2 September 2022, 13:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Abang Patdeli Abang Muhi menerusi tulisan ini melihat wajah dan bentuk sastera pada masa depan serta cabaran yang terpaksa dihadapi oleh penulis dan ekosistem sastera itu sendiri.

Umumnya, tiada siapa yang mengetahui persis apakah yang akan benar-benar terjadi pada masa depan, termasuklah yang akan terjadi kepada sastera Melayu

B arangkali, istilah yang jarang digunakan atau didengari ialah istilah korpus persuratan yang merujuk himpunan ilmu dan pengetahuan dalam hal yang berkaitan dengan sastera lisan atau tulisan. Dalam konteks kesusasteraan Melayu pula, terdapat dua jenis korpus persuratan yang sering diperkatakan, iaitu korpus persuratan kesusasteraan tradisional dan kesusasteraan moden.

Korpus persuratan kesusasteraan tradisional, lisan dan tulisan, terdiri daripada karya sastera seperti pantun, syair, nazam, seloka, teromba, cerita hikayat, cerita panji, dan sebagainya (Kamus Dewan Perdana, 2020). Manakala, korpus persuratan kesusasteraan moden mencakupi karya sastera seperti sajak, cerpen, novel, drama serta karya lain yang mempunyai ciri-ciri moden dan menggunakan sistem tulisan.

Tulisan ini akan membicarakan masa depan sastera Melayu dengan melihat dua persoalan utama, yakni: Adakah sastera Melayu mempunyai masa depan? dan apakah yang akan berlaku kepada sastera Melayu pada masa depan?

Tentang Masa Depan

U mumnya, tiada siapa yang mengetahui persis apakah yang akan benar-benar terjadi pada masa depan, termasuklah yang akan terjadi kepada sastera Melayu. Namun, berdasarkan data, fakta serta peristiwa yang berlaku dahulu dan kini, khususnya perkembangan dalam bidang politik, ekonomi, teknologi, pendidikan, budaya, dasar dan sebagainya, manusia boleh menjangkakan apakah yang akan berlaku kepada bidang sastera.

Kini, dan akan datang tentunya, dunia akan dikuasai oleh teknologi maklumat yang ditandai oleh mesin pembelajaran (machine learning) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) untuk tujuan automasi—teknologi maklumat mampu menjadi sarana dan wahana untuk berkarya, mempromosikan dan menjual karya sastera, serta menyebarluaskan karya sastera.

Oleh itu, pada masa depan, dua bentuk karya yang akan muncul—karya dalam bentuk buku dan bercetak, dan karya dalam bentuk digital. Para penulis sastera kreatif dan bukan kreatif pada masa depan yang dilahirkan serta dibesarkan dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), tentu sahaja harus beradaptasi dengan dunia TMK yang begitu canggih dan pantas berkembang.

Mahu tidak mahu, dan suka tidak suka, para pencipta karya sastera tidak harus ketinggalan untuk menguasai teknologi maklumat lantaran sistem kehidupan manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dan kecanggihan bidang teknologi maklumat.

Bagi penulis, tanpa menidakkan perkembangan dan kemajuan, kebanyakan orang dalam bidang kesusasteraan sangat teruja dengan masa depan sastera yang tidak menentu. Sebahagian daripada keprihatinan ini, pada hemat penulis, berpunca daripada perubahan demografi di negara ini yang mencetuskan persoalan tentang sumber khalayak pembaca karya sastera, dasar kerajaan berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan Melayu, teknologi baharu yang membenarkan penikmatan karya sastera menjadi lebih peribadi dan mengecil, dan persekitaran ekonomi. Selain itu, kurangnya masa lapang serta saingan sengit daripada bentuk hiburan yang lain juga merupakan antara sebab wujudnya keprihatinan terhadap karya sastera dalam lapangan kemajuan teknologi.

Masa Depan Sastera

P ada hemat penulis, masa depan sastera tradisional khususnya puisi tradisional, daripada segi genre dan bentuknya tidak akan berubah, meski akan berlaku perubahan daripada segi sarana dan wahana pemeliharaan, penyebaran dan pewarisannya. Sastera tradisional pada masa depan kekal relevan dan cerah kerana nilai legasi, klasik dan malar hijau genre tersebut berbanding dengan kesusasteraan moden yang lebih bersifat kontemporari.

Dalam konteks sastera moden, wujud pandangan yang optimistik dan pesimistik terhadap keberadaannya. Tatkala berbicara tentang masa depan sastera, antara perkara yang sering dibangkitkan ialah perihal status kesusasteraan Melayu sebagai salah satu daripada subjek teras atau opsyen di peringkat sekolah menengah.

Dengan kata lain, persoalan dalam sistem pendidikan negara berkaitan dengan kesusasteraan ialah adakah kesusasteraan itu akan diajarkan atau tidak lagi sama ada di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi? kalau diajarkan pun, adakah hanya untuk memenuhi syarat sahaja?

Persoalan lain yang berhubung kait dengan masa depan sastera ialah isu penerbitan dan pemasaran karya sastera. Adakah penerbit di negara ini masih lagi memberi muka kepada para penulis untuk menerbitkan buku mereka? Penerbit seperti Dewan Bahasa dan Pustaka tentu sahaja meneruskan legasinya untuk menerbitkan buku sastera secara bercetak dan digital, tetapi yang pasti dalam jumlah cetakan yang jauh berkurangan, dan secara berpilih.

Kemaslahatan kewangan dalam sastera dan penulis merupakan satu lagi masalah kesusasteraan yang menyebabkan masa depan sastera menjadi tidak menentu. Masalah kewangan pengkarya sastera adalah berhubung kait dengan kos penerbitan dan percetakan karya, pembeli buku dan penaja penerbitan buku. Buku-buku yang diterbitkan tentulah untuk dibeli dan dibaca. Mungkin untuk jangka masa panjang, hubungan berterusan pengkarya dengan pembaca/khalayak itu harus dibina agar akan sentiasa ada pembeli untuk bahan bacaan tersebut.

Masa depan sastera dalam konteks pembelian karya sastera juga ditentukan oleh demografi pembaca/pembeli karya itu—bangsa, pendidikan, pendapatan, tempat tinggalnya dan sebagainya. Jika pembeli memilih untuk berbelanja bagi keperluan hidup yang lain berbanding dengan pembelian buku sastera, maka sudah tentu hal tersebut akan memberi kesan kepada industri buku sastera, dan penulis tentunya.

G ao Xingjian, penulis kelahiran China pertama yang mendapat Hadiah Nobel sastera tahun 2000 antara lain menyatakan perihal keberadaan pengarang serta karyanya, dan hubungannya dengan pembaca (2006:108 -109):

Faktanya, hubungan antara pengarang dan pembaca selalu hanya ada satu macam, iaitu komunikasi spiritual, dan tidak ada keperluan untuk bertemu atau berinteraksi secara sosial. Ini merupakan komunikasi sederhana dengan perantara  karya. Sastera tetap menjadi sebentuk aktiviti manusia yang harus ada, yang pembaca mahupun penulis ditunangkan oleh kemahuan mereka sendiri. Kerananya, sastera tidak punya kewajipan apa-apa kepada rakyat jelata.

Gao Xingjian, penerima anugerah Nobel Prize tahun 2000.

Menurut Gao lagi, pada masa lampau, sastera harus bertarung dengan kekuatan politik yang menindas dan adat sosial. Hari ini, sastera harus berperang pula dengan nilai komersial yang subversif daripada masyarakat pengguna kerana keberadaannya tergantung pada kesediaan untuk memikul kesepian.

Kedua-dua pandangan Gao ini memperlihatkan betapa keberadaan sastera dalam masyarakat digital sangat tidak menentu masa depannya—entah-entah nilai sastera itu cuma bagaikan melukut di tepi gantang berbanding dengan keperluan emosi serta aktiviti sosial dan ekonomi yang lain.

Namun, sastera itu akan ada masa depannya selagi sastera tetap berpegang kepada hakikatnya yang paling fundamental iaitu melampaui batas terjemahan. Melalui penterjemahan, sastera melampaui bahasa dan adat sosial yang spesifik dan hubungan yang wujud antara manusia yang terbentuk kerana keadaan geografi dan sejarah. Penterjemahan menyingkap rahsia besar tentang kesejagatan budaya manusia. Lagi pula, hari ini penulis menerima pelbagai pengaruh ragam budaya daripada luar budaya rasnya.

Pada tahun 1950-an pernah diramalkan bahawa novel akan mati. Pelbagai pentafsiran pernah diajukan oleh berbagai pihak. Pentafsiran itu menganggap masa depan sastera akan suram. Banyak cerita rakyat hilang kerana ditelan oleh minat menonton televisyen. Namun, televisyen tidak boleh dijadikan kambing hitam. Banyak cerita anak dan cerita rakyat, seperti halnya seni tradisional, ternyata tidak lagi mampu mengikuti dinamika zaman. Suramnya cerita anak dan cerita rakyat, sebagai bahagian daripada sastera, sebetulnya bukan semata-mata kerana kemajuan teknologi, tetapi kerana cerita anak dan cerita rakyat itu tidak dinamik. (Budi Darma, 2003).

Masa depan sastera moden juga akan suram jika karya sastera pelbagai genre yang dihasilkan oleh para penulis tidak dinamik, dan tidak dapat beradaptasi dengan peredaran dan perubahan zaman.

Waima, apa-apa pun cabaran yang dihadapkan kepada keberadaan sastera, termasuklah cabaran pada masa depan, sastera tidak akan hancur atau mati, dan penulis tidak akan binasa kerana sastera itu hidup dan berkembang atas satu-satunya kriteria, iaitu nilai estetika yang ada hubungannya dengan aneka emosi manusia, dan wawasan mendalam penulis dalam menyerapkan kebenaran serta menegakkan keadilan.

Sejauh yang berkaitan dengan sastera Melayu, dan sastera Indonesia tentunya, menurut Budi Darma (2003:3), dalam menghadapi masa depan, kedudukan sastera kita tidak boleh disamakan dengan kedudukan sastera Inggeris pada abad ke-19. Pada abad ke-19, seorang pemikir terkenal, John Ruskin, bertanya kepada para anggota Parlimen, “Antara dua pernyataan berikut, manakah yang kalian pilih, Inggeris kehilangan Shakespeare, Inggeris kehilangan sastera atau Inggeris kehilangan India?” Sebagai negara penjajah, dapat dipastikan bahawa sebahagian besar bangsa Inggeris pada waktu itu, termasuklah para anggota parlimennya, tidak beranggapan bahawa pada satu saat nanti Inggeris akan kehilangan India.

Kendatipun kehilangan India, seperti yang ditegaskan oleh Budi Darma, Inggeris tetap Inggeris. Namun, Inggeris yang kehilangan Shakespeare dalam gagasan John Ruskin bukanlah Inggeris lagi. John Ruskin benar sebab salah satu daripada kebanggaan dan jati diri Inggeris ialah Shakespeare.

Waima apa-apa pun yang terjadi pada masa depan, sastera tidak akan punah dan penulis tidak akan musnah kerana tiap penulis mempunyai penggemarnya, dan karyanya ada tempatnya tersendiri di rak buku, serta ada auranya dalam aktiviti sastera dan budaya.

Sastera tetap hidup dalam pelbagai bentuk, aplikasi serta wahana, dan penulis tetap wujud selagi adanya pembaca. Penulis tetap menulis pada masa hadapan, sama ada karyanya dibaca dan dibeli ataupun tidak kerana penulis kerjanya menulis walaupun hanya untuk dirinya sendiri.

Sastera Masa Depan

K eberadaan sastera pada masa depan amat dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi, politik, perundangan, budaya, sosial, demografi, teknologi dan pendidikan. Keadaan budaya dan sosial pada masa depan akan memberi kesan kepada sastera, dan pengkaryanya kerana melibatkan gaya hidup dan cita rasa masyarakat yang lebih dipengaruhi oleh perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat.

Perkembangan tersebut sudah tentu menuntut agar penulis juga menghasilkan karya sastera dalam bentuk digital yang sesuai dibaca dalam format tersebut. Pada masa yang sama, penulis pada masa depan juga perlu mempromosikan dan menjual sendiri bukunya.

Untuk memastikan sastera terus berkembang maju, dan tetap relevan, penghasilan karya kreatif secara adaptasi atau alih wahana perlu diperhebatkan. Kaedah didik hibur dan interaktif dalam mengembangkan dan menyebarluaskan karya sastera perlu menjadi trend pada masa depan.

Renungan Terakhir

D alam konteks masa depan sastera Melayu, siapakah kebanggaan dan jati diri kita seperti halnya Shakespeare kepada Inggeris?

Sesungguhnya, keberadaan sastera pada masa depan yang tidak menentu sangat bergantung kepada karya sastera dan daya tarikannya dalam pasaran. Seseorang hanya boleh mengandaikan bahawa pencarian terhadap produk sastera pada masa akan datang sentiasa berlangsung dan tahap pemasaran serta pengiklanan akan meningkat. Penulis sastera tidak boleh duduk diam dan hanya menunggu orang datang untuk membeli karyanya.

Shahnon Ahmad (2008) pernah menyatakan tentang hakikat sastera dalam zaman mana-mana pun:

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa sastera sebenarnya ialah rahsia dan sulit; dirahsiakan dan disulitkan oleh sasterawan melalui pelbagai jenis wadah yang membentuk gabungan kerana pada dasarnya makna kehidupan dan pengalaman itu pun sulit dan rahsia. Kerahsiaan sastera kadang-kadang begitu tersembunyi sehingga para khalayak perlu mempunyai kekuatannya yang tersendiri daripada segi kreativiti, sensitiviti, dan daya gabungan untuk benar-benar memahami karya sastera itu, dan seterusnya terhibur olehnya.

 

Rujukan

Budi Darma. 2003. ‘Sastera Kita: Menghadapi Masa Depan’ dalam Adakah Bangsa dalam Sastra?. Abdul Rozak Zaidan & Dendy Sugono (Ed.). Pusat Bahasa Departemen Pendidikan Nasional, Jakarta.

Harun Mat Piah. 1989. Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Shahnon Ahmad.2008. Weltanschuung Suatu Perjalanan Kreatif. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Zen RS (Ed). 2006. Pengakuan Para Sastrawan Dunia Pemenang Nobel. Penerbit Pinus. Yogyakarta.

Kamus Dewan Perdana. 2020. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

 Kredit Foto: GuerrillaBuzz Crypto PR/Unsplash

_________________________

Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi merupakan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP. Selain itu, beliau juga seorang penulis (novel, kumpulan cerpen) selain sering membentangkan kertas kerja dan menulis esei kritikan sastera. Antara karyanya ialah kumpulan cerpen bertajuk Urip dan novel Hati Emas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.