Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangProgram Tautan Tinta Penulis Utara 2022 itu telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat, mewakili Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran. Menerusi ucapan beliau, Tuan Haji Razali menyatakan bahawa program tersebut wajar dilaksanakan bagi memperkenalkan persatuan penulis dengan Pengarah DBP Wilayah Utara yang baharu, iaitu Puan Nurul Julia Alani Henry. Berdasarkan pengalaman Puan Nurul Julia sebagai Ketua Editor Bahagian Buku Sastera dan pengalaman beliau bertugas di beberapa bahagian sebelum ini, beliau percaya Pengarah DBP Wilayah Utara tersebut berupaya melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat merancakkan aktiviti kesusasteraan dan pada masa yang sama meningkatkan program berkaitan dengan pengkaryaan. Tambah Tuan Haji Razali:
DBP berusaha membantu ahli persatuan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti. Jika tidak melalui pemberian dana, pelbagai aktiviti juga dapat dilaksanakan menerusi kerjasama antara kedua-dua pihak atau kerjasama dengan agensi lain. DBP juga memberikan peluang kepada para penulis untuk melaksanakan aktiviti di DBP Wilayah Utara.
Dalam konteks penulisan, Tuan Haji Razali mengharapkan beberapa program berkaitan dengan pembinaan dan bimbingan penulis dapat dilaksanakan bagi memastikan dunia kesusasteraan terus berkesinambungan dan terdapatnya para pelapis yang minat untuk menghasilkan karya. Hal ini demikian kerana DBP membuka peluang kepada penulis menghantar karya mereka untuk diterbitkan bukan sahaja dalam bentuk buku, majalah, jurnal malahan melalui medium digital DBP, iaitu JendelaDBP yang telah diakses oleh hampir dua juta pelayar dengan lebih 130 buah negara sejak pengoperasiannya pada Mei tahun 2021.
Tuan Haji Razali turut berkongsi maklumat tentang Dana Penggerak Industri Buku Negara yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi membangunkan dan menyemarakkan industri penerbitan buku negara. Mereka yang layak memohon dipelawa oleh Tuan Haji Razali untuk memohon dana tersebut sebagai usaha menggalakkan penghasilan karya dalam kalangan masyarakat.
Menerusi program Program Tautan Tinta Penulis Utara 2022, beberapa masalah yang dihadapi oleh penulis cuba diselesaikan dan dijelaskan oleh Tuan Haji Razali. Rata-rata penulis yang hadir berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan menyatakan bahawa program tersebut perlu diteruskan pada masa akan datang kerana dapat memberikan manfaat kepada DBP dan persatuan.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Dato’ Haji Anuar Ahmad, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP); Tuan Haji Rashid Ahmad Rafie, Ketua Satu Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS), Perak; Dr. Zabidin Haji Ismail, Presiden Persatuan Karyawan Perak; Tuan Haji Abu Hassan Morad, Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI), Tuan Haji Muhammad Harun, Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (3P); Encik Azman Arifin, Penolong Setiausaha Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Yuslizam Yusf, Persatuan Seni Kreatif Budaya Warisan Estetik Pulau Pinang (SEKENET) dan Encik Mohamad Puzi A. Hadi, Presiden Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA).