Oleh Suyuthi Yusuf
9 September 2022, 07:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Tiga karya Malim Ghozali PK yang diterbitkan setelah dia meninggal dunia pada tahun 2020 dibicarakan dalam Festival Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara) ke-10 di Hotel Travelodge, Ipoh, Perak. Tiga karya tersebut ialah dua buah buku kumpulan puisi iaitu Kembali Kepada Kata dan Embun Gugur di Halaman dan Sajak-sajak Petualangan, serta novel Gunung Cha.

Buku kumpulan puisi tersebut dibicarakan oleh Dr. Saravanan (USM), manakala novel Gunung Cha pula oleh Dr. Kamariah Kamarudin (UPM). Dr. Fahd Razy menjadi moderator bicara tersebut. Walaupun Pak Malim lebih terkenal dengan genre berbentuk prosa seperti novel dan kumpulan cerpen, namun puisi-puisinya layak untuk diperkatakan kerana mempunyai makna, falsafah dan estetikanya yang tersendiri.

Dr. Saravanan apabila memperkatakan tentang kumpulan puisi tersebut menyatakan bahawa puisi-puisi Pak Malim merupakan coretan yang pekat dengan pengembaraan dan petualangan yang bersifat maknawi/dalaman.

Pak Malim membawa kita sebagai pembaca merasai sendiri dan meneroka perasaan dalaman serta keluh-kesah beliau menerusi pemilihan diksi yang segar.

Dr. Saravanan menggunakan kerangka travelog, iaitu pengembaraan yang bersifat luaran/jasmani dan pengembaraan dalaman/rohani dalam membicarakan puisi-puisi tersebut. Selain itu, beliau juga menyatakan puisi-puisi Pak Malim juga sarat dengan unsur alam yang sudah memang sebati dengan dirinya. Terdapat banyak mesej tersurat dan tersirat yang terdapat dalam buku kumpulan puisi ini. Unsur alam dan metafora yang digunakan sebagai mengungkap nilai dan kemanusiaan membawa pembaca menyelami sendiri apa-apa yang dirasakan dan dialami oleh Pak Malim.

Dr. Kamariah pula membicarakan novel Gunung Cha yang dilihatnya umpama ‘pasak’. Pengertian pasak ini boleh dilihat dengan mengaitkan novel tersebut dengan dua konsep hubungan, iaitu hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan pencipta.

Watak utama dalam novel tersebut boleh diibaratkan sebagai Pak Malim sendiri yang melihat pertembungan budaya serta pentingnya jati diri yang perlu dipertahankan. Makna gunung tersebut juga mempunyai lapisan makna yang tersendiri kerana dunia novel tersebut walaupun kelihatan mudah untuk dibaca, namun mempunyai siratan maknanya yang khusus.

Melalui novel ini juga, Pak Malim seolah-olah memberi pesan bahawa budaya bangsa dan warisan leluhur harus dipertahankan walau di mana pun kita berada.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.