Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rumah peninggalan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award 1996, Zaharah Nawawi, dijadikan harta wakaf dan diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor oleh warisnya, hari ini.

Berita Harian melaporkan, penyerahan dibuat oleh anak saudaranya, Nur Afiqah Abu Samhah, 38, yang mewakili keluarga dalam satu majlis ringkas di kediaman berkenaan.

Beliau berkata keputusan itu dicapai secara sepakat oleh semua waris bagi menunaikan impian Allahyarhamah yang pernah disuarakan ketika hayatnya.

Menurutnya, arwah yang tidak berkahwin amat rapat dengan adik-beradik dan anak saudara. Rumah berkenaan bukan sahaja menjadi tempat tinggal lebih 30 tahun, malah menyimpan pelbagai kenangan keluarga.

“Niat untuk mewakafkan rumah ini sudah lama disebut arwah, malah sebelum beliau disahkan menghidap kanser lagi.

“Kami bersyukur kerana akhirnya dapat merealisasikan hasrat itu dan berharap ia menjadi pahala berterusan buatnya,” katanya.

Zaharah berasal dari Parit Jawa, Batu Pahat, Johor, meninggal dunia pada 31 Mei 2022 pada usia 82 tahun akibat barah kulit.

Beliau yang juga mantan wartawan, pernah bertugas di Utusan Malaysia, The New Straits Times Press, selain pernah dilantik sebagai Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara karya beliau yang paling diingati termasuklah Panglima Salleh Selempang Merah terbitan DBP pada tahun 1988, selain sebuah lagi yang turut diterbitkan oleh DBP, iaitu Anugerah (1995) yang menceritakan perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union.

Zaharah turut membantu membangunkan bakat penulisan penulis muda menerusi penubuhan Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) pada November 1997.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi