22 September 2022, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) Bil. 16/2022 bertajuk “Novel Sejarah Pembangkit Nasionalisme” menampilkan pembicara Dr. Mohamad Saleeh Rahamad @ Ahamad yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Berkenaan konsep sesebuah novel sejarah, beliau menjelaskan bahawa penghasilan novel sejarah perlu mengemukakan plot sejarah dan watak-watak sejarah. Watak itu akan menggerakkan plot cerita dan melibatkan peristiwa besar negara. Selain itu, watak utama yang menggerakkan peristiwa sejarah haruslah watak yang betul dan penyelewengan fakta tidak dibenarkan.

Pada era pascakolonial, beliau menyatakan pengarang peribumi menggunakan kesusasteraan sebagai alat untuk melawan penjajahan. Oleh itu, pengarang akan menjadikan teks sastera sebagai senjata budaya. Tambahnya lagi, novel sejarah memainkan peranan sebagai pembangkit semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu.

Pada peringkat awal, novel sejarah yang berperanan sebagai pembangkit semangat nasionalisme dilihat tidak begitu berkembang sehinggalah selepas kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Melihat kepada perkembangan awal, pada tahun 1936 terhasilnya karya daripada Raja Mansur berjudul Panglima Ratu atau Bidadari dari Acheh, kemudiannya karya Abdul Kadir Adabi Ahmad berjudul Acuman Mahkota yang diterbitkan secara bersiri dalam majalah Al-Hikmah pada tahun 1937-1938. Walau bagaimanapun, tidak dapat dilihat penentangan yang jelas terhadap penjajahan dalam novel tersebut.

Pada tahun 1945 iaitu selepas pengunduran Jepun, pengarang Melayu semakin rancak menggunakan novel sejarah sebagai medium untuk menyampaikan mesej semangat kebangsaan. Antara penulisan yang dihasilkan berjudul Tun Jemala (1949), Siapakah Dapat (1949) dan Puteri Pertiwi (1949) oleh Ahmad Bakhtiar. Shaharom Husain juga merupakan penulis novel sejarah dan menghasilkan karya yang berjudul Bermandi Darah di Sungai Johor atau Riwayat Hang Nadim Hulubalang Melayu (1949), Korban Sungai Muar atau Lelehan Darah di Pantai Bentan (1948), dan Tun Fatimah atau Perjuangan Kaum Ibu (1948). Dalam kuliah ini, beliau turut menyatakan Sultan Idris Training College (SITC) berperanan dalam membangkitkan semangat nasionalisme.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.