Diterbitkan pada 19 Februari 2026, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Za’im Yusoff memperincikan maksud dan isyarat falsafah Melayu yang dalam di sebalik lagu etnik baharu nyanyian Hazra Dollah dan Alun Tradisi berjudul Selumbari.

Alam dalam Selumbari mengajar cara jiwa kita harus bernafas, cara beredar daripada perhubungan, bahkan cara tidak memecahkan diri sendiri ketika diserang gelombang uji.

Sering kali lagu-lagu baharu menambah bunyi pada hari, tetapi Selumbari, karya terbaharu daripada Hazra Dollah dan Alun Tradisi, dengan nukilan lirik emasnya oleh Ahmad Fedtri Yahya, ternyata turut sama diam-diam menambah ruang pada sanubari.

Bahkan, sebelum melodinya sempat memeluk telinga, tajuknya sudah segera memulakan kerja falsafahnya apabila makna ‘selumbari’ menurut Kamus Dewan ialah “kelmarin dulu”, lalu hal ini mengarahkan seluruh naratif daripada “perasaan hari ini” kepada arkeologi perasaan yang ditimbang oleh jarak kendati dua hari cuma.

Dalam budaya Melayu, kosa kata masa yang halus bukanlah sekadar hiasan kata, tetapi manifestasi bagaimana tamadun bangsa ini mengurus ingatan. Apabila bahasa masih mampu membezakan “semalam”, “kelmarin” dengan “selumbari”, hal ini menandakan manusia tidak menyerahkan jiwa kepada ketergesa-gesaan, sebaliknya manusia masih percaya bahawa sebenar-benar perasaan perlu melalui sedikit penangguhan sebelum benar-benar masak untuk menimbulkan makna yang layak. Di sini, Selumbari tidak memujuk kita dengan bujukan dramatik, sebaliknya dengan disiplin menahan rasa agar rasa yang menjelmakan cinta nantinya lebih jernih, lebih waras, demikian lebih boleh dipertanggungjawabkan.

……….Alun angin layangan rindu
……….Awan menari di puncak mega
……….Bagaikan lilin seri baldu
……….Tuan terangi jiwa dan raga

Dalam Selumbari, tanggungjawab ini digalas atas pundak lambang-lambang alam menerusi tatabahasa batin pada angin, awan, puncak mega, hujan, embun, mentari, dan bulan. Dalam kerangka Hashim Awang melalui Teori Pengkaedahan Melayu, alam bukan sekadar latar yang cantik, tetapi kaedah untuk memahami gerak hidup, dan pada masa yang sama, pengkaedahan keagamaan mengikat makna agar tidak tercerabut daripada akar nilai.

Menerusi kaca mata ini, rindu yang dialunkan oleh angin dan awan yang menari-nari dalam Selumbari bukan romantik kosong, tetapi didorong oleh satu disiplin yang tidak semberono membuntuti hawa nafsu dan ingin, sebaliknya ditertibkan melalui gerak alam. Alam dalam Selumbari mengajar cara jiwa kita harus bernafas, cara beredar daripada perhubungan, bahkan cara tidak memecahkan diri sendiri ketika diserang gelombang uji. Pendek kata, emosi insan tidak harus dipamerkan seperti dagangan luka di tengah pasar. Cara yang benar ialah emosi itu dibawa ke alam supaya menjadi lebih tertib dan tersusun, agar langkah kehidupan diurus dengan lebih anggun.

……….Mana ruang tuan sebutkan
……….Wangian kuntum mekar seribu
……….Terawang-awang syair dan pesan
……….Semerbak harum hiasi kalbu

Di sini, Fedtri selaku tukang liriknya yang genius melakukan satu helah yang sangat cerdas dengan mengalihkan pusat graviti daripada tubuh kepada makna. “Wangian”, “kuntum” serta “syair dan pesan” bergerak serentak, seolah-olah mahu mengatakan bahawa yang benar-benar menyuburkan kalbu bukan sekadar pesona dan watak, tetapi pesan dan tindak. Wangi yang sering disalah guna sebagai lambang sensual, diangkat menjadi lambang makna tebal yang meresap. Hal ini membawa kita kepada bacaan berlapis. “Tuan” boleh dibaca sebagai kekasih, tetapi “Tuan” boleh juga dibaca sebagai figura pemandu jiwa, malah boleh ditafsirkan sebagai arah ketuhanan yang menenangkan. Lapisan ini sengaja dibiarkan terbuka supaya penikmat Selumbari sedar bahawa cinta dalam tradisi Melayu Islam jarang-jarang berdiri sebagai nafsu sahaja; cinta sering disekutukan dengan adab, doa dan keinsafan jiwa.

Kemuncak falsafah Selumbari terletak pada air yang diliriki.

……….Hujan turun hujung senja
……….Membasuh jejak luka
……….Embun kasih selumbari
……….Menjernih danau di hati

Ini bukan sekadar dua imej yang indah, tetapi dua teori pemulihan yang absah.

Hujan ialah pembersihan yang berlaku sebagai peristiwa yang kadang-kadang halus sebagai rintik, kadang-kadang kasar sebagai lebat; hal yang didambakan ialah pengakuan akan kekurangan, kecacatan juga kekhilafan diri.

Luka pula tidak disebut sebagai “darah” atau “parut”; tetapi Fedtri menyebutnya sebagai “jejak”. Jejak ialah tanda yang ditinggalkan oleh perjalanan bermakna. Luka ialah kesan perjalanan yang boleh dibasuh atau disembuhkan agar perjalanan hidup seterusnya boleh diteruskan. Perjalanan yang dimaksudkan adalah dari senja ke mana? Ya, ke malam hari, demikian hadirnya rangkap bridge setelahnya.

Ketimbang hujan, embun pula ialah elemen pemurnian yang senyap, meski tidak selebat hujan, tetapi paling berkesan lantaran sifat embun yang suci membersihkan sehingga menjadi salah satu daripada tujuh jenis air mutlak yang suci lagi menyucikan, sah untuk berwuduk bahkan mandi wajib. Demikian, hal ini boleh dibaca dengan hujan untuk insan puas bermandi sementelahan embun pula untuk insan lekas berwuduk sebelum meraduki rahsia malam atas sejadah alam.

Dan “danau” mengisyaratkan ketelitian akan psikologi budaya yang halus. Danau ialah takungan; hati manusia juga takungan. Demikian, keruh batin jarang-jarang berpunca daripada satu-satu peristiwa, sebaliknya daripada simpanan luka yang belum lagi dijernihkan, dengan demikian perlu segera dibersihkan dalam menghabiskan usia yang berbaki, di hujung senja itu tadi.

Dalam bacaan ini, Selumbari bukan lagu tentang kesedihan melampau, tetapi lagu yang mengimbau cara nenek moyang mengurus kesedihan bahkan penyesalan diri agar hal-hal buruk masa lalu tidak abadi menjadi identiti galau diri. Luka tidak diraikan sebagai mahkota, tetapi luka dibasuh supaya manusia boleh berjalan semula tanpa menyeret hanyir bau darahnya ke mana-mana pada bila-bila. Lantaran, walau seteruk dan seburuk apa pun insan, selagi hayat dikandung badan, rahmat-Nya masih luas terbuka kerana pintu taubat-Nya masih mampu kau kuak.

……….Andainya bulan lindung balik kelam
……….Bukanlah maksud bencikan mentari
……….Sekadar hanya mengizin malam
……….Memutar waktu, takdir dan hari

Kemudian, rangkap bulan dan mentari memaku pandangan alam Selumbari. Bait “Andainya bulan lindung balik kelam” diikuti dengan penegasan bahawa itu bukan benci kepada mentari, ialah ajaran keseimbangan atau tawazun yang tidak sesekali menafikan gelap, namun tidak juga terlalu memuja gelap. Di sinilah gagasan adab menjadi nyata, seiring wacana al-Attas tentang tertib makna dan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Darihal itu, tawazun dan adab inilah yang mengajar kita untuk tidak terlibat dalam dua kutub ekstrem, sama ada optimisme keterlaluan yang menafikan duka mahupun duka keterlaluan yang menafikan harapan.

Dalam Selumbari, malam diizinkan supaya waktu dapat diputar seraya takdir dapat ditafsirkan dengan lebih tenang, akal dan fikiran dapat direhatkan lebih lama dan panjang, demikian hari dapat disambut tanpa panik menerjang. Inilah kritikan halus pada budaya moden yang obses pada cerah yang berterusan; seolah-olah sedih menyendiri itu dosa, seolah-olah merehatkan diri itu kelemahan jiwa. Lirik ini menolak kezaliman itu dengan berkata lembut tetapi tegas, diartikulasikan komposernya, Totoy dengan accent” atau “marcato yang cergas betapa manusia perlukan malam sebelum kembali cerdas menjadi manusia, selari dengan firman وَجَعَلْنَا ٱلَّيْلَ لِبَاسًۭا.

Bahkan, lantunan “Aaaa…” yang indah berulang oleh Hazra itu bukannya ruang kosong yang sengaja diada-adakan, tetapi berfungsi semacam jeda liturgi atau litani yang membenarkan pendengar memasukkan pengalaman insaninya sendiri. Hal ini boleh menjadi keluh yang tidak sempat berbahasa, boleh menjadi zikir yang tidak mahu dipamer, boleh menjadi doa yang tidak cukup huruf untuk dizahir. Dalam tradisi persuratan, kadang-kadang yang paling jujur bukan yang paling panjang, tetapi yang paling tepat meletakkan diam pada tempat. “Aaaa…” ialah jendela Selumbari yang terakhir, di situ sanubari tidak lagi dihadirkan definisi makna, sebaliknya sanubari dibiarkan sepenuh-penuhnya merasa.

Atas segala hal ini, Selumbari mengajarkan bahawa pemulihan bukan letupan motivasi, tetapi kerja halus yang berlapis. Waktu memberi jarak, alam memberi bahasa, air memberi proses, langit memberi keseimbangan, dan diam memberi tempat pulang. Apabila semua itu disatukan, lagu ini tidak lagi sekadar didengar. Selumbari menjadi satu cara hidup yang perlahan tetapi kejap menyerap dengan membasuh jejak tanpa memalukan diri, menjernihkan danau tanpa menyalahkan dunia, dan mengizinkan malam demi retrospeksi diri sembari mentari pagi nanti kembali bermakna pada sanubari.

_________________________

Za’im Yusoff yang kini bertugas dalam dunia perbankan juga merupakan seorang penulis yang banyak menyumbangkan puisi dan esei, baik dalam media maya mahupun media bercetak.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi