17 November 2022, 08:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wadiassofi Jaafar memperingati antara pengarang terbaik yang pernah dilahirkan di Kedah, Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Malah, saya berani menyatakan, sekiranya Allahyarham Azizi masih lagi hidup, tentu beliau akan dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara.

Allahyarham Azizi Haji Abdullah merupakan seorang pengarang yang berasal dari Kulim, Kedah Darul Aman. Beliau pengarang yang begitu mengambil berat terhadap masalah masyarakat umum. Gaya bahasa dalam setiap karyanya begitu menarik sekali sehingga beliau berjaya membina pembaca dan peminat setia yang ramai. Jika dilihat pada pengiktirafan sahaja, beliau telah dianugerahi S.E.A. Write Award (Malaysia) pada tahun 1988 oleh kerajaan Thailand.

Sebelum Azizi meninggal dunia, beliau ialah editor salah sebuah akhbar yang berpangkalan di Pulau Pinang, Pengguna. Saya sendiri pernah berjumpa dengan beliau. Azizi sememangnya seorang pengarang yang baik serta mudah berbicara. Orangnya cukup ringkas, berkeyakinan, berpengalaman, berdedikasi, dan berilmu pengetahuan.

Sasterawan Negara (SN) Dato’ Anwar Ridhwan pernah berkata bahawa Allahyarham Azizi merupakan seorang penulis yang telah berkarya menjangkau tempoh masa kira-kira 47 tahun. Dalam tempoh tersebut, cerpen serta novel hasil beliau selalu memberikan impak atau kesan kerana keunikan persoalannya, diperkuatkan pula dengan kerja penyelidikan yang diterapkan bagi setiap karya novelnya. Cakupan temanya juga banyak yang bergelar di ruang sesebuah daerah atau perkampungan, dengan kehidupan petani yang miskin dan tertindas dan nilai-nilai tradisi yang perlu berhadapan dengan kemajuan dan kemodenan. Juga nilai-nilai Islam yang perlu berhadapan dengan kepercayaan lain.

Menurut Anwar Ridhwan lagi, penulisannya bertapak pada gaya bahasa konvensional tetapi menarik dan kadang-kadang melangkah ke gelanggang satira. Hal ini dapat dilihat pada novel besarnya tetapi jarang-jarang diperkatakan, Kawin-kawin (2002). Kawin-kawin ialah Pemenang Tempat Pertama Hadiah Sako 2001, menceritakan kisah seorang lelaki bujang terlajak yang beria-ia hendak berkahwin dengan seorang perempuan kaya. Kisah novel ini tampak mencuit hati tetapi sebenarnya merupakan sebuah satira yang menyengat tentang permainan politik yang berlaku di dalam negara ini.

Sebagai seorang penulis, Allahyarham Azizi Haji Abdullah tetap dengan pendiriannya untuk menulis karya sastera sebagai tatapan masyarakat. Tujuannya adalah untuk menulis dan menyampaikan khabar. Terpulanglah kepada pembacanya untuk memahami dan menghayati setiap cerita yang disampaikan.

Baru-baru ini sahaja, sebuah novelnya yang sangat popular, Ayahanda (1997) diadaptasi ke layar televisyen dan disiarkan di TV3. Novel Ayahanda merupakan sebuah novel yang berlatarbelakangkan kehidupan kampung, tentang seorang bapa boleh memahami perasaan dua belas orang anaknya, tetapi amat malang, dua belas orang anaknya tidak mampu untuk memahami perasaan seorang bapa.

Sebagai pengarang, Azizi merakamkan emosi dan tingkah laku seorang ayah yang baik serta mengambil berat terhadap keluarganya. Beliau pernah berkata bahawa, “Aku tidak dapat membaca bagaimana hancurnya perasaan si bapa. Mujurlah aku dapat bersama. Jika tidak, aku juga menjadi pisau yang melukakan hati bapa.”

Allahyarham merupakan seorang novelis yang cukup berpengalaman luas dalam bidang penulisan sastera dengan menjadikan latar belakang kampung atau desa sebagai tempat untuk beliau berkarya.

Bagi saya sebagai seorang penulis, saya merasakan Allahyarham Azizi Haji Abdullah cukup layak untuk digelar sebagai Sasterawan Negara (SN) kerana sumbangan buah fikiran yang diluahkannya, malah kebanyakan karya yang dihasilkannya mempunyai kuasa pembacaan untuk dibaca dan difahami berkali-kali, direnung dan dihayati oleh setiap penulis tanah air, apatah lagi pembaca dan peminat sastera kontemporari. Setiap tulisan yang dikarangnya mempunyai maksud yang terpendam untuk dikaji dan difahami. Malah, saya berani menyatakan, sekiranya Allahyarham Azizi masih lagi hidup, tentu beliau akan dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara.

Baru-baru ini, sebuah lagi kumpulan cerpen Azizi diterbitkan, Pendoa yang Ikhlas (2019). Dalam 16 buah cerpen terbaik Azizi, cerpen yang menjadi judul kumpulan ini, “Pendoa yang Ikhlas” telah diadaptasikan ke layar televisyen. Cerpen adaptasi ini telah disiarkan di di TV2 sekitar bulan Oktober 2019. Kisah ini sahaja menghidupkan cerita kekeluargaan, khususnya penjalinan kasih sayang antara seorang ayah dengan anak-anaknya. Memang, nilai keluarga amat tersemat dalam cerita-cerita Azizi. Daripada keluargalah, timbulnya kefahaman keharmonian sosial, strata masyarakat dan berkemungkinan, negara. Banyak perkara yang kita boleh belajar daripada drama dan penerusan hidup dalam sesebuah keluarga.

Mungkin sebab itu Azizi menyatakan bahawa ayahnya, Haji Abdullah Md Diah, merupakan antara ilham utamanya dalam menghasilkan sesebuah cerpen. Daripada bapanyalah, beliau mendapat pelbagai hikmah dan semangat tentang hal kehidupan, khususnya dalam usaha memahaminya dari titik perspektif dan kefahaman orang Timur.

Sememangnya, setiap cerpen yang dihasilkannya sarat dengan pengajaran dan pengalaman yang memaparkan realiti hidup masyarakat yang mempunyai pegangan adat resam dan budaya yang utuh. Diolah dengan bahasa yang begitu natural sekali.

Azizi Haji Abdullah pernah berkata, untuk menulis, kita perlu mempunyai keyakinan dan minat. Dengan menulis, kita akan dapat mengusai perbendaharaan kata agar karya yang dihasilkan itu mempunyai makna.

Sumbangan Allahyarham dalam bidang penulisan sastera sememangnya berharga, khususnya dalam pemikiran dan ketegasannya mempertahankan nilai Islam dan adat ketimuran. Beliau telah meneroka pelbagai latar masyarakat dan keluarga, yang secara tidak langsung menjadi wajah dan cerminan realiti kita yang masih relevan untuk direnungi.

Pemergian Allahyarham Azizi Haji Abdullah ke alam abadi untuk bertemu dengan Maha Pencipta sememangnya dirindui. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan bertakwa. Amin.

Kredit Gambar: Janaan Kecerdasan Buatan DALL-E

_________________________

Wadiassofi Jaafar pernah memenangi Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1998 bagi kategori cerpen remaja, Hadiah Pertama Pertandingan Mengarang Puisi Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1998 anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Cerpen anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok 2012, Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi 2012 anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Utara 2015, dan Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringat Wilayah Utara 2018. Beliau mempunyai dua kumpulan cerpen kanak-kanak, Umi, Maafkan Adik (UUM Press, 2018) dan Manisnya Kejayaan (2019).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.