembuka mata kepada semua bahawa sastera wajib diperkenalkan sejak zaman prasekolah sebagaimana diamalkan di beberapa buah negara seperti Oman, India, dan Amerika Syarikat. Sastera wajar disemai dalam sanubari murid pada peringkat prasekolah atau sekolah rendah kerana sastera mampu mempengaruhi perkembangan kognitif, perkembangan bahasa dan emosi kanak-kanak dan menjadikan mereka lebih kreatif, inovatif dan produktif.

Hal ini terbukti daripada keputusan pertandingan tersebut. Para pelajar berjaya menewaskan penyair dewasa, penyair dalam kategori warga emas dan memenangi hadiah terbanyak dalam kedua-dua kategori, iaitu kategori mencipta dan mendeklamasikan puisi. Daripada sepuluh hadiah yang ditawarkan, para pelajar telah memenangi tujuh hadiah.

Program ini secara tidak langsung dapat mengantarabangsakan warisan kebangsaan ke seantero dunia dan melonjakkan kegemilangan sastera kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.