Oleh Firdaus Mul
2 November 2022, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kuliah Penyelidikan Sastera (Kupas) Bil. 20 anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera DBP bertajuk “Politik Kenegaraan Dalam Novel Malaysia” menampilkan Encik Che Abdullah Che Ya sebagai ahli panel dan dikendalikan oleh Puan Ainunl Muaiyanah. Tema yang difokuskan dalam kuliah kali ini bertepatan dengan keadaan semasa yang hangat dalam musim Pilihan Raya Umum ke-15.

Encik Che Abdullah Che Ya membuka lembaran KUPAS kali ini dengan memaparkan catatan daripada Sasterawan Negara (SN) Usman Awang berkaitan hubungan antara sastera dengan politik. Beliau kelihatan bersetuju dengan pandangan yang dinyatakan oleh SN tersebut bahawa sesungguhnya sastera dan politik merupakan dua perkara yang mempunyai hubungan yang rapat kerana kedua-duanya berdasarkan daripada tindakan manusia.

Politik adalah pelakuan manusia, manakala sastera adalah gambaran kepada pelakuan manusia. Perkara ini membuktikan bahawa politik dan sastera mempunyai ikatan secara langsung.

Selanjutnya, beliau juga menjelaskan hubungan tersebut yang akhirnya membawa kepada perkembangan karya sastera berunsurkan politik di Malaysia. Tambah beliau, perkembangan ini dikesan seawal negara belum mencapai kemerdekaan lagi dan boleh diklasifikasikan berdasarkan tiga tempoh masa, iaitu zaman sebelum merdeka, zaman selepas merdeka, dan zaman mutakhir.

Encik Che Abdullah Che Ya ketika memperkatakan tentang novel politik mutakhir.

Beliau berpendapat, bahawa karya-karya awal yang terhasil sebelum kemerdekaan kebanyakannya berteraskan kepada politik nasionalisme, penentangan kepada sistem feudal, penderitaan hidup dan tuntutan kebebasan kerana keadaan negara yang masih terjajah pada ketika itu. Ujarnya,

Apa yang berlaku dalam politik sesebuah negara, pasti akan mempengaruhi karya-karya sasteranya. Daripada zaman dahulu hinggalah ke zaman sekarang. Sebagai contoh dahulu ialah karya Sejarah Melayu, dan cerita-cerita penglipur lara yang lebih awal. Dalam konteks novel, perkembangan ini dapat dilihat menerusi novel Hikayat Panglima Nikosa, Putera Gunung Tahan (1937), dan Anak Mat Lela Gila. Kemudian disusuli novel Acuman Mahkota (1937), Melati Kota Bharu (1938) dan Sebelas Rejab (1939). Seterusnya ialah karya Mari Kita Berjuang (1941), Perang dan Cita-cita (1941), Sisa Neraka Dunia (1948), dan Nyawa Di Hujung Pedang (1948). Kesemua ini antara karya awal sebelum merdeka yang didapati mengandungi nada-nada politik.

Beliau juga berpendapat bahawa karya-karya sastera berunsur politik yang hadir selepas merdeka secara keseluruhannya merupakan impak daripada kemerdekaan itu sendiri, sehingga lahirlah karya-karya A. Samad Ismail seperti Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Menduga Lautan Dalam (1968), Menimba Yang Jernih (1969), Detik-detik Cemas (1969).

Pada tahun 1960-an, sebanyak 234 buah novel politik terhasil dan ini menandakan zaman kegemilangan novel politik di negara ini. Beliau turut menyatakan bahawa kehadiran SN Shahnon Ahmad dalam penghasilan karya sastera berunsurkan politik membawa suatu naratif baharu, yakni tertumpu kepada kritikan terhadap pemimpin secara langsung.

Antara karya yang memperlihatkan hal tersebut ialah novel Menteri (1967), Perdana (1969), Langkah Kiri (1968), Penghuni Kamar 14 (1969), Tikus Rahmat (1963), Angin Hitam Dari Kota (1968), Dari Kumpulan yang Terbuang (1964), Meniti Pelangi (1964), Krisis (1966), Juara (1976), dan Perwira (1980).

Pada era tahun 1990-an pula, Shahnon Ahmad kelihatan masih menjadi pembuka tirai novel berunsurkan politik dengan penulisan novel Patriarch pada tahun 1991, diikuti Aligupit (1995), Hoi (1990), Anugerah (1996), dan Tirai Tokoh (1997). Walau bagaimanapun, perkembangan novel politik pada ketika itu mengalami krisisnya yang tersendiri. Ujarnya,

Pada era tahun 1990-an, kelahiran karya berunsurkan politik kelihatan agak perlahan disebabkan kekurangan penulis yang cenderung menulis karya politik. Jika diteliti daripada sejarah penghasilan novel politik, kebanyakannya ditulis oleh pengarang mapan. Kekurangan pelapis daripada generasi baharu sedikit sebanyak menjadikan pertumbuhan karya berunsurkan politik kelihatan tidak berkembang dengan baik. Hal ini kerana penghasilan karya kreatif memerlukan ketelitian dari segi ketepatan fakta dan pengayaan penceritaan.

Seterusnya, fasa mutakhir memperlihatkan karya berunsurkan politik menerusi novel Shahnon Ahmad iaitu Shit, Nurul Anak Papaku, dan Muntah, diikuti pula oleh karya lain seperti Kawin-kawin, Jalur-jalur Penentangan (2002), Busa Hati, Busa Kalbu dan Busa Hati (2002), Nenek, Penyeberang Sempadan, Luka Nering, dan Ikarus.

Beliau juga berpendapat bahawa novel politik kenegaraan yang terhasil dalam tiga tempoh masa tersebut kebanyakannya terbina berteraskan dua elemen utama, iaitu pertentangan ideologi dalam kalangan masyarakat Melayu dan konflik dalam parti politik Melayu. Beliau juga mengakui bahawa kekurangan penglibatan secara langsung dalam politik daripada kelompok penulis baharu menyebabkan karya berunsurkan politik jarang dihasilkan pada dekad ini.

Selanjutnya, beliau turut menyatakan hasrat agar kelangsungan penghasilan karya politik kenegaraan diteruskan oleh penulis baharu. Hal ini kerana peristiwa politik yang berlaku juga merupakan helaian sejarah negara, maka ia perlu didokumentasikan dalam bentuk karya sastera agar dapat menjadi rujukan generasi pada masa akan datang. Ditambah lagi dengan pelbagai peristiwa politik yang berlaku mutakhir ini merupakan sesuatu perkara yang menarik untuk diterjemahkan dan diadaptasikan dalam karya sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.