Oleh Suyuthi Yusuf
5 Oktober 2022, 02:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15.

Kuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung telah berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, malam tadi.

Anugerah Sastera Negara merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bertaraf negara kepada tokoh sasterawan yang masih hidup yang menulis dalam bahasa Melayu serta telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi. Sejak terlaksananya program pengiktirafan ini dari tahun 1981, seramai 14 orang tokoh telah menerima anugerah sastera tersebut. Pada 22 Jun lalu, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan telah mengumumkan YBhg. Dato’ Rahman Shaari sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15.

Rakaman kenang-kenangan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung dengan Menteri Kanan Pendidikan, Pengurusan Tertinggi DBP dan Anggota Panel.

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 tersebut dimulai dengan bacaan doa oleh YBhg. Sahibus Samahah Tuan Hj. Jamali Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Seterusnya, YB Datuk Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan telah memberikan sembah ucapan. Menerusi ucapannya tersebut, beliau menyatakan rakaman penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung kerana berkenan berangkat ke majlis tersebut. Keberangkatan tersebut disifatkan sangat bermakna dan signifikan dalam usaha mengangkat sastera kebangsaan sebagai salah satu wasilah untuk memperkasakan keintelektualan bangsa serta penerusan usaha agar sastera kebangsaan terus berfungsi dan diterima masyarakat dalam membina peradaban negara.

YB Datuk Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan sedang memberikan sembah ucapan.

Selanjutnya, beliau juga menyatakan bahawa pengurniaan ini merupakan penghormatan negara kepada penerimanya atas sumbangan bakti dalam menghasilkan pelbagai karya yang bermutu tinggi, memperkukuh budaya ilmu, mengangkat persuratan Melayu, dan memupuk semangat cinta akan nilai hasil seni dalam kalangan masyarakat. Dunia kepengarangan YBhg. Dato’ Rahman Shaari sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 yang prolifik telah mencetus dan menggerakkan rasa bangga akan hasil seni anak tempatan dalam persada persuratan yang dihormati. Ujarnya lagi,

Pengarang meninggalkan legasi insaniah yang signifikan dalam membina peradaban bangsa melalui pengkaryaan mereka. Pengarang juga menjadi perakam zaman mencitrakan kisah masyarakat yang menjadi pedoman menelusuri kehidupan. Di sebalik kebijakan menyulam kata-kata, dengan penuh jiwa raga, pengarang menumpahkan seluruh tenaga dan idea mereka menghasilkan karya hebat demi kemaslahatan umat.

YBhg. Dato’ Rahman Shaari sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 sedang memberikan ucapan menjunjung kasih (ucapan penerimaan).

Dalam ucapan menjunjung kasih oleh YBhg. Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15, beliau menyatakan bahawa tema ucapan penerimaannya adalah berkisarkan kepada pengalamannya dalam dunia kesusasteraan dan pendidikan kesusasteraan. Dalam konteks pendidikan sastera, beliau menjelaskan bahawa perlunya dua bidang, iaitu sains dan sastera disatupadukan dan saling lengkap-melengkapi.

Kita boleh menamakan aliran sains dan aliran sastera, tetapi janganlah penamaan itu membawa makna bahawa orang sains mengetepikan sastera, dan jangan juga mengandaikan orang sastera gagal memahami sains. Pemecahan aliran hendaklah bertujuan untuk kemahiran dan pengkhususan dalam lapangan yang tertentu. Makna intelektual hendaklah dikaitkan dengan pengetahuan aneka bidang, bukan khusus pada satu-satu bidang.

Majlis tersebut juga turut diserikan dengan nyanyian lagu tradisional oleh Sabihah Abdul Wahid dan Idris daripada Kumpulan Layar Irama dan persembahan fragmen daripada karya Ybhg. Dato’ Rahman Shaari, “Benang di Hujung Laut” yang dilakonkan oleh Hairi Safuan dan Mardiana Alwi.

Persembahan fragmen “Benang di Hujung Laut” oleh Hairi Safuan dan Mardiana Alwi.
SN Anwar Ridhwan (tengah) dan SN Muhammad Haji Salleh (kanan).
SN A. Samad Said dan SN Siti Zainon Ismail.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir ke majlis tersebut ialah Tan Sri Syed Daniel Syed Ahmad (Ahli Lembaga Pengelola DBP), Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia), Tan Sri Razarudin Husain (Timbalan Ketua Polis Negara), Dato’ Ts. Kamel Mohamad (Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Operasi), dan Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini (Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.