7 September 2022, 18:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi “Karya fiksyen mampu menemukan pembaca dengan kesan-kesan yang menyembuhkan diri”, ujar Rebecca Ilham dalam acara Langkawi Writers Festival baru-baru ini. Beliau mengangkat tiga novel antarabangsa, iaitu Kim Ji Young, Born 1982 (Cho Nam-Joo), Umami (Laia Jufresa) dan Earthlings (Sayaka Murata).

Rebecca menemui tiga kesan penyembuhan, iaitu solidariti, empati dan solusi. Ujarnya,

Bagaimana dengan membaca karya fiksyen saya dapat berasa semangat, tenang dan yakin boleh memulihkan jiwa? Bersosial apabila berinteraksi dengan orang lain dapat memberikan kesan penyembuhan. Kesan yang sama itu dirembeskan juga ketika kita membaca karya fiksyen.

Forum “Read & Relish: Penyembuhan Minda dan Jiwa Melalui Pembacaan”, di bawah acara induk Langkawi Writers Festival itu juga menampilkan Dr. Rafidah Bahari dan Anuar Hassan (kartunis Sireh) sebagai pembicara.

Dr. Rafidah Bahari menerangkan tentang istilah ‘Biblioterapi’ yang sudah ada dalam sejarah sejak abad ke-13 di Mesir.

Biblioterapi ini bukan benda yang baharu. Masyarakat Roman dan Greek sentiasa percaya bahawa membaca mempunyai kuasa untuk memulihkan. Pernah didokumentasikan bahawa imam dan staf hospital menggunakan bacaan al-Qur’an sebagai kaedah perubatan di sebuah hospital di Mesir.

Istilah ‘biblioterapi’ pertama sekali dinyatakan dalam dunia perubatan melalui pewartaannya dalam kamus Dorland’s Illustrated Medical Dictionary pada tahun 1941. Namun, menurut beliau, selain digunakan dalam dunia perubatan psikologi, ia juga digunakan secara bersama dengan kaedah perubatan lain dan hanya digunakan untuk penyakit di peringkat rendah atau sederhana sahaja.

Novel Kim Ji Young, Born 1982 yang ditulis oleh Cho Nam-joo diterbitkan pada tahun 2016 dan menjadi novel Korea Selatan pertama yang jualannya mencapai sejuta naskhah setelah novel Please Look After Mom pada tahun 2009. Tidak lama setelah itu, terbitan terjemahannya ke pelbagai bahasa dilakukan pada tahun 2020 dan dapat dibaca oleh khalayak seluruh dunia, selain diadaptasikan kepada filem dengan tajuk yang sama pada tahun 2019.

Rebecca menjelaskan bahawa novel tersebut menyampaikan isu yang sangat khusus, iaitu isu wanita di Korea Selatan. Keseluruhan cerita, perjuangan dan konfliknya sangat spesifik dalam membicarakan isu gender.

Isu yang dibawakan dalam novel tersebut merupakan isu sejagat yang dialami oleh wanita sedunia. Apabila saya membacanya, saya rasa tidak keseorangan. Secara tidak langsung ia mengurangkan perasaan tertekan dan keterdesakan.

Solidariti merupakan kesan yang paling kuat terdapat dalam novel ini, sekali gus membangkitkan beberapa sentimen seperti kebangkitan gerakan feminisme di Korea Selatan, dan kesedaran kolektif bahawa kaum wanita perlu berganding bahu untuk mengubah nasib mereka.

Seterusnya, melalui novel Umami karya Laia Jufresa, Rebecca menyatakan pula kesan empati. Kisah sedih dan melankoli yang terdapat dalam Umami disampaikan dengan berkesan dalam perspektif yang pelbagai. Rasa empati oleh pembaca terhadap watak dan cerita yang disampaikan Laia Jufresa dijelmakan dalam novel tersebut.

Rebecca berkongsi pengalamannya dalam membaca karya itu:

Sebagai pembaca, saya memupuk kesedaran empati dalam diri yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seperti perlunya mengurangkan menghakimi sesiapa atau untuk melembutkan kata-kata. Secara tidak langsung, ia membantu saya dalam keperluan bersosial.

Beliau juga menjelaskan tentang kesan seperti solusi yang dapat diperoleh dengan membaca novel Earthlings karya Sayaka Murata. Novel Earthlings yang berkisarkan tentang watak penuh kompleks itu mempunyai pengakhiran yang radikal, ngeri dan membuahkan seribu kerutan.

Menurut beliau, keputusan Sayaka Murata memberikan penyelesaian dalam sebuah permasalahan yang secara idealnya selama-lamanya tidak akan ada penyelesaian itu menggambarkan kesedaran berkonsepkan realisme oleh penulisnya. Penyelesaian yang dipilih wataknya dalam novel ini walaupun daripada lensa pembaca tidak ideal dan bersikap agak radikal, namun ia memberikan solusinya yang tersendiri. Ujarnya,

Novel ini juga membentuk sentimen keyakinan bahawa dalam masalah bersifat sejagat juga mungkin akan ada penyelesaiannya dalam diri kita sendiri. Karya ini membuktikan bahawa keyakinan dan jalan keluar boleh peroleh melalui novel.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.