26 Oktober 2022, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Dialog Puncak Karyawan Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah muncul lagi pada tahun ini bagi anjuran yang ke-32 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah. Dalam sesi Sembang Santai Sastera ASASI, bekas Ketua Satu ASASI, Dr. Osman Ayob berkata bahawa program ini diadakan secara tahunan untuk menghimpunkan ahli ASASI di samping mengadakan sesi perkongsian yang dapat memberikan motivasi kepada penulis untuk menghasilkan lebih banyak karya sastera.

Tambah beliau, program ini diadakan pada setiap tahun agar dapat menjadi medan yang konsisten bagi ahli ASASI untuk bertukar fikiran dalam dunia sastera melalui penghasilan karya. Sebagai sebuah persatuan penulis, ASASI terus komited menggembleng tenaga dan membantu penulis Kedah ke arah pemantapan diri untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.

Selain itu, program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim selain membuka ruang bagi sesi jaringan antara penulis di Kedah. Untuk catatan, Program Dialog Puncak Karyawan ASASI pernah diadakan di pelbagai lokasi sekitar Kedah seperti di puncak Gunung Jerai, Langkawi, Yan dan Sik agar dapat mendekati penulis secara lebih luas dan mencapah.

Sementara itu, seorang ahli baharu ASASI, iaitu Ustaz Wan Mohd Taufik menjelaskan bahawa beliau terdorong untuk menyertai ASASI hasil daripada sokongan daripada penulis berpengalaman Ibnu Din Assingkiri melalui kirimannya di laman Facebook beliau. Dengan bantuan penulis Mawarni Ibrahim, beliau menjadi ahli ASASI sejak Jun 2021. Selepas itu, beliau banyak mengikuti program yang dianjurkan oleh ASASI.

Pada tahun ini, Program Dialog Puncak Karyawan ASASI 2022 yang berlangsung pada 21 hingga 22 Oktober 2022 telah memilih Hotel Zaque’s, Sungai Petani, Kedah sebagai lokasi penganjuran. Antara pengisian yang dijalankan termasuklah bengkel penulisan kritikan sastera, penulisan ulasan buku dan bicara karya antologi cerpen Artis Korea Bertudung Bawal. Program ini turut melancarkan beberapa buah buku penulis ASASI terbitan DBP pada tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.