Oleh Firdaus Mul
12 Disember 2022, 12:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perkembangan dunia penulisan tanah air berkembang begitu pesat, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Perkembangan ini turut menyaksikan kehadiran ramai penulis baharu yang mewarnai ranah persuratan ini. Begitu juga dengan dua orang penulis yang kian melonjak nama, iaitu Puan Hayati Ahmad dan Puan Syakira Firdaus.

Baru – baru ini, karya mereka novel  remaja berjudul Takhta Samudera Maya telah dibicarakan dalam rancangan Bicara Karyawan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Novel ini membawa satu nafas baharu dalam penghasilan karya, yakni sebuah cerita tetapi dikarang oleh dua orang penulis.

Menurut kedua-dua penulis tersebut, pada peringkat awal penulisan kreatif hanya dijadikan sebagai hobi. Namun, lama-kelamaan hobi tersebut bertukar menjadi satu rutin harian dalam kehidupan. Kepercayaan dan persefahaman merupakan  resepi kejayaan dalam penghasilan novel ini. Takhta Samudera Maya merupakan sebuah karya yang memaparkan kisah berkaitan pengembaraan berunsurkan cerita Sejarah Merah Silu. Kisahnya bermula dengan tiga remaja, membangunkan satu perisian untuk pembelajaran dan mereka berada di peringkat prototaip permainan maya. Menurut Syakira Firdaus,

Temanya adalah tentang dunia hikayat, tapi kami buat gabungan dunia hikayat berasmilasikan dengan dunia moden . Tema tentang remaja yang ingin menyelamatkan kawan-kawannya yang terperangkap dalam dunia permainan maya.

Di peringkat akhir perkongsian, kedua-dua penulis tersebut percaya bahawa karya kreatif berupaya untuk membentuk nilai murni kepada pembacanya. Tegas Hayati Ahmad,

Menjadi tanggungjawab semua warga penulis untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam karya mereka. Nilai seperti positif, beradab dan pengunaan bahasa yang santun. Kemudian watak perwatakan, bagaimana cerita itu berjalan, fungsi setiap itu untuk mendidik.

Kedua-dua penulis tersebut berharap agar pembaca di seluruh Malaysia mendapatkan novel Takhta Samudera Maya, kemudian cuba memahami mesej lalu menanamkan rasa kecintaan terhadap nilai-nilai sejarah yang terkandung di dalamnya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.