2 September 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cheras – Sayembara Puisi Katapilar 3.0 anjuran Kata-Pilar Books dan Tukang Puisi akan kembali dengan nama baharu, iaitu Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023. Ketua Pegawai Eksekutif Kata-Pilar Books, Encik Fahd Razy pernah mengutarakan idea penjenamaan semula sayembara itu dengan nama yang lebih sesuai sejak Julai lalu dalam sebuah Sesi Mengopi Puisi.

Menurut beliau, penjenamaan tersebut dibuat bertujuan untuk mengangkat sayembara ini sebagai sayembara yang berprestij dalam kalangan penggiat sastera. Hadiah Puisi T. Alias Taib (HPT) 2023 akan menjadi perintis dan akan diteruskan pada masa akan datang. Selain itu, penjenamaan tersebut secara tidak langsung menunjukkan komitmen penganjur untuk melahirkan penyair dengan karya yang bermutu dan berkualiti memandangkan sayembara tersebut dinamakan bersempena nama tokoh penyair tempatan yang begitu ikonik, iaitu T. Alias Taib.

Untuk catatan, Sayembara Puisi Katapilar sebelum ini telah berlangsung sebanyak dua kali secara tahunan dan telah melahirkan pemenang yang berjaya membawa nama sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Contohnya, Muzaf Ahmad yang telah menerima Hadiah Sastera MASTERA dan Karim Mohd yang telah menerima Hadiah Sastera Darul Iman. Antara penyair lain yang terlibat dan semakin menempa nama sebagai penulis jalur baharu termasuklah Luthfi Ishak, Qurratul ‘Ain, Syafiq Ghazali dan Jack Malik.

Selain itu, penganjur juga mengumumkan lanjutan masa penghantaran karya sehingga 1 November 2022. Antara syarat yang ditetapkan oleh pihak penganjur termasuklah penghantaran manuskrip yang mengandungi sekurang-kurangnya 50 buah puisi untuk dipertandingkan, membenarkan karya yang pernah disiarkan di mana-mana media cetak atau pelantar digital (tidak melebihi 20 puisi) dan tema karya adalah bebas.

HPT 2023 akan memperlihatkan dua kategori pemenang, iaitu Hadiah Utama bagi pemenang di peringkat akhir dan Hadiah Finalis bagi peserta yang berjaya melepasi saringan akhir penilaian juri. Pemenang bagi kedua-dua jenis kategori ini akan menerima awalan royalti berserta penerbitan karya mereka oleh Kata-Pilar Books dan Tukang Puisi. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook Kata-Pilar Books.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.