26 November 2022, 22:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Muara, antologi tulisan sempena George Town Literary Festival.

George Town – Muara, sebuah antologi karya sastera yang mengumpulkan karya-karya daripada penulis yang rencam dilancarkan di George Town Literary Festival. Bentuk dan gaya kandungannya tidak kelihatan sama dengan tahun sebelumnya kerana berkembang dan berubah seiring dengan pertukaran editornya. Buku terbitan eksklusif bersempena George Town Literary Festival (GTLF) itu sebenarnya memperlihatkan juga visi dan kelainan GTLF pada tahun ia diadakan.

Hafiz Hamzah (kiri) dan Deric Ee.

Tahun ini, Muara diselenggara dan disunting oleh dua orang editor, iaitu Deric Ee untuk tulisan bahasa Inggeris manakala Hafiz Hamzah untuk tulisan bahasa Melayu. Selain daripada karya bahasa Inggeris dan Melayu, terdapat juga tulisan bahasa Iban, Myanmar dan Ukraine.

Deric Ee menganggap Muara sebagai sebuah antologi yang agak sukar untuk didapati dalam pasaran buku hari ini. Beliau berpendapat,

Tidak banyak buku antologi karya sastera yang diterbitkan dengan konsisten bersempena anjuran acara sastera seperti GTLF.

Perbezaan Muara kali ini berbeza daripada tahun lepas terlihat daripada kurangnya jumlah karya yang dikumpulkan. Hafiz menyatakan bahawa keputusan itu merupakan hasil pertimbangan kedua-dua editor yang melihat tidak ada keperluan untuk menggunakan kaedah yang sama.

Tambah Hafiz, perubahan penyeliaan tersebut adalah kerana beliau lebih cenderung untuk mencari penulis muda. Ujarnya,

 Saya lebih teruja melihat mereka ini berkarya dengan gaya yang berlainan dan kadang-kadang mengejutkan.

Antara penyair muda yang dipilih sebagai penyumbang karya ialah Azrin Fauzi, Qurratul ‘Ain, Cahaya Jais dan Api Husein. Deric meluahkan rasa teruja memanggil Cahaya dan Api sebagai penyair memandangkan suara mereka sebagai karyawan seakan-akan semakin menyerlah. “Saya terjumpa Cahaya dan Api dalam sebuah pementasan teater, dan saya terus rasa tertarik”, ujarnya.

Qurratul ‘Ain pula mempunyai pendekatan yang sangat segar. Saya sebenarnya seorang peminatnya. Dia dilihat sangat suka menulis perihal kepercayaan dan spiritual.

Hafiz menambah bahawa,

Berbanding tahun lepas, kita juga ada memasukkan karya-karya yang pernah diterbitkan serta meletakkan rakaman dialog bertulis GTLF 2021 ke dalam antologi. Muara yang lepas seolah-olah lebih berperanan sebagai buku yang merakam acara GTLF itu sendiri.. Manakala untuk tahun ini, matlamat utama kami adalah untuk meneroka dan mencari karya dan penulis yang memaparkan semangat GTLF tahun ini yang bertemakan ‘liar’.

GTLF tahun ini bertemakan liar, atau “wilderness”. Liar, atau wilderness juga boleh dimaksudkan sebagai suatu ruang atau kawasan yang belum diterokai dan dijinakkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.