3 Oktober 2022, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu Pahat– Zaharah Nawawi merupakan figura sasterawan Johor yang terkenal. Beliau merupakan sebutir permata yang berharga dalam dunia kesusasteraan dengan semangatnya yang begitu kental untuk membangunkan kreativiti penulis muda. Beliau melahirkan banyak penulis lain dengan mengasaskan Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) pada November 1997 sehingga lahirnya nama besar seperti Mawar Shafie, Siti Jasmina, W.B. Rendra, Nazmi Yaakob, Zulkifli Khair dan Beb Sabariah.

Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat mengambil inisiatif mengadakan “Seminar Mengingati Sasterawan Johor Zaharah Nawawi” pada 29 September 2022 di SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat.

Seminar yang bertemakan “Zaharah Nawawi: Antara Perjuangan dengan Anugerah Sasterawan-Wartawan Johor” tersebut dimulakan dengan majlis tahlil dan bacaan Yasin. “Perjuangan” merujuk kepada kumpulan cerpen Orang Perjuangan (DBP, 2005) yang membawa maksud idealisme, pemikiran dan falsafah dalam karya. Anugerah (DBP, 1995) pula merupakan novel beliau paling tebal yang pernah dihasilkan dan merupakan simbolik anugerah kepada persuratan Johor khasnya dan Malaysia amnya.

Seminar ini juga bertujuan mengangkat sumbangan Zaharah Nawawi yang mula menulis semenjak dekad 1950-an hingga akhir hayatnya pada tahun 2022. Pembentangan kertas seminar akan didokumentasikan sebagai hasil penyelidikan yang dapat menyumbang kepada kelestarian sastera negeri dan kebangsaan melalui perbincangan yang ilmiah.

Sesi pertama seminar dipengerusikan oleh Dr. Nur Afifah V. Abdullah dengan dua pembentang kertas seminar, iaitu Dr. Rosnah Baharudin dengan tajuk pembentangan “Zaharah Nawawi sebagai Sasterawan Johor” dan Puan Mahani Awang dengan tajuk pembentangan “Zaharah Nawawi sebagai Wartawan Johor”. Sesi kedua pula dipengerusikan oleh Dr. Mas Rynna Wati Ahmad dengan panel pembentang Prof. Madya Dr. Mawar Safei, Dr. Faizal Musa dan Puan Rozninah Abd. Azib. Masing-masing membicarakan tentang cerpen, puisi dan novel Zaharah Nawawi.

Prof. Madya Dr. Maslida Yusof, Pengerusi Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan (BITARA), UKM.

Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Maslida Yusof, Pengerusi Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan (BITARA), UKM. Dalam ucapannya, beliau menegaskan tentang peri pentingnya khalayak masyarakat mengenali dengan lebih dekat tentang dunia persuratan Zaharah Nawawi, terutamanya buat penulis muda yang mahu mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam arena penulisan kreatif.

Sebagai sorotan, Zaharah Nawawi merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) pada tahun 1996, penerima Hadiah Karyawan Sastera Johor dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim (1999). Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan Mingguan Malaysia dan dilantik sebagai Karyawan Tamu DBP (1997-1998). Selain Anugerah, novel lain yang dihasilkan ialah Sebelum Berhujungnya Musim Bunga, Bulan dan Mentari, Jalur Sinar di Celah Daun dan Hujan Sudah Teduh. Pemergian beliau pada tahun 2022 merupakan suatu kehilangan besar kepada dunia persuratan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.