Oleh Azrin Eddy
19 September 2022, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu Program Secangkir Kopi bersempena dengan Pesta Buku Kinabalu berjaya dilaksanakan dengan jayanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS). Sebanyak 70 orang peserta yang terdiri daripada 40 orang pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kinarut serta orang awam menghadiri program ini di Perpustakaan Negeri Sabah. Pengarah DBPCS, Puan Aminah Awang Basar serta Timbalan Pengarah Sabah, Encik Rusdi Awang dan Puan Jennitah Noordin turut hadir memeriahkan lagi program.

Sebuah buku hanya kekal sebagai kepingan helaian kertas bertulis yang menjadi hiasan rak buku di perpustakaan jika tidak dibaca dan dikupas oleh pembaca. Oleh itu, program Secangkir Kopi ini dianjurkan untuk menggalakkan kegiatan bicara buku dan tabiat membaca sekali gus mempromosikan buku baharu terbitan DBP. DBPCS mengambil peluang menjemput Sasterawan Negeri Sabah kedua, Puan Azmah Nordin bersama-sama dengan Prof. Madya Dr. Asmiaty Amat sebagai pembicara dan Puan Dayangku Mastura sebagai moderator untuk mengupas isu menarik dalam buku baharu karya Puan Azmah Nordin yang berjudul Temasya Cemara Merah.

Sesi penandatanganan buku oleh Puan Azmah Nordin.

Novel remaja ini mengisahkan tentang seorang remaja wanita bernama Sakina yang tinggal bersama-sama neneknya mengharungi pelbagai rintangan semasa pendudukan Jepun di Sabah. Prof Madya Dr. Asmiaty berpendapat bahawa kemampuan penulis dalam menampilkan watak-watak yang hebat serta menonjolkan kearifan tempatan dalam penulisannya merupakan antara faktor yang dapat menarik minat pembaca daripada pelbagai peringkat usia, kaum dan bidang. Sebagai pembaca, kita tidak hanya disajikan dengan plot penceritaan yang menarik tetapi juga ilmu baharu mengenai sejarah dan budaya Sabah. Dalam novel ini, penulis memperincikan ramuan ubat-ubatan tradisi, alat muzik Sabah serta perlumbaan perahu berhias yang merupakan acara tahunan suku kaum Bajau di Sabah. Secara tidak langsung, pembaca dapat memahami budaya Sabah dengan lebih mendalam melalui pembacaan novel ini.

Temasya Cemara Merah ini merupakan ilham daripada sebuah buku tentang sejarah Sabah. Saya memikirkan cara untuk memanfaatkan fakta-fakta yang ada sekali gus memaparkan watak wanita yang cekal dan bijaksana supaya dapat dijadikan contoh kepada anak-anak muda apabila membaca novel ini.

Jelas Puan Azmah apabila ditanya mengenai sumber inspirasi beliau. Beliau berpendapat bahawa remaja kini kurang gemar menyentuh buku ilmu kerana padat dengan isi dan fakta. Maka, beliau ingin menggunakan pendekatan lain agar fakta-fakta yang dianggap berat itu sampai kepada pembaca.

Para peserta Secangkir Kopi bergambar kenang-kenangan.

Karya penulisan harus bersifat dua hala kerana penulis hanya akan menyediakan bahan untuk pembaca. Tugas pembaca adalah untuk merungkai mesej yang ingin disampaikan oleh penulis serta seterusnya memberikan maklumbalas agar sesebuah karya itu terus hidup dalam masyarakat.

Program Secangkir Kopi ini dianggap sangat relevan dan menarik untuk masyarakat awam kerana merupakan diskusi yang bersifat informatif dan santai. Pembaca juga berpeluang berjumpa dengan penulis buku secara langsung dan menyelesaikan teka-teki yang bermain di minda ketika membaca karya mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.