7 Oktober 2022, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan serta Festival Seni dan Alam (FESA), Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Alam pada 5 Oktober 2022, di Pentas Budaya, Kundasang, Sabah.

Puisi yang dideklamasikan oleh para peserta mestilah menepati syarat pertandingan, iaitu bertemakan alam sekitar selaras dengan tema FESA 2022, iaitu “Alam Dilestari, Seni Dijiwai”. Seramai 17 orang peserta dari seluruh negeri Sabah dan WP Labuan telah menyertai sayembara ini, manakala enam orang peserta terbaik telah dipilih untuk berentap pada peringkat akhir.

Menurut panel hakim, iaitu Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, DBPCS, Puan Siti Aisyah Mat Saad, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau dan Encik Mahmud Jahar, penulis Sabah, para peserta menunjukkan kebolehan mendeklamasikan puisi dengan amat baik. Selain menonjolkan bakat para peserta dalam mendeklamasikan puisi, bait-bait puisi indah yang dilantunkan oleh mereka mampu meruntun jiwa pendengar dan memberikan kesedaran betapa indahnya alam sekitar, tanggungjawab masyarakat dalam menjaga dan memulihara alam sekitar. Penggunaan perlambangan,  sindiran halus dan mesej lewat puisi mampu mengajak para penonton menganalisis maksud puisi.

Peserta Sayembara Deklamasi Puisi Alam Peringkat Akhir.

Nurirfiney E. Hairoland Fredo dari Keningau, Sabah yang mendeklamasikan puisi “Surat Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar” karya Usman Awang telah dinobatkan sebagai johan. Nur Syahiera dari WP Labuan yang mendeklamasikan puisi berjudul “Kita dan Alam” karya Sharifah Zakiyah Syed Sahab mendapat tempat kedua dan Ahmad Afif Hakimi Abdul Mukim dari Kota Kinabalu, Sabah mendeklamasikan puisi berjudul “Langkah Lestari” karya A. Samad Said, mendapat tempat ketiga. Sagu hati pula diberikan kepada Kamaruddin Ismail dari Lahad Datu, Sabah yang mendeklamasikan puisi “Mensyukuri Nikmat Alam” karya beliau sendiri, Rijah Lina Kamarudin dari Sipitang, Sabah dengan pendeklamasian puisi berjudul “Bila Bumi Berbicara” karya Nor Iwani Basri dan Rosneh Suamin dari Ranau, Sabah dengan pendeklamasian puisi bertajuk “Langkah Lestari” karya A. Samad Said.

Nurirfiney E. Hairoland Fredo johan Sayembara Deklamasi Puisi Alam.

Johan menerima hadiah wang sebanyak RM700.00 dan sijil penyertaan, naib johan menerima wang sebanyak RM500.00 dan sijil penyertaan, tempat ketiga menerima wang sebanyak RM350.00 dan sijil penyertaan, dan penerima sagu hati menerima wang sebanyak RM200.00 dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang sayembara telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik) dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah FESA dan DBK 2022, pada 7 Oktober 2022, di Pentas Budaya, Kundasang, Sabah. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBPCS, Datuk Jasni Matlani, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, Encik Jumain Abdul Ghani, Pegawai Daerah Ranau merangkap Pengerusi Bersama FESA 2022, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Pengurus Walai Tokou Kundasang, Pengurus Dairy Farm, guru-guru, para pelajar dan orang awam sekitar Pekan Kundasang, Ranau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.