3 Oktober 2022, 22:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan negara India yang ke-75, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Persuratan Sepanjang Hayat oleh Motivational Strips, Gujerat Sahitya Academy dan Kerajaan India.

Anugerah Pencapaian Persuratan Sepanjang Hayat diberikan kepada YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara India yang ke-75.
YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Pengiktirafan yang cukup bermakna itu adalah sebagai tanda penghargaan yang tidak terhingga atas segala sumbangan cemerlang yang telah diberikan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam menggemilangkan dunia sastera Melayu. Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden dan Pengasas Forum Gergasi Dunia Motivational Strips, juga selaku Pengarah Motivational Strips, Puan Sabrina Bryant dan mantan Pengerusi Gujerat Sahitya Academy, Dr. Vishnu Pandya.

YBrs. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman telah menerima pengiktirafan tersebut bagi pihak Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang berhalangan untuk turut hadir dalam majlis yang berlangsung di Bengaluru, India. Kehadiran Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman ke Bengaluru juga atas undangan pihak penganjur yang turut mengiktiraf beliau sebagai penerima anugerah tertinggi daripada Motivational Strips, Gujerat Sahitya Academy dan Kerajaan India. Pengiktirafan tersebut dibuat atas sumbangannya kepada sastera dunia melalui terjemahan dan beritanya tersiar dalam akhbar tempatan di negara India.

YBhg. Dr. Raja Rajeswari menerima pingat penghargaan atas pencapaian cemerlang beliau dalam terjemahan dan sastera dunia.

Bersempena dengan pengiktirafan tersebut juga, Dr. Raja Rajeswari diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan sebelum berlangsungnya majlis penyampaian anugerah tersebut. Yang menariknya, Dr. Raja Rajeswari menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu dan dilakukan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.

YBhg. Dr. Raja Rajeswari menyampaikan ucapan di pentas Bengaluru.

Selaku wakil daripada Malaysia, Dr. Raja Rajeswari telah menyerahkan Antologi Puisi Menganyam Tikar Peradaban, buku puisi yang diselenggarakan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Harlym Yeo, serta Ensiklopedia Bahasa Melayu dan Linguistik kepada pihak penganjur sebagai simbolik kerjasama antara Malaysia dengan India melalui Motivational Strips, Gujerat Sahitya Academy dan Soundarya Educational Trust. Melalui pertemuan itu juga, pihak penganjur amat mengalu-alukan kerjasama dalam hal berkaitan dengan sastera kebangsaan dan sastera global melalui terjemahan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.