Oleh Suyuthi Yusuf
3 Oktober 2022, 20:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi pihak Kerajaan Malaysia akan melaksanakan Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 pada 4 Oktober 2022 di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Anugerah Sastera Negara merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bertaraf negara kepada tokoh sasterawan yang masih hidup yang menulis dalam bahasa Melayu. Tokoh ini menurut penilaian panel telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi. Pada 22 Jun lalu, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan telah mengumumkan YBhg. Dato’ Rahman Shaari sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15.

YBhg. Dato’ Rahman Shaari sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15.

Dato’ Rahman Shaari merupakan anak jati Perlis. Beliau dilahirkan di Kampung Gial, Perlis pada tahun 1949. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Umum Guar Nangka dan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Derma Kangar sebelum ke Sekolah Alam Shah dalam aliran Sains pada tahun 1965. Pada tahun 1973, beliau menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya pada tahun 1977 hingga tahun 1979, beliau menjadi guru di Perlis. Beliau menyandang jawatan Profesor di Universiti Malaya pada tahun 2003. Kini, beliau merupakan Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR).

Kekuatan kepengarangan beliau adalah dalam genre puisi. Puisi-puisinya sarat dengan pemikiran serta memerlukan penafsiran yang mendalam. Beliau menekuni semua genre sastera termasuklah puisi, drama, cerpen, novel dan kritikan sastera. Antara karyanya ialah buku kumpulan puisi Kesan Kunjungan (1981), Serpihan Diri (1986), Melati dan Bahang (1996), Anjung Deklamator (2005) Anjung Persinggahan (2006), dan Penunggang Kenyataan (2015). Selain itu, antara karya novelnya yang pernah diterbitkan ialah Mufarakah (1992), Takungan Hajat (1995), Suluh Peraba (1996), Burok (2002), Pernikahan di Lubuk Hantu (2008), Semoga Molek (2012), dan Cengkaman Hasrat (2015).

Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah buku akademik berkaitan dengan penulisan dan kesusasteraan. Antaranya ialah Di Sekitar Sastera dan Kritikan (1981), Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran (1988), Memahami Gaya Bahasa (1993), Persediaan Menulis Esei Sastera (1996), Kesusasteraan dan Pendidikan Sastera (1998), Bimbingan Istilah Sastera (2000), Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan (2005), dan Permata Puisi (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.