Diterbitkan pada 20 Ogos 2024, 06:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad

Kuala Lumpur – Siratan atau hal-hal tersembunyi dalam novel Melayu bukanlah perkara luar biasa kerana khazanah kesusasteraan Melayu seperti pantun dan peribahasa sudah lama menyelitkan unsur berkenaan.

Justeru bagi Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad berkata, siratan ialah hal yang dibuat bagi mengungkapkan sindiran, nasihat atau perkara simbolik.

Beliau yang diundang sebagai tamu Bernama Radio menerusi program Cakna Bahasa baru-baru ini berkata, sastera Melayu lama seperti pantun dan peribahasa sudah mengungkapkan hal sama, namun hal ini turut ditemui dalam novel-novel politik Melayu.

Arif yang membincangkan tajuk “Makna Siratan dalam Novel Politik Melayu” berkata, sebagai pembaca, seseorang itu perlu menjadi matang dan bersifat terbuka apabila menghadamkan novel politik supaya tidak ada berlaku kecenderungan untuk memihak kepada mana-mana pihak.

“Beberapa pengarang menggunakan siratan ini untuk mengkritik, malah ada yang menyindir tetapi ia tidaklah hanya menyentuh mengenai hal-hal politik sahaja.

“Ada sebahagiannya turut digunakan untuk memperkatakan perkara-perkara lain,” katanya.

Tegas Ariff, novel Melayu dahulu dan sekarang sudah melalui banyak perubahan terutamanya dari segi bahasanya.

Selain itu katanya, perkembangan zaman juga turut mempengaruhi penulisan seseorang pengarang.

“Novel sekarang banyak mengungkapkan mengenai isu pembangunan negara atau sosial sama ada dalam aliran sastera atau popular.

“Sementara novel dahulu banyak bercakap mengenai zaman penjajahan selain turut mengungkapkan hal-hal berkaitan rumah tangga dan percintaan,” katanya.

Tambahnya, pada satu ketika dulu, atas perkembangan teknologi yang tidak sehebat seperti hari ini, novel menjadi medium bagi pengarang melahirkan pendapat, meluahkan perasaan selain medium untuk menyampaikan ilmu.

Beli buku kajian sastera Dr. Ariff Mohamad, Makna Siratan dalam Novel Politik Melayu di sini.

Kredit Foto: Haryatie Ab Rahman

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi