16 November 2022, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara menyatakan kesediaan untuk menganjurkan Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) bersama-sama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang bakal diadakan pada 14 Disember 2022 di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Utara (DBPWU), Puan Nurul Julia Alani Henry, DBPWU mengalu-alukan hubungan kerjasama dengan ASASI untuk menjayakan penganjuran program seumpama ini di masa akan datang. Bagi penganjuran Majlis ASDA pada kali ini, DBPWU akan mengendalikan majlis penyampaian hadiah bersama-sama MADA dan Kerajaan Negeri Kedah.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada ASASI yang diwakili oleh Ketua Satu ASASI, Encik Abu Hassan Morad, Ketua Dua ASASI, Encik Putraery Ussin, Ketua Biro Bahagian Publisiti, Promosi dan Dokumentasi ASASI, Wadiassofi Jaafar, dan Ahli Jawatankuasa (AJK) ASASI, iaitu Encik Ibnu Din Assingkiri dan Encik Hamizun Syah. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah DBPWU, Puan Khairul Anum Mohd Ali dan bekas Editor Buletin Jendela Utara, Encik Zainol Abidin Mohd Zin.

Ketua Satu ASASI, Encik Abu Hassan Morad (dua dari kiri) menyerahkan kertas perancangan ASDA kepada Pengarah DBPWU, Puan Nurul Julia Alani Henry (tiga dari kiri).

Sementara itu, Encik Abu Hassan Morad dalam ucapannya berkata, perancangan untuk mengadakan ASDA wujud sejak sekian lamanya. Hasrat itu sering dinyatakan secara tidak langsung oleh para karyawan ketika menghadiri program-program anjuran ASASI sebelum ini. Oleh itu, ASASI komited untuk merealisasikan harapan tersebut pada penghujung tahun ini.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Kedah juga menyokong penganjuran ASDA dan bersetuju untuk memberikan sumbangan bagi menjayakan majlis tersebut. Hadiah kepada pemenang bakal disampaikan oleh Menteri Besar Kedah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.