Oleh Khairun Haneffa
23 September 2022, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tangkak – Pendeklamasi puisi dari Batu Pahat, Mohamad Amir Mohtaram yang mendeklamasikan sajak Naratif Ogos Seorang Helang karya Zainal Rashid Ahmad telah dinobatkan sebagai juara Sayembara Deklamasi Sajak 2022 bersempena dengan Festival Amazing Tangkak yang berlangsung di Dataran Ledang bermula 26 Ogos hingga 16 September 2022.

Sayembara yang julung-julung kali diadakan itu merupakan anjuran Majlis Daerah Tangkak (MDT) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak dan Persatuan Pengkarya dan Pencinta Seni Tinta Karya (Tinta Karya) Tangkak. Sayembara tersebut menyaksikan sebanyak 20 orang peserta dari Johor dan Melaka bersaing bagi merebut gelaran juara.

Naib johan disandang oleh Akilul Nazar Arbain dari Kulai yang turut mendeklamasikan sajak karya Zainal Rashid Ahmad. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Zety Natamulia Elias dari Segamat yang mendeklamasikan sajak Balada Sang Adiputera.

Naib johan, Akilul Nazar Arbain dan pemenang tempat ketiga, Zety Natamulia Elias, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, piala dan sijil.

Manakala tempat keempat disandang oleh Wan Alya Izzati Wan Nasuha dari Merlimau, Melaka yang mendeklamasikan sajak Negaraku Tercinta karya Bonda Nor Aini Hassan. Muhammad Irfan Hanapi Zulkapli dari Tangkak menduduki tempat kelima dengan sajak Bahasa Jiwa Bangsa. Grace Awenita Suresh memenangi tempat keenam dengan sajak Kebudayaan dan Pelancongan Tangkak. Beliau turut dipilih sebagai pemenang bagi Kategori Busana Tercantik.

Grace Awenita Suresh, pemenang Kategori Busana Tercantik, mendeklamasikan sajak Kebudayaan dan Pelancongan Tangkak.

Setiausaha MDT, Encik Ab Rahman Mohamed berkata sayembara itu bertujuan mencungkil bakat seni dalam bidang penulisan dan pendeklamasian sajak terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Melalui sayembara ini, kita dapat menilai kebolehan yang dimiliki oleh mereka sekali gus menghargai pencapaian mereka dalam bidang tersebut. Program yang julung-julung kali diadakan ini dapat memberikan pendedahan kepada pelapis baharu dengan mendeklamasikan karya sendiri atau karya penulis lain.

Tambah beliau, selain itu, program tersebut juga dapat memberikan peluang kepada para penggiat seni untuk menghalusi pengkaryaan dan kemahiran mereka dalam menampilkan penulisan yang lebih kreatif. Beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa. Malahan para peserta juga menunjukkan persembahan yang baik dan penuh bersemangat.

Turut hadir bersama-sama ialah Ketua Perundingan Kawalan Kemajuan MDT, Encik Fakhrurrazi Ahmad Sulaiman; Ketua Perhubungan Awam dan Korporat MDT, Puan Siti Hawa Md Zin; Penasihat Tinta Karya, Profesor Madya Dr. Zaleha Kassim dan Timbalan Pengerusi Tinta Karya, Encik Mohd Noh Mohamed.

Profesor Madya Dr. Zaleha, dalam ucapannya berkata, sayembara yang dianjurkan bertepatan dengan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang menyemarakkan patriotisme dalam diri.

Pelibatan peserta pelbagai bangsa yang mendeklamasikan puisi patriotik menunjukkan semangat Keluarga Malaysia. Manakala penyertaan dari pelbagai daerah dan negeri pula melambangkan semangat dan kecintaan terhadap warisan budaya yang amat tinggi.

Menurut beliau lagi, pihak Tinta Karya sentiasa memberikan sokongan kepada Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak untuk menganjurkan pelbagai aktiviti seni dan budaya demi membangkitkan semangat dan cinta akan kebudayaan dalam kalangan generasi muda.

Sayembara tersebut diserikan dengan persembahan karyawan seni, Encik Syed Indra Syed Omar atau Siso Kopratasa yang mendendangkan dua buah lagu puisi, Masihkah Kau Ingat? dan Permata Untuk Isteri. Beliau hadir sebagai juri sayembara bersama-sama Pengerusi Penyair Johor, Encik Mohd Shahrin Haron dan aktivis penulisan berpengalaman, Encik Che Masruddin Muhammad. Penonton juga disajikan dengan persembahan irama lagu Melayu asli oleh kumpulan Al-Linggi dan penyanyi Azizul Hakim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.