7 November 2022, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Awang Abdul Muizz Awang Marusin merakamkan pengalaman beliau ketika berkunjung ke Tanjungpinang, Kepulauan Riau sempena Festival Sastera Antarabangsa Gunung Bintan (FSIGB).

FSIGB 2022 bermula dengan jamuan selamat datang yang diadakan di Dapoer Melayoe di Tanjung Unggat, Bukit Bestari. Tuan rumah kepada jamuan tersebut ialah pemilik restoran yang juga budayawan tempatan, Dato Wira Teja Alhabd. Hidangan asli Tanjungpinang, termasuk Kopi Sekanak yang mengandungi 11 jenis herba merupakan antara hidangan istimewa dalam jamuan tersebut.

F estival Sastera Antarabangsa Gunung Bintan (FSIGB) telah masuk tahun kelima penganjurannya. Setelah dua tahun FSIGB diadakan secara dalam talian kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia, FSIGB dapat diadakan semula secara bersemuka pada tahun ini.

FSIGB 2022 ini telah berlangsung pada 24 hingga 26 September 2022 di Tanjungpinang, Kepulauan Riau, Indonesia. FSIGB 2022 dianjurkan oleh Yayasan Jembia Emas dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Wilayah Kepulauan Riau (Disbud Kepri), Pejabat Bahasa Wilayah Kepulauan Riau, Universiti Maritim Raja Ali Haji (UMRAH) dan Pejabat Daerah Bintan.

Seramai lebih kurang 120 orang penyair dari Malaysia, Indonesia dan Singapura bertemu di Pulau Bintan sempena FSIGB 2022. Mereka merupakan sebahagian daripada 300 orang penyair dari seluruh rantau Asia Tenggara, termasuk dari Brunei, yang tersiar puisinya dalam antologi puisi Jazirah Sebelas: Laut dan Kembara Kata-kata terbitan Yayasan Jembia Emas, Indonesia. Termasuk dalam kalangan penyair yang memeriahkan FSIGB 2022 ialah 23 orang ahli rombongan Malaysia yang diketuai oleh Tuan Hj. Mohd. Rosli Bakir daripada Persatuan Penulis Johor (PPJ). Saya merupakan satu-satunya penyair dari Sabah yang menyertai FSIGB 2022.

Rombongan Malaysia di Festival Sastera Antarabangsa Gunung Bintan (FSIGB) 2022 bergambar kenang-kenangan di Comforta Hotel & Resort, Batu X, Tanjungpinang.

Walaupun FSIGB 2022 bermula pada 24 September, perjalanan penulis ke Negeri Kata-kata bermula sehari lebih awal. Di samping penerbangan dari Kota Kinabalu ke Senai, Kulai yang mengambil masa dua jam, perjalanan darat ke pusat bandar Singapura melalui Johor Bahru selanjutnya mengambil masa lebih kurang satu jam setengah, tidak termasuk masa bagi pemeriksaan imigresen dan kastam di sempadan.

Penulis mengenakan busana etnik Dusun Lotud dalam majlis pembukaan FSIGB 2022 yang diadakan di Gedung Daerah Kepulauan Riau, Tanjungpinang.

Penulis bermalam di Singapura sebelum meneruskan pelayaran ke Tanjungpinang pada pagi berikutnya. Pelayaran menggunakan feri dari Terminal Feri Tanah Merah mengambil masa dua jam. Cuaca pada pagi itu agak mendung, tetapi keadaan di tengah laut tenang sekali menyebabkan perjalanan feri melintasi Pulau Bintan dan Pulau Batam menjadi mudah.

Ketibaan saya di Pelabuhan Sri Bintan Pura, Tanjungpinang Kota disambut hangat oleh penduduk setempat, terutamanya oleh salah seorang pelaksana FSIGB 2022, Encik Moel Akhyar yang telah sudi memandu saya ke Comforta Hotel and Resort, Batu X, Tanjungpinang Timur. Dato Rida, Encik Irwanto Daud dan para pelaksana yang lain turut menyambut peserta lain dengan hangat di hotel tersebut.

Oleh kerana acara FSIGB 2022 hanya bermula pada malam 24 September, saya memanfaatkan masa senggang yang ada di sebelah petangnya untuk bersiar-siar di pekan Batu X bersama-sama dengan rakan ahli rombongan Malaysia yang tiba lebih awal iaitu Tuan Hj. Sahar Misron (Samsa Harris) dan Puan Salimah Shamsuddin (Eima Shams).

FSIGB 2022 bermula dengan jamuan selamat datang yang diadakan di Dapoer Melayoe di Tanjung Unggat, Bukit Bestari. Tuan rumah kepada jamuan tersebut ialah pemilik restoran yang juga budayawan tempatan, Dato Wira Teja Alhabd. Hidangan asli Tanjungpinang, termasuk Kopi Sekanak yang mengandungi 11 jenis herba merupakan antara hidangan istimewa dalam jamuan tersebut. Selain itu, para peserta dan pelaksana FSIGB juga turut mempersembahkan puisi, termasuklah Peguam Besar Bandar Tanjungpinang, Encik Joko Yuhono.

Penulis-penulis dari Indonesia, Malaysia dan Singapura bergambar dengan Rektor, Universiti Maritim Raja Ali Haji (UMRAH), Profesor Dr. Agung Dhamar Syakti (berdiri di kiri penulis) selepas pelancaran 100 buah buku puisi karya peserta FSIGB 2022 di UMRAH Kampus Dompak, Tanjungpinang.

Acara tersebut menjadi lebih bermakna dan meriah apabila Gabenor Wilayah Kepulauan Riau, Tuan Yang Terutama Hj. Ansar Ahmad, telah sudi hadir memeriahkan acara walaupun baru sahaja selesai mengikuti acara lain sempena Hari Jadi Provinsi Kepulauan Riau yang ke-20. Penulis dan Tuan Hj. Mohd. Rosli merupakan antara peserta dari Malaysia yang diberi penghormatan untuk membaca puisi di hadapan Tuan Yang Terutama Gabenor.

Selain daripada membacakan puisi bertajuk “Senyumlah Duhai Tanah Airku” dalam bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Brunei, saya turut berbesar hati menyerahkan buku kumpulan puisi Catatan buat Teman Setia karya saya sendiri dan buku antologi puisi Suara Bayu di Puncak Biru karya para penyair Sabah kepada Tuan Yang Terutama Gabenor. Keramahan Tuan Yang Terutama Gabenor terhadap para pelaksana dan peserta FSIGB 2022 telah banyak menceriakan suasana acara walaupun sudah menghampiri lewat malam.

FSIGB 2022 turut diisi dengan Seminar Sastera Antarabangsa di Auditorium UMRAH Kampus Dompak, Tanjungpinang pada 25 September. Di samping ucaptama oleh Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemanfaatan Kebudayaan, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi, Dr. Restu Gunawan, seminar yang mengangkat tema “Kesusasteraan Melayu dan Tradisi Kemaritiman” turut menampilkan sembilan orang pemakalah, termasuk Dr. Shamsuddin Othman (pemenang SEA Write Award 2019) dari Universiti Putra Malaysia.

Seminar yang diadakan secara hibrid ini turut diikuti oleh para peserta dari luar Tanjungpinang melalui aplikasi Zoom dan siaran langsung di YouTube. Program lain yang turut diadakan dalam seminar tersebut ialah bacaan puisi daripada beberapa orang penyair, termasuk penyair dari Singapura, Encik Hamed Ismail.

Malam 25 September diisi dengan Majlis Perasmian Pembukaan FSIGB 2022 di Gedung Daerah Kepulauan Riau, Tanjungpinang Kota. Hadir menyempurnakan pembukaan bagi pihak Gabenor ialah Ketua Biro Ekonomi dan Pembangunan, Pemerintah Wilayah Kepulauan Riau, Tuan Hj. Misbardi. Encik Roslan Madun merupakan antara peserta FSIGB 2022 yang telah membuat persembahan nyanyian lagu puisi.

Penulis dan rakan-rakan senegara bergambar bersama para Timbalan Setiausaha II, Pemerintah Wilayah Kepulauan Riau, Tuan Luki Zaiman Prawira (empat dari kiri) peserta aktiviti gotong-royong yang diadakan di Taman Tepi Laut, Tanjungpinang.

Dalam majlis itu juga, Yayasan Jembia Emas mengumumkan Dato Wira Teja Alhabd sebagai penerima Anugerah Jembia Emas 2022. Anugerah yang mengiktiraf ketokohan anak tempatan dalam bidang bahasa dan sastera, kebudayaan, kesenian dan warisan masyarakat tempatan itu disampaikan oleh Tuan Hj. Misbardi dengan disaksikan oleh pemimpin tempatan peringkat wilayah dan bandar.

Para peserta kemudian kembali semula ke UMRAH Kampus Dompak pada pagi 26 September untuk menyaksikan majlis pelancaran 100 buah buku puisi peserta FSIGB 2022 dan perasmian Bustan al-Katibin (taman para penulis) di Pelataran berhadapan dengan bangunan Rektorat UMRAH. Majlis tersebut disempurnakan oleh Rektor UMRAH, Profesor Dr. Agung Dhamar Syakti dan Pengarah Disbud Kepri, Dr. Hj. M. Juramadi Esram.

Sebahagian lagi peserta menyambung bacaan puisi di tempat acara, termasuklah Ustaz Shairazi Muhammad dari Kelantan yang turut membacakan puisi dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab. Selain itu, majlis tersebut menjadi istimewa kerana Omar Angqasa, anak kecil berumur 3 tahun dari daerah Karimun, Kepulauan Riau bersama-sama bapanya, Ustaz Rudi Rendra, membaca puisi bertajuk “Omar dan Mobil Patroli Polisi Italia”.

Turut membaca puisi selain beliau ialah penyair muda dari Selangor, Encik Arif Hardi Japri dan penyair veteran Singapura yang juga Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Kenya, Tuan Yang Terutama Yatiman Yusof. Tuan Hj. Mohd. Rosli dan rakan-rakan daripada PPJ menyerahkan beberapa buah naskhah buku karya penulis Johor kepada Yayasan Jembia Emas dan Perpustakaan UMRAH.

Para peserta FSIGB 2022 turut dijemput menyaksikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Dewan Pengurus Persatuan Sejarah Indonesia (MSI) Cawangan Kepulauan Riau di Auditorium UMRAH. Majlis yang diadakan secara hibrid ini menjadi saksi buat pertama kalinya persatuan sejarah dibentuk di Wilayah Kepulauan Riau. Pelantikan disempurnakan oleh Ketua Umum MSI, Dr. Agus Mulyana yang mengikuti majlis tersebut secara dalam talian.

Malam 26 September diisi dengan jamuan penutup di Kedai Kopi Sarang Sembilang, Tanjungpinang Barat. Para peserta dihidangkan dengan masakan laut, termasuk siput gonggong rebus yang boleh dimakan dengan cicahan lada hijau. Para peserta turut dihiburkan dengan persembahan lagu rakyat dan lagu puisi yang dinyanyikan oleh penyanyi tempatan dan antarabangsa.

FSIGB 2022 ditutup dengan Majlis Perasmian Penutupan yang diadakan di Gedung Aisyah Sulaiman yang terletak tidak jauh dari Kedai Kopi Sarang Sembilang. Majlis tersebut yang disempurnakan oleh Pengarah Disbud Kepri itu turut diserikan dengan bacaan puisi daripada tokoh-tokoh tempatan seperti Ketua Jabatan Perpustakaan dan Arkib Bandar Tanjungpinang, Tuan Hj. Wan Samsi dan Ketua Pejabat Perwakilan Kementerian Agama Daerah Bintan, Ustaz Erman Zaruddin Usman. Menariknya dalam bacaan puisi ini, seorang lagi penyair Malaysia dari Kelantan, Tuan Hj. Ezani Hj. Daud menyanyikan lagu puisi bertajuk “Kolek Usang” ciptaannya.

Sementara menunggu perjalanan pulang ke tanah air, saya dan rakan-rakan berkesempatan mengikuti acara Run with Peppy yang dipimpin sendiri oleh Dato Rida di Taman Tepi Laut, Tanjungpinang Kota. Menariknya, program ini turut diiringi dengan acara gotong-royong yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Wilayah Kepulauan Riau, Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan (Disparbud) Kota Tanjungpinang dan Disparbud Daerah Bintan. Di samping ramah mesra dengan para pegawai dan kakitangan ketiga-tiga jabatan tersebut, saya dan rakan-rakan turut berkesempatan bersua dengan Timbalan Setiausaha II, Pemerintah Wilayah Kepulauan Riau, Tuan Luki Zaiman Prawira dan Ketua Disbudpar Kota Tanjungpinang, Puan Meitya Yulianti.

Menghampiri jam 8.15 pagi Waktu Indonesia Barat, 27 September, tanpa sempat menikmati hidangan Mie Lender di kedai kopi dekat Jalan Bintan, saya bersiap meninggalkan Pulau Bintan menaiki feri menuju ke Singapura. Walaupun saya berasa sedih kerana banyak lagi yang ingin dirasai dan hayati di Pulau Bintan, saya turut bersyukur kerana telah dapat mengembara ke Indonesia buat kali keduanya setelah mengembara ke Pulau Belitung di Provinsi Kepulauan Bangka Belitung pada penghujung tahun 2019.

_________________________

Awang Abdul Muizz Awang Marusin merupakan pensyarah subjek umum di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu. Beliau menulis sejak di bangku sekolah lagi dan sekarang merupakan Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.