Oleh Nor Asiya Nasir
12 November 2022, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – “Jangan sesekali gentar dengan kritikan. Dengan pandangan tersendiri, kita tunjukkan jalan berbeza. Biarpun apa yang betul bagi kita ditolak orang, tetapi kemudiannya pasti akan ada sesuatu pandangan yang boleh diangkat.” Demikian penegasan yang dibuat Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari ketika berucap dalam “Program PEMUISI@Muzima, Muzium Negara-Meraikan Sasterawan Negara ke-15” pada 29 Oktober, 2022 di Muzium Negara.
Menurutnya, dengan pandangan negatif atau kritikan tersebut, seharusnya dianggap sebagai cabaran untuk terus mengorak langkah, memperbaiki segala kekurangan dan seterusnya mencipta kejayaan. Ujarnya,
“Seorang pengkritik yang keras, Mohd. Affandi Hassan pernah mengatakan bahawa ‘Rahman Shaari mengencing Kesusasteraan Melayu’. Kritikan itu tidak memberi kesan kepada saya. Kebetulan Usman Awang membalasnya di hadapan saya dengan mengatakan sesiapa yang dikritik keras oleh Mohd. Affandi Hassan, dia akan bangun! Saya perhatikan Usman Awang, Keris Mas, Kemala dan beberapa orang lagi menjadi mangsa kritikan beliau, dan jika diperhatikan kesemua mereka bangkit, malah ada yang berjaya menjadi Sasterawan Negara.”
Beliau juga menyentuh sejarah penulisannya yang bermula sejak tahun 1970-an lagi, dan sajak pertama beliau disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan bulan April tahun 1971 bertajuk “Buka Bicara”. Katanya,
SN Rahman Shaari ketika menyampaikan ucapannya.
“Saya hantar sajak itu tanpa mengenal sesiapa di DBP, termasuklah editornya. Setelah disiarkan, sajak saya diulas oleh Dharma Wijaya. Katanya, ”harapnya ‘Buka Bicara’ Rahman Shaari tidak berakhir dengan tutup bicara’. Ulasan itu memberi cabaran kepada saya. Saya terus bersajak hingga sekarang. Semangat menulis itu juga datang ketika saya menyertai beberapa buah persatuan penulis, termasuklah PENA, GAPENA dan beberapa persatuan lagi. Bagi saya, kegiatan puisi bukan sahaja menghasilkan puisi, tetapi juga memberi definisi puisi”.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa beliau belajar dan memperolehi ilmu penulisan puisi sedikit demi sedikit. Misalnya, beliau banyak belajar dan terkesan dengan kata-kata gurunya SN Muhammad Hj Salleh, iaitu “jangan tekankan perasaan, tetapi tekankan pemikiran. Letaklah pemikiran di hadapan dan tinggalkan perasaan di belakang”.
Sementara itu, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam ucapannya menyatakan DBP akan sentiasa memberi sokongan dan dokongan dalam setiap aktiviti PEMUISI bagi mengangkat martabat puisi tanah air. Jelasnya,
YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
“Tahniah kepada PEMUISI di bawah pimpinan Dato’ Dr Radzuan Ibrahim yang terus berjaya menganjurkan kegiatan yang sangat aktif. Penglibatan murid sekolah dan orang awam dalam kegiatan PEMUISI berjaya mencapai hasrat untuk memasyarakatkan puisi.”
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut membacakan sebuah puisi ciptaannya bertajuk “Yang Hebat”.
Presiden PEMUISI, Dato’ Wanrazuhar sedang menyampaikan bicaranya.
Presiden PEMUISI, Dato’ Wanrazuhar dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Datuk Mohd Radzuan Abdullah, Pemilik Muzima Café, yang juga merupakan Penolong Bendahari PEMUISI yang telah bermurah hati mengizinkan program ini diadakan di Muzima Café, Muzium Negara.
Program ini dihadiri lebih seratus orang yang terdiri daripada pemuisi dan peminat puisi. Antara yang turut mengambil bahagian ialah Kapten Datuk Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Dr. Ibrahim Ghaffar, mohd Letfee Ahmad, Dr. Zainatul Shuhaida Abdul Rahman, Drs. Pandian V, Maslinah Yusof, Marzelan Perindu Seni, Julia Ikin, Che’ Su Deraman, Adik Aryan Andika, Lin Haslinaz, Intan Marhayu Rahman, Shamil, Koperal Safiah, Nurul Insyirah, Mayya Humaira, Ema Sham, Tuan Hj. Sahar Masran, Diani Kancil, Koperal Ramadan TUDM, Pelajar Wesley Methodist International School Sentul yang disertai Chang Hao Yuan, Yee Xin Keat, Ma Wen Xuan, Ng Lee Ann, Leong Ee Leen dan Cheah Jim Shuen.
Program baca puisi bulanan yang merupakan program terakhir bagi tahun 2022, PEMUISI Di DBP 12.0 akan diadakan pada 31 Disember 2022, di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.