Oleh Putraery Ussin
2 Disember 2022, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Encik Shahizan Affandi Zakaria, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) menyarankan agar Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara terus bekerjasama mengangkat kesusasteraan negeri Kedah ke peringkat antarabangsa. Kunjungan hormat yang dilakukan oleh Ketua Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Nurul Julia Alani Henry bersama-sama Ketua Satu ASASI Tuan Haji Abu Hassan Morad bertujuan membincangkan usaha menjayakan Seminar Kesusasteraan Kedah pada 10 dan 11 Februari 2023.

Seminar yang julung-julung kalinya akan diadakan itu bertujuan untuk mengumpul bahan kajian dan penulisan agar memudahkan para sarjana, penyelidik dan pengkaji meneruskan pengkajian pada masa akan datang. Dr. Ayu Haswida Abu Bakar (UITM) dan Dr. Husairi Hussin (UMM) yang merupakan ahli ASASI merupakan pencetus idea untuk mengumpul bahan berkaitan dengan kesusasteraan negeri Kedah terutama berkaitan dengan cerita rakyat dan tokoh kesusasteraan negeri Kedah.

Sehubungan dengan itu, seminar yang akan berlangsung selama dua hari di Auditorium PPAK tersebut akan menampilkan sembilan pembentang kertas kerja dan satu ucaptama. Semua hasil pembentangan tersebut akan dibukukan serta diterbitkan oleh DBP.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Nurul Julia Alani Henry (kanan sekali) sedang meninjau Koleksi Kedah.
Sesi penyampaian cenderamata.

Selain itu, Encik Shahizan Affandi juga menyarangkan agar seminar sebegini dijadikan sebagai acara tahunan. Beliau juga membawa delegasi ASASI dan DBP Wilayah Utara melawat ruang koleksi Kedah. Antara khazanah berharga yang tersimpan dalam koleksi tersebut buku, gambar lama, catatan, kertas kerja, surat dan lain-lain penulisan oleh penulis kelahiran Kedah seperti Shahnon Ahmad, Abdullah Hussain, dan Abdul Halim R. Semua bahan tersebut merupakan koleksi peribadi penulis yang masih tersimpan rapi umpama harta karun yang sangat berharga. Beliau berharap agar semua koleksi tersebut boleh dimanfaatkan dan dikongsi kepada masyarakat kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.