Oleh Nurull Ain’am
25 November 2022, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BUKIT MERTAJAM – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dibanjiri pemimpin persatuan dan penulis-penulis wilayah utara pada 23 November 2022 bagi memeriahkan Majlis Tautan Tinta Penulis Utara 2022. Majlis Tautan Tinta Penulis Utara 2022 ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP). Majlis ini mendapat sambutan daripada penulis wilayah utara  yang terdiri daripada ahli persatuan seperti Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak, Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak (PENTAS), Persatuan Karyawan Perak, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Mualim, Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP), Persatuan Seni Kreatif Budaya Warisan Estetik Pulau Pinang (SEKENET), Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI), Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA) dan Persatuan Penulis Perlis (3P).

Selain sesi sumbang saran dan sesi bersama-sama ketua editor sebagai agenda utama, majlis ini dimeriahkan dengan deklamasi puisi oleh penulis-penulis wilayah utara, yang mewakili persatuan masing-masing yang terdiri daripada “pemuisi lama” dan “pemuisi baharu”. Pelbagai tema ditampilkan menerusi puisi yang dibaca secara perseorangan mahupun secara berkumpulan. Syahidatul Munirah Badrul Munir, pensyarah dan penggiat sastera daripada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Mualim menampilkan deklamasi puisi berjudul “Suatu Malam di Dataran Merdeka dengan ekspresi wajah yang mencerminkan emosi, sejajar dengan bait-bait puisi yang dilontarkannya. Beliau pernah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Ekspresi Puisi antara Jabatan UUM kerana mimik muka, nada dan gaya yang diekspresikan begitu mendalam.

Persembahan deklamasi puisi yang disampaikan oleh ahli persatuan ketika Majlis Tautan Tinta Penulis Utara 2022 yang berlangsung baru-baru ini.

Sementara itu, penyair Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub Pensyarah Politeknik Ungku Omar atau nama penanya Nimoiz TY mewakili Karyawan Perak membacakan puisinya “Jangan Kita Conteng Manuskrip Hitam, Kawan”. Puisi tersebut merupakan hasil nukilannya sendiri yang disiarkan dalam Dewan Sastera, November 2013. Puisi ini mengajak khalayak untuk menghargai alam sekitar yang menjadi nadi sarwajagat. Menurut Nimoiz.Ty, pembangunan materi dan tamadun bangsa tidak ada maknanya jika bumi yang dipijak kian terluka dengan pencemaran dan kemusnahan. Secara serius, beliau mengajak masyarakat untuk bersama-sama menghargai alam sekitar menerusi bait-bait berikut:

atas nama kedamaian

atas nama keharmonian

atas nama pelestarian

atas nama kebersihan

mari kita cipta hijau alam

dengan citra kreativiti

dengan citra inovasi

pembangunan tetap pembangunan

namun pelestarian tetap menjadi mandat

keutamaan.

Dr. Husairi Husin bersama-sama Lukman Hidayat Ismail daripada ASASI juga tidak melepaskan peluang untuk mendeklamasikan puisi yang berjudul “Sastera Orang Kita. Berbeza daripada pemuisi yang lain, Dr. Husairi dan Lukman Hidayat mendeklamasikan puisi secara berduet. Suara yang dilaungkan silih berganti menyemarakkan lagi suasana majlis. Wakil daripada persatuan SWADAYA Mohamad Puzi A.Hadi, Saadin Abdullah dan Hassan Baseri Budiman pula berpadu suara dalam mendeklamasikan puisi bertajuk “Kisah Bangsa yang Bergelora Membunuh Bahasa Namanya, Melayu Diambang Siang atau Malam.

Dr. Husairi Hussin bersama-sama Lukman Hidayat Ismail sewaktu mendeklamasikan puisi Sastera Orang Kita secara berduet.

Selain bacaan puisi daripada sembilan persatuan penulis wilayah utara, turut diadakan sesi sumbang saran, sesi yang menjadi agenda utama majlis Tautan Tinta Penulis Utara 2022 dengan pembukaan ruang dan peluang kepada penulis wilayah utara untuk berkongsi idea bagi pelaksanaan program bahasa, kesusasteraan dan penerbitan pada tahun akan datang. Majlis tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan diserikan dengan kehadiran Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Encik Mohd Azam Juhari dan Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Encik Armin Azhari Saleh serta Ketua Satu Persatuan Penulis Wilayah utara dan penulis-penulis yang tidak asing dalam dunia pengkaryaan.

 

Sesi bersama-sama ketua editor.

Selaku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) yang baru bertugas di DBPWU, Puan Nurul Julia Alani Henry berasa gembira dengan sambutan daripada penulis wilayah utara terhadap penganjuran Majlis Tautan Tinta Penulis Utara 2022. Beliau juga mengambil maklum cadangan agar Tautan Tinta Penulis Utara dijadikan acara tahunan oleh DBPWU.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.