Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YBrs. Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad merujuk Makna Siratan, teori ciptaan Allahyarham Sasterawan Negara (SN) S. Othman Kelantan ketika menjadi penceramah Sarasehan Sastera: Ilmuwan, Teori dan Terapan di Rumah PENA pada 20 Jun lalu.

Selain cuba mengangkat teori berkenaan, iaitu teori kritikan Melayu yang jarang-jarang diperkatakan, pensyarah dari Universiti Pendidikan SuItan Idris tersebut menjelaskan penggunaannya juga didorong oleh minatnya terhadap politik.

“Tetapi, jangan sempitkan pemikiran. Politik bukan hanya mengenai ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri, pilihan raya, wakil rakyat dan kerusinya sahaja. Sebenarnya, politik berlegar-legar dalam kehidupan kita, malah bermula dari rumah,” jelas beliau ketika memulakan ceramah bertajuk “Makna Siratan sebagai Kritikan dalam Pengkaryaan Novel”.

Walau bagaimanapun, Dr. Ariff yang telah menghasilkan novel Pelangi, Kami Ingin ke Sana, Versi Aria, dan Semenanjung Menangis tidak menafikan politik kepartian lebih kuat mempengaruhi pemikiran masyarakat.

Sambil mengkritik pihak yang meremehkan teori sastera tempatan, tetapi cepat mengagung-agungkan teori Barat walaupun sebenarnya hanya gagasan, Dr. Ariff menjelaskan pemilihannya disebabkan S. Othman banyak menulis mengenai sejarah novel tanah air.

“Sejak awal lagi Allahyarham menulis kisah raja-raja zaman dahulu. Penulisan tersebut bertujuan untuk memahami estetika falsafah secara tersirat.

“Kata-kata berkias digunakan untuk menjaga keharmonian dan tidak menyinggung perasaan sesiapa,” jelas beliau.

Meskipun bukan sastera, tetapi ungkapan berlapis makna, kata Ariff, peribahasa seperti tangkai jering; tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri; bagai aur dengan tebing; seperti kacang lupakan kulit; dan seperti aur dengan tebing merupakan ungkapan berbentuk kritikan sambil memberikan nasihat.

Sementara itu, dalam karya satira Melayu, beliau memberitahu ialah bentuk penulisan yang mengkritik pemerintah atau kerajaan dan politik kepartian.

“Rakyat biasa berisiko jika mengkritik kerajaan. Jadi, tujuan tersebut dinyatakan dalam karya bercorak satira. Kisah Hang Tuah dihukum bunuh oleh Sultan Melaka misalnya adalah kerana fitnah lantaran bertegur sapa dengan wanita-wanita istana,” ujar beliau.

Pengarang zaman dahulu, kata Ariff, mengkritik pihak atasan dengan halus dan tajam. Beliau memberikan contoh apabila Tun Seri Lanang yang menulis Sejarah Melayu dan Raja Ali Haji menghasilkan Tuhfat al-Nafis.

“Orang Melayu juga menyanjung kekuatan minda berbanding kekuatan tenaga fizikal.

“Teori kritikan Melayu berasaskan alam, iaitu flora dan fauna. Seni kritikan Melayu juga berdasarkan Islam, yang bertujuan mengkritik tanpa menimbulkan perbalahan, ibarat menarik rambut dalam tepung,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, terdapat lima prinsip teori kritikan Melayu melalui Makna Siratan, iaitu (1) menyatakan tumpuan terhadap teks; (2) lambang, imej dan teks; (3) tumpuan terhadap pelaku; (4) menimbulkan kesedaran; dan (5) menyumbangkan ilmu.

“Kelima-lima prinsip tersebut saya pecahkan sendiri hasil daripada sebuah penulisan S. Othman mengenai teori ini. Kemudian saya pecahkan lagi kepada kerohanian, keilmuan, imaginasi, dan estetik,” ujarnya.

Menguatkan lagi perbincangannya, Ariff menyebut lima buah novel yang dipilih selepas membaca 40 buah novel yang tertumpu kepada politik. Menariknya, beliau sempat mengesyorkan agar novel-novel pilihan tersebut diadaptasikan kepada filem.

Novel tersebut termasuklah Sebelas Rajab karya A. Kadir Adabi; Anak Mat Lela Gila (Ishak Haji Muhammad/ Pak Sako); Tunggul-tunggul Gerigis (SN Shahnon Ahmad); Naratif Ogonshoto (SN Anwar Ridhwan); dan Nagogho Astana (SN S. Othman Kelantan).

Namun begitu, Ariff tidak membincangkan pecahan tersebut, tetapi menghuraikan aspek perilaku (manusia), alamiah (alam) dan peristiwa (semasa/sejarah). Beliau menamakan ketiga-tiganya sebagai makna siratan perilaku, makna siratan alamiah dan makna siratan peristiwa.

Kesemua novel tersebut dihasilkan semasa atau selepas keadaan sosiopolitik dan individu terbabit yang ditukar nama, iaitu Sebelas Rajab (tahun 1925), Anak Mat Lela Gila (1966), Tunggul-tunggul Gerigis (1989), Nagogho Astana (1997), dan Naratif Ogonshoto (2000).

Menurut Ariff, isu tanah, pergeseran parti politik sehingga membawa kepada peristiwa berdarah seperti Tragedi Memali, pemimpin autokrasi serta pentadbiran kerajaan yang rasuah dan menunggang fitnah tidak dapat dinyatakan secara berterus terang dalam novel-novel tersebut.

Seorang lagi penceramah Sarasehan Sastera: Ilmuwan, Teori dan Terapan (Siri 2) yang dimudahcarakan oleh YBrs. Dr. Hanafi Ibrahim ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani dari Universiti Putra Malaysia.

Turut hadir YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA; YBrs. Dr. Shamsuddin Othman dan YBrs. Dr. Norhayati Abdul Rahman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi