7 November 2022, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan “Program Bimbingan Pemantapan Penulisan Cerpen Perundangan” pada 29 hingga 30 Oktober lepas. Program ini diadakan susulan daripada “Program Bimbingan Penulisan Cerpen” yang dijalankan pada tahun lalu.

Antara peserta Program Bimbingan Pemantapan Penulisan Cerpen Perundangan.

 

Program tersebut diadakan bertujuan untuk membina bakat penulisan kreatif dalam kalangan peguam serta mengetengahkan bakat mereka dalam dunia sastera dan penulisan. Program ini berjaya menarik seramai 30 orang peserta dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada mahasiswa, ahli akademik, pelatih dalam kamar dan pengamal undang-undang.

Menampilkan penulis dan penyunting terkenal seperti Puan Rozninah Abd Azib sebagai pembimbing, program ini dijalankan sebagai persediaan menerbitkan antologi cerpen perundangan. Beliau berharap agar setiap peserta yang hadir ke bengkel tersebut akan dapat menghasilkan karya cerpen perundangan yang bermutu dan menghantarnya kepada pihak penganjur.

Dalam bengkel tersebut, beliau banyak menekankan aspek teknik penulisan seperti gaya permulaan cerita, perkembangan watak, penggunaan dialog dan monolog, penutup yang berkesan serta penggunaan tanda baca yang betul. Selain itu, beliau menggalakkan para peserta untuk mengetengahkan isu baharu berkenaan prosedur mahkamah yang jarang diketahui oleh orang awam sebagai daya tarikan pembaca untuk mendapat ilmu yang baharu.

Cerpen-cerpen perundangan yang bakal diterbitkan dalam antologi ini ditulis berdasarkan pengalaman para peserta sendiri sewaktu mengendalikan kes sebenar di mahkamah. Antara isu yang diketengahkan ialah prosedur cerai secara hakam, kes lelongan hartanah akibat kegagalan membayar pinjaman bank, kes pembahagian harta pusaka mengikut faraid di Mahkamah Syariah, perlantikan pentadbir dan perletakan hak kepada waris-waris atau pembeli di Mahkamah Tinggi Sivil dan lain-lain.

Projek penerbitan antologi cerpen perundangan ini diharap dapat memberi pendedahan kepada para pembaca selaku orang awam agar celik undang-undang disamping memberi gambaran tentang prosedur sebenar mahkamah dalam bentuk penceritaan dan bahasa yang senang difahami.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.