Oleh Suyuthi Yusuf
9 September 2022, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – YBhg. Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah merasmikan Persidangan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) ke-10 serta turut memberikan ucapan ucaptama dalam program tersebut yang berlangsung di Hotel Travelodge, pagi tadi.

Persidangan Pulara tersebut terbahagi kepada tiga tema, iaitu tentang lagu puisi dan lagu rakyat, arah tuju penerbitan karya sastera, dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sedang memberikan ucapan ucaptama persidangan.

Datuk Seri Dr. Zambry  dalam ucapan ucaptamanya menyatakan bahawa pembinaan seseorang manusia perlu dibuat secara menyeluruh dan kesenian serta kesusasteraan merupakan elemen penting dalam membina kejiwaaan manusia.

Membina manusia bukan hanya aspek fizikalnya semata-mata, tetapi melibatkan keseluruhan aspek dirinya. Upaya mental dan rohani perlu dibangunkan menerusi kesenian dan kesusasteraan. Penghayatan kedua-duanya ke dalam jiwa harus dilakukan.

Selain menyatakan tentang peri penting tugas kesenian dan kesusasteraan tersebut, beliau juga turut menyentuh peranan para penulis dan penyair yang penting dalam membina bangsa dan negara.

Para penyair dan penulis dahulu seperti Rabindranath Tagore dan Muhammad Iqbal umpamanya sering menyuntik dan memberi idea-idea besar untuk membangunkan negara dan memberi penjelasan apa erti sebuah negara. Penulis lain yang kontemporari seperti Maya Angelou dan Václav Havel juga sering menyentuh hal-hal dan nilai kemanusiaan berkaitan dengan kemasyarakatan.

Selain itu, beliau juga turut menyatakan bahawa semak dan imbang dalam meneliti keadaan sosial masyarakat boleh dilakukan menerusi kesenian dan kesusasteraan serta menggerakkan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik. Seterusnya beliau menyentuh tentang bagaimana kesusasteraan mampu memberi semangat kehidupan dan membebaskan rakyat daripada penjajahan dan kolonalisme dahulu.

Selepas ucapan ucaptamanya, Pulara ke-10 diteruskan dengan persidangan sesi pertama yang bertemakan “Lagu Puisi, Lagu Rakyat dan Lagu Berfalsafah Tinggi”. Persidangan pertama ini menampilkan tiga orang pembentang, iaitu Encik Ahmad Ramli, Siso Kopratasa, dan Puan Norliza Yamin serta dikendalikan oleh moderator Djazlam Zainal.

Dari kiri: Puan Norliza Yamin, Siso Kopratasa, Encik Ahmad Ramli dan Djazlam Zainal.

Encik Ahmad Ramli dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk ‘Muzik Merentas Puisi’ menjelaskan tentang sifat puisi dan bentuk persembahan puisi. Selain itu, beliau juga turut menyentuh tentang beberapa kaedah deklamasi puisi seperti deklamasi kaedah awam, deklamasi kaedah popular, deklamasi kaedah sayembara dan deklamasi kaedah teatrikal. Seterusnya, beliau menyatakan tentang konsep muzik iringan dan muzik latar yang berbentuk monofoni, homofoni, dan polifoni.

Siso Kopratasa pula dalam pembentangannya yang bertajuk ‘Lirik Berfalsafah Tinggi’ menyatakan pentingnya bagi para karyawan menghasilkan lirik yang cerdik. Beliau menggunakan istilah cerdik lirik dalam memperkatakan hal tersebut dan memberi contoh lagu ‘Fikirkan Boleh’ yang menurut beliau merupakan lagu yang mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Perkataan ‘boleh’ tersebut menjadi fenomena yang boleh memajukan masyarakat dan meninggalkan kesan yang mendalam. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa perlunya membaca kata-kata daripada individu yang hebat seperti Buya Hamka untuk menghasilkan lirik yang cerdik tersebut.

Seterusnya, dalam pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Konsep Lagu Rakyat’, Norliza Yamin menjelaskan peranan lagu rakyat yang diperturunkan daripada generasi ke generasi. Menurutnya, lagu rakyat sememangnya bersifat hiburan selain menyisipkan elemen mendidik dan penceritaan. Lagu rakyat juga banyak menceritakan tentang suasana dan keadaan masyarakat dahulu yang mungkin tidak lagi diketahui dan dialami oleh generasi sekarang. Lirik lagu rakyat juga berfungsi dalam memberi nasihat, didikan, usikan dan senda gurau dalam masyarakat.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.