7 September 2022, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – “Persaingan hebat dan ramai peserta yang pernah ke pentas kebangsaan serta berpengalaman dalam pertandingan seumpama ini, tetapi mungkin rezeki saya sekali lagi untuk menang dua tahun berturut-turut”, ujar Muhammad Suffian Khirham, 21 tahun apabila dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-34 Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, 27 Ogos lalu.

Muhammad Suffian Khirham, johan sayembara.

Beliau yang mendeklamasikan puisi “Pidato Umum Di Dataran Merdeka” karya Nassury Ibrahim dengan penghayatan yang memukau dan memberikan impak emosi melayakkan pemuda kelahiran Melaka ini melangkah ke platform akhir Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan September. Ujarnya yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Sains Mikrobiologi, Universiti Malaya:

Saya rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk bergelar juara sekali lagi walaupaun saingan kali ini agak sengit kerana para deklamator sudah berlatih dan melakukan persediaan mantap. Saya cuba sebaik mungkin untuk mendapat tempat di peringkat kebangsaan nanti. Ini merupakan suatu tanggungjawab besar untuk digalas sebagai wakil negeri Melaka ke pentas kebangsaan.

Menerusi kemenangan tersebut, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM 1000, piala pusingan, piala iringan dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan Pena Padu. Naib Johan pula dimenangi oleh Faizul Izudin Razali menerusi sajak “Naratif Ogos Seorang Helang” karya Zainal Rashid Ahmad, manakala tempat ketiga menjadi milik Md Muzaini Said menerusi puisi “Jangan Gendang Bertingkah Lagi” nukilan Abd Rani Embi. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan RM500, piala iringan, sijil penghargaan dan buku-buku.

Seramai 10 peserta akhir mengambil bahagian dalam sayembara tersebut dengan mempertaruhkan pusisi-puisi patriotik yang dimuatkan dalam Anlologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemeredekaan Jangan Gendang Bertingkat Lagi terbitan Gepeniaga Sdn Bhd. Antara peserta yang mengambil bahagian ialah Siti Zahrah Salihan (Harapan di Hujung Penantian karya Mohd Mansor Abdullah), Mohd Faizal Hasan (Menjadi Laksamana karya Abizai) dan Mohd Idham Khalil Ibrahim (Di Relung Akrab Bangsa karya Akmal Aizat Abdul Aziz), Siti Sarah Jantan (Darah Yang Terpercik di Baju karya Norazimah Abu Bakar), Mohd Syazwan Samsudin (Apakah Masih Gelintar? Demi Kasihku Untuk Anak Bangsa karya Amirudin Ali) dan Norhazila Ahmad Kamsi (Sumbangsih Buat Nusa Bangsa karya Jamilah Harun).

Ketua Satu PENAMA merangkap Pengerusi SDPK Negeri Melaka, Ahmad Zauawi Che Cob berkata penyertaan pada tahun ini amat menggalakan dan merupakan petanda baik kerana majoriti peserta yang menyertai pertandingan ini merupakan generasi muda yang berbakat dan berpotensi untuk tampil sebagai deklamator hebat kelak.

Sayembara yang masuk tahun ke- 37 ini merupakan anjuran Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan DBP. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Azura Mohd Halid, Timbalan Pengarah Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) yang mewakili Pengarah DBPWS.

Barisan juri profesional yang menghakimi pertandingan tersebut merupakan tokoh dalam bidang sastera, budaya, bahasa dan pengucapan awam, iaitu Abd Rani Embi, Aladdin Mohamad, Rohayah Abu dan Shahrul Mubarak Ahmad.

Terdahulu di peringkat saringan, tiga deklamator kebangsaan iaitu Norliza Md Yamin, Kamarudin Bakar dan Aflieza Arshad menghakimi para peserta selain mengendalikan bengkel sebagai persiapan bertanding di peringkat akhir. Hadir sama ialah Husin Embi, wakil Ketua Satu Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan  Mohd Puad Johar, wakil Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.