Diterbitkan pada 14 November 2025, 12:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Za’im Yusoff memperincikan maksud dan isyarat budaya di sebalik lagu etnik baharu berjudul Rencong oleh Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang termuat dalam album etnik kreatif terkini, Gema Bumantara.

Pantun yang makan dalam kerana pantun ialah cara kita menyampaikan kebenaran tanpa menelanjangkan sesiapa untuk diaibkan.

Di sebuah senja yang belum sempat tua, radio di rumah nenek memutar dua roh dalam bentuk lagu. Satu roh lebih dahulu datang dalam sejarah pendengaran kita apabila suara Zahara Agus melalui Kalau Mau Kenal sekitar 1950-an mengusik lembut.

Ujar Zahara, kalau mahu kenal, kenalilah betul-betul, jangan sekadar cakap kosong. Beza daun duku dengan daun inai bukan pada hijau daunnya, tetapi pada bau dan penggunaan; beza titi dengan jambatan bukan pada fungsi lintasan, tetapi pada keluasan alur dan keperluan; beza roti paratha dengan roti canai bukan pada tepungnya, tetapi pada tangan dan adat yang membentuknya.

Suara klasik Zahara itu sebenarnya sedang mengajar ilmu pembezaan pada tingkat yang rendah tetapi tetap jernih supaya kita tidak semberono menyamakan sesuatu hanya kerana semata-mata kelihatan serupa. Demikian, Rencong yang dinyanyikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza menerusi album terbaharunya, Gema Bumantara berdiri tepat di atas pelajaran Zahara berkenaan, lalu menaikkan martabat subjek taksonominya.

Kalau Zahara membezakan daun dengan roti, Rencong membezakan daun maruah dengan daun dapur, membezakan bunga upacara dengan bunga serambi, membezakan adat yang wajib ditatang dengan kebiasaan yang boleh ditinggalkan. Dua suara perempuan Melayu dari dua pendekatan dan zaman berbeza itu rupa-rupanya sedang selari mengalir lalu menjadi sebatang sungai makna yang kaya melalui arus irama yang sama-sama menawan.

Rencong dibuka dengan panggilan yang sangat halus:

……….Anak pertiwi
……….Begitulah
……….Bidalan menusuk ke jiwa.

Tiga baris ini sudah mengikat nada. Fedtri Yahya selaku penulis lirik mahu kita sedar bahawa bangsa ini asalnya dibentuk oleh kata-kata tua yang menikam kendati tidak menumpahkan darah. Bidalan itu pula seperti senjata rencong Aceh. Kecil tetapi mengendong kuasa. Ia menyusup ke bawah kulit sembari kekal berkuasa menawan jiwa di situ.

Menyusul sekali lagi panggilan yang sama:

……….Anak pertiwi
……….Kalau mencuit
……….Pantunnya amboi makan dalam.

Di sini, Hafiz Hamidun selaku komposer dan Fedtri sedang berkata bahawa tatkala atma seorang Melayu tersentuh, yang terbit bukan jerit, tetapi pantun. Pantun yang makan dalam kerana pantun ialah cara kita menyampaikan kebenaran tanpa menelanjangkan sesiapa untuk diaibkan.

Masuk kemudian rangkap yang menajamkan deria:

……….Mawar, melur dan kenanga
……….Mengapa kau lihat sama
……….Apakah tandanya
……….Masih belum bijaksana.

Inilah inti falsafah Rencong. Mawar itu bunga yang gemar dilihat. Merah, mengembang, berduri. Seraya menjadi lambang kasih yang mahu diiktiraf. Melur pula putih dan kecil. Nuansanya memaknai roh kesucian selain dirinya mewarnai upacara. Baunya mengikut rapat insan, senyap-senyap menusukkan bau di hidung kenangan. Kenanga lain sekali. Bunganya menunduk, warnanya kuning kehijauan. Baunya pula memeluk rumah dan sekali menetap pada tiang kayu, lama nian.

Tiga bunga ini sama-sama bunga, sama-sama harum, tetapi fungsi dan darjatnya dalam budaya Melayu tidak sama. “Jika engkau melihatnya sama,” ujar lirik ini, “maka itu tandanya dirimu masih belum bijaksana”. Belum menguasai ilmu membezakan. Belum tahu bunga mana layak dimasukkan ke dalam upacara, bunga mana perlu diatur di dalam jambangan, bunga mana hanya dibiarkan sahaja mengharumkan serambi.

Sesudah itu, datang rangkap pengakuan bagi kelemahan:

……….Nak syair tak pandai
……….Nak zapin tak gemalai
……….Nak berkias tak menjadi.

Ini suara zaman. Kita kenal nama syair, tetapi tidak cukup nafas dan tertib untuk melantunkannya. Kita tahu gerak zapin, tetapi tubuh kita sudah keras dan tidak mahu tunduk kepada rentak marwas. Kita mengerti kias, tetapi kita lebih pantas menegur dengan pedang kata yang mencantas daripada menegur dengan keluk bicara beralas. Lalu, dilanjutkan dengan lapisan kedua kelemahan:

……….Nak silat tak handal
……….Nak pencak tak bermaya
……….Nak bertempur tak berani.

Lirik ini bukan mengherdik dalam marah, sebaliknya mendedahkan bahawa akar kepahlawanan dan akar kesenian anak-anak bangsa masani sama-sama sudah longgar. Ilmu gerak dan ilmu lidah terhakis serentak. Maka, di tengah baris yang jujur itu muncul suara menahan: “Janganlah begitu weh!

Satu baris sahaja, namun cukup menggantikan geleng kepala moyang nenda di beranda. Jangan begitu anakku. Jangan biarkan semua warisan ilmu yang diturunkan dan diperturunkan hilang begitu sahaja.

Lagu Rencong kemudian kembali memanggil:

……….Anak pertiwi
……….Jangan keliru
……….Kaduk dan sirih dua berbeza.

Ini sambungan langsung pada rangkap bunga tadi. Kaduk dan sirih sama-sama hijau dan memanjat, tetapi tempatnya bukan di ruang yang sama. Kaduk itu daunnya hijau pekat, merayap rendah, biasa dilihat sebagai laluan semut, dan lazimnya diam di dapur. Sirih pula daunnya lebih kemas, beraroma, ditatah dalam tepak sirih untuk menandakan hormat kepada tetamu bertandang, juga buat hantaran si dia untuk dipinang seraya sirih dijoloki sebagai daun maruah.

Apabila Rencong mengalunkan “dua berbeza”, ungkapan itu sebenarnya menegur kita yang suka menyamakan semua perkara semisal adat disamakan dengan trend, guru disamakan dengan pengulas, seni halus disamakan dengan hiburan murah. Dalam akal Melayu-Islam, itu namanya hilang adab, yakni meletakkan sesuatu bukan pada martabatnya. Adab bukan sekadar sopan, bahkan adab ialah ilmu hierarki sejauh mana diri mematuhi.

……….Anak pertiwi
……….Jangan begitu
……….Adat lama semua terlupa.

Sekali lagi ingatan yang menyedihkan. Adat bukan pakaian kosong. Adat ialah penjaga rentak hidup. Apabila nada adat dilupakan secara sengaja atau tidak, manusia sekadar menyanyi dengan hanya satu rentak tempo. Sesudah menegur, lirik ini mengingatkan bekal yang kita sudah ada.

……….Sudah makan pantun
……….Sudah pun minum gurindam
……….Masih tak berjumpa
……….Di mana makrifatnya.

Ini cantik. Kita sudah pun diberikan bentuk bahasa tertinggi, tetapi kita belum sampai kepada hakikat meski sudah punya alat. Kita sudah pun menghadamkan pantun dan gurindam, tetapi kita masih mencari di mana rasa kenal Tuhan dan kenal diri. Lalu rangkap kelemahan diulang semula:

……….Nak syair tak pandai
……….Nak zapin tak gemalai
……….Nak berkias tak menjadi.

.………Nak silat tak handal
……….Nak pencak tak bermaya
……….Nak bertempur tak berani.

Pengulangan ini bukan sekadar pengulangan irama bagi menyempurnakan struktur binaan muzik, sebaliknya, pengulangan ini merupakan penegasan bahawa masalah yang tidak diubati akan terus datang berputar-putar dalam sebuah bulatan kehidupan, seakan-akan mustahil menemukan pengakhiran.

Masuk bahagian yang sangat visual:

……….Bajulah kurung
……….Coraknya rencong
……….Hidung tak mancung
……….Pipi tersorong-sorong.

Inilah gambaran Melayu yang mahu kelihatan, tetapi tidak menyiapkan diri. Baju kurung ialah lambang tertib dan menutup. Corak rencong ialah lambang keberanian dan sejarah. Memakai baju kurung yang bercorak rencong bermaksud diri boleh berlembut sambil menyimpan bilah. Namun begitu, apabila hidung tidak mancung tetapi pipi tersorong-sorong, itu tandanya diri minta dilihat oleh nilai luar. Lirik ini menegur kecenderungan mahu dipuji tanpa isi.

Kemudian datang baris yang manis tetapi tegas:

……….Kembang selasih
……….Sama siantan
……….Kalau tak fasih
……….Cepat hafalkan.

Hal ini kembali kepada nada Zahara Agus tadi. Selasih dan siantan sama-sama kembang, tetapi bukan serupa segala.

Adat bukan pakaian kosong. Adat ialah penjaga rentak hidup.

Kembang selasih ialah harum yang datang daripada kehalusan daun, bukan keghairahan kelopak. Dirinya akrab dengan jamu, air rendaman, dan petua nenek yang menyurutkan panas jiwa. Selasih tidak meminta dipuja, ia bekerja diam di balik dinding dada, memulihkan tubuh yang letih dan meneduhkan hati yang serabut. Demikian, selasih melambangkan diri yang bermanfaat, meski kerjanya senyap namun dalam, seperti ilmu yang sebati dengan diri, lantas terpancar sebagai sinaran budi. Selasih mengingatkan kita bahawa nilai tidak selalu datang dalam rupa yang mencolok, tetapi hadir sebagai sejuk yang meresap hingga tenang perasaan dan gerak menjadi tertib.

Siantan pula menyala pada mata seperti perayaan kecil di pagar rumah. Gugusannya rapat, kuntumnya kecil, warnanya meranumkan persepsi sehingga laman tampak hidup. Siantan tidak menawar dahaga, namun menegakkan erti jamal, yakni keindahan pada memberikan seri akan ruang dan menyusun rasa komuniti, seperti joget dan inang yang mengangkat suasana majlis.

Apabila Fedtri menyandingkan “kembang selasih” dengan “siantan,” tautan ini sedang menguji kefasihan adab membezakan penawar dengan perhiasan, isi dengan seri, manfaat dengan cantik. Menjadi fasih ialah tahu saat menghidang selasih agar damai kembali, dan saat menyemat siantan agar terang suasana semula, lalu kedua-duanya diletak pada tempat yang selayaknya.

Jika engkau tidak fasih membezakan, cepat hafalkan. Inilah demikian ajakan untuk mengulang pelajaran adat seperti huraian, sehingga lidah menjadi fasih agar mudah-mudahan hati kemudian menjadi arif.

Lalu, muncul sebaris dialek yang membuatkan lagu ini benar-benar berjiwa: “Keh dah kabo kat ork.” Ungkapan ini bermaksud, “Sudah aku beritahu kepada kamu semua!” Inilah balasan penyanyi kepada pendengar yang mungkin masih keras kepala. Lirik darihal itu memberikan ruang untuk pendengar dicuit manja sambil disapa mesra.

Sesudah itu, lagu berbalik semula ke awal untuk mengikat struktur:

……….Anak pertiwi
……….Begitulah
……….Bidalan menusuk ke jiwa.

……….Anak pertiwi
……….Kalau mencuit
……….Pantunnya amboi makan dalam.

Lingkaran dibina semula supaya setiap nasihat tidak berakhir tergantung. Barulah masuk bahagian yang paling dramatik:

……….Sakitnya bukan sedikit
……….Tertikam, menikam, menerkam.

……….Jangan cuba lari
……….Berpantang undur sebelum kalah.

Di sini falsafah rencong yang sebenar dikeluarkan. Menyembuhkan bangsa yang lupa tidak pernah manis sepanjang jalan. Ada tikaman yang perlu dirasai. Ada rasa dikejar oleh kebenaran sampai ke sudut hati. Seruan jangan cuba lari ialah seruan kepada kita yang selalu mahu menunda muhasabah. Lalu ditutup dengan tekad Melayu tradisi. Berpantang undur sebelum kalah.

Bahagian penutup sengaja diulang bagi mengakarkan lagi pesan:

……….Bajulah kurung
……….Coraknya rencong
……….Hidung tak mancung
……….Pipi tersorong-sorong.

……….Kembang selasih
……….Sama siantan
……….Kalau tak fasih
……….Cepat hafalkan.

Pengulangan ini membuatkan bait itu melekat lalu mudah diajar kepada anak-anak.

Selepas itu, Fedtri dan Hafiz Hamidun mengizinkan loghat Pahang berbunyi penuh:

……….Nak syair tak pandei
……….Nak zapin tak gemalei
……….Nak berkieh tak menjadi.

……….Nak silat tak handei
……….Nak pencak tak bermaye
……….Nak bertempor tak beghani.

Ini bukan sekadar gurauan, tidak pula sebatas kecindan. Ini kaedah membawa nasihat ke paras rakyat. Apabila nasihat disebut dalam lidah daerah, hal itu menurun terus sebagai amanat ke tanah.

Kemudian, korus terus diulang dalam bentuk baku yang pertama sebanyak dua kali. Pengulangan bertingkat tingkat ini memberikan kesan, seperti guru yang tidak akan berhenti menyebut selagi murid belum benar-benar menghafal.

Maka, jika ditanya apa sebenarnya lagu Rencong ini? Jawabnya, Rencong menadah sembari menapis entri-entri penting dalam kamus budaya Melayu, menempanya menjadi senjata halus, lalu meletakkannya kemas di telapak tanganmu. Lagu ini mengajarmu membezakan kaduk yang layak di dapur dengan sirih yang dijunjung di tepak, membezakan mawar yang minta ditatap dengan kenanga yang setia mengharum, membezakan lembut yang berdaulat dengan lemah yang melurut, membezakan pandai yang berbunyi dengan beradab yang bererti.

Di celah-celah bait nadanya, terpercik ilmu bahawa adab ialah tertib martabat, bahawa kias ialah teknologi menegur yang menyelamatkan wajah, bahawa muzik Melayu sengaja berlenggang-lenggok supaya manusia sempat berfikir sebelum melangkah. Pada akhirnya, Rencong membisikkan pesan terakhir nan malar segar betapa hiduplah dalam zaman apa pun, asalkan pada suaramu masih beralun lenggok irama bangsa, namun pada akalmu tetap tersisip sebilah rencong yang tajam hasil asahan sejarah bangsa zaman-berzaman.

_________________________

Za’im Yusoff yang kini bertugas dalam dunia perbankan juga merupakan seorang penulis yang banyak menyumbangkan puisi dan esei, baik dalam media maya mahupun media bercetak.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi