1 Disember 2022, 21:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan Cakna Bahasa yang ke udara pada setiap hari Khamis di BERNAMA Radio dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kembali lagi menemui khalayak pendengar dan pelayar media sosial. Pada kali ini, Rancangan Cakna Bahasa menampilkan Puan Fathenwan Wan Mohd Nor, Pegawai Perancang Bahasa DBP dengan tajuk perbincangan “Pelestarian Cerita Rakyat Orang Asli”.

Puan Fathenwan yang berkhidmat di Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) DBP merupakan antara pegawai yang terlibat dalam penyelidikan cerita rakyat orang asli. Bersama-sama ahli kumpulan penyelidik lain yang terdiri daripada staf BPS DBP sendiri, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), usaha para penyelidik menjejaki cerita rakyat orang asli telah bermula sejak tahun 2013.

Menurut beliau, mereka telah menyantuni orang asli di Gua Musang, Kelantan; Raub, Pahang; Slim River, Perak; Kemaman, Terengganu dan Kuala Berang di Hulu Terengganu. Antara suku kaum orang asli yang ditemui termasuklah suku kaum Temiar, Jakun, Che Wong dan Semoq Beri.

Puan Fathenwan Wan Mohd Nor di konti BERNAMA Radio bersama-sama pengendali Rancangan Cakna Bahasa, Puan Nazira Noran.

Apabila ditanya oleh Puan Nazira Noran selaku pengendali rancangan tentang sebab cerita rakyat orang asli dipilih sebagai bahan penyelidikan, Puan Fathenwan menjelaskan bahawa penyelidikan ini merupakan tanggungjawab para penyelidik untuk mengetengahkan suara orang asli kepada komuniti bukan orang asli. Perkara ini selari dengan aspirasi DBP yang sentiasa komited untuk menyebarluaskan pengetahuan sastera yang menjadi khazanah negara kepada masyarakat umum.

Kita memberikan penekanan kepada cerita rakyat orang asli kerana selama ini, secara umumnya, masyarakat banyak didedahkan dengan cerita rakyat Melayu yang telah dibukukan, difilemkan, malah dianimasikan. Contohnya, cerita rakyat Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup dan Bawang Putih Bawang Merah.

Menyentuh tentang cabaran mendekati orang asli, Puan Fathenwan mengatakan bahawa orang asli mempunyai cara kehidupannya yang tersendiri. Masyarakat di luar lingkungan orang asli perlu menghormati budaya mereka dan tidak boleh sewenang-wenangnya melintasi batasan yang ditetapkan. Oleh itu, para penyelidik BPS DBP perlu mewujudkan hubungan harmoni dan mendapatkan kepercayaan serta kefahaman daripada orang asli sebelum meneruskan apa-apa proses rakaman dan temu bual. Selain itu, pertuturan dialek orang asli juga menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi oleh kumpulan penyelidik.

Cerita rakyat orang asli rata-ratanya dikisahkan oleh golongan tua. Malahan ada orang muda dalam komuniti orang asli juga tidak mengetahui tentang cerita rakyat mereka sendiri.

Tambah Puan Fathenwan, secara tidak langsung, penyelidikan mereka juga memberikan kesempatan kepada generasi muda orang asli untuk mengetahui cerita rakyat mereka sendiri. Kumpulan penyelidik BPS DBP juga amat berterima kasih kepada JAKOA dan wakil setempat orang asli yang banyak membantu untuk menterjemahkan cerita rakyat yang dituturkan oleh golongan orang tua orang asli.

Pada penghujung rancangan, Puan Fathenwan menunjukkan buku yang bertajuk “Legenda Lembah Medang” terbitan DBP pada tahun 2021. Buku ini menceritakan semula 10 cerita rakyat orang asli daripada suku kaum Temiar dan Jakun. Rancangan Cakna Bahasa diakhiri dengan perkongsian peribahasa daripada DBP oleh Puan Nazira yang berbunyi, “telur sesangkak, pecah satu pecah semua” yang bermaksud bersatu hati.

Kredit foto: Heiswayi Nrird/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.