Oleh Norma Sanid
11 November 2022, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Arif, Menteri Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan Sabah, wakil kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah telah merasmikan Majlis Pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi tahun 2021/2022 di Ruai Utama, DBP Cawangan Sabah, hari ini.

YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Arif sedang menyampaikan ucapan.

YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Arif dalam ucapannya berkata,

Di negeri Sabah, kita berharap akan muncul penulis hebat selain Amil Jaya, Azmah Nordin, dan Jasni Matlani. Kini, ramai penulis dari Sabah yang mula menyedari bahawa warna-warna tempatan Sabah menjadi ramuan dalam penulisan mereka.

YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Arif (empat dari kiri) bergambar kenang-kenangan dengan para hadirin.

Majlis diadakan bertujuan untuk menyuntik semangat pengkarya menghasilkan manuskrip yang berkualiti dan memajukan industri perbukuan di negeri Sabah selain memberikan penghargaan kepada penulis yang berjaya menghasilkan manuskrip untuk diterbitkan oleh DBP.

Sebanyak 23 buah buku daripada pelbagai genre seperti buku kanak-kanak dan remaja dan buku sastera telah berjaya dilancarkan dalam majlis tersebut. Daripada 23 buah buku tersebut, empat buah buku telah diterbitkan pada tahun 2021 manakala 19 buah buku lagi diterbitkan pada tahun 2022.

Selanjutnya, majlis ini juga meraikan 26 orang penulis dan juga pelukis negeri Sabah  yang masing-masing akhirnya berjaya menghasilkan buku. Selain itu, antara individu yang sudah sinonim namanya dalam dunia penulisan yang berjaya menghasilkan buku baharu ialah Azmah Nordin, Jasni Matlani, Ruhaini Matdarin, Dr. Zainab Nawab Khan, dan Jamail Masador. Mereka juga menerima sijil penghargaan dalam majlis pelancaran tersebut.

YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Arif menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pelukis.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Encik Mohd Azam Juhari (Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP), dan rakan sinergi DBP Cawangan Sabah iaitu Pusat Minda Lestari, Universiti Malaysia Sabah, Taman-taman Sabah, Yayasan Sabah, Persatuan Sastera dan Budaya Sabah, Jom Sastera Sabah, Ikatan Penulis Sabah, Momogunsia, Yayasan Bahasa Sabah serta rakan media RTM dan Sabah Time.

Persembahan Tarian Sambut Tamu oleh GENTARI SM Lok Yuk Kota Kinabalu.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Tarian Sambut Tamu oleh Kumpulan GENTARI SM Lok Yuk, Kota Kinabalu dan persembahan pempengaruh media sosial, iaitu Cikgu Haikal atau lebih dikenali sebagai Cikgu Aben yang menyanyikan lagu etnik.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.